Sedang dahi berkerut cuba memahami krisis mata wang Euro dan kemelut perbankan yang meribut di Eropah, satu email daripada sahabat masuk ke dalam peti bacaan. Turut disertakan pautan ke laman berita artis tempatan yang memberi khabar bahawa baju pengantin Memey akan dipamerkan di Muzium Negara.

Saya tidak tahu, sama ada mahu tergelak atau menangis. Aduh, kedangkalan manusia kadang-kadang merentap elemen sabar yang sememangnya kurang dalam diri. Jika benar laporan akhbar itu, maaf saya tidak mampu mengawal diri, soalan ini terpaksa saya ajukan kepada Pengarah Muzium Negara: apa masalah saudara?

Bukan saya mendabik dada dengan rezeki kurniaan Ilahi, tetapi fitrah pengembaraan kerap menghantar saya ke kaki muzium di serata dunia. Dari Louvre di Paris sehingga National Folk Museum di Seoul, saya kagum dengan khazanah tinggi nilai sejarah yang dipulihara molek dalam perut muzium, khusus untuk tatapan generasi sekarang dan masa akan datang. Pengajaran boleh ditimba bukan sedikit, perbezaan cara hidup dan sejarah nenek moyang masing-masing jadi iktibar jika diperhalusi dengan betul.

Baru-baru ini, walaupun saya malu untuk mengaku, air mata saya bergenang semasa melihat pedang dan janggut Rasulullah SAW di Istana Topkapi, Istanbul. Latar belakang muzium yang dititip dengan bacaan Al-Karem secara langsung, telah menyentuh sudut paling jauh dalam hati setiap pengunjung pada petang musim luruh Eropah hari itu.

Tatkala berada di Greece pula, saya tercengang-cengang dengan beberapa plot kosong tanpa arca atau sebarang bahan pameran di dalam The New Acropolis Museum. Bertanya kepada pembantu muzium, beliau tersenyum penuh makna. Apabila dia menjawab, saya telah belajar sesuatu yang baru - tidak pernah saya temui dalam mana-mana buku sejarah.

Pembinaan The New Acropolis Museum (dibuka 2009) bagi menggantikan Acropolis Museum yang lama; dan sebenarnya ia juga untuk menghantar mesej sinis kepada Britain. Ceritanya begini, pada 1799, Earl of Elgin ke-7 telah ambil dua pertiga dari arca yang berada di dalam The Parthenon pulang ke Britain. Arca-arca itu dijual kepada British Museum; British Museum pula enggan mengembalikan arca-arca tersebut walau berkali-kali Greece meminta.

Kata Britain, arca-arca itu penting untuk membuktikan pencapaian kebudayaan manusia dan Greece tidak ada tempat yang sempurna serta selamat untuk mempamerkan arca-ara yang telah dicuri itu. Kini setelah The New Acropolis Museum siap, Greece apabila berharap pengunjung melihat plot-plot pemeran baru yang bergemerlapan, tetapi kosong, Britain akan berasa tertekan lalu memulangkan semula apa yang diambil.

Oh, begitu... ternganga mulut saya mendengar penjelasan pekerja muzium itu. Jangan salah tafsir, bukan saya membezakan sejarah negara kita dan peradaban Barat yang sudah berusia ribuan tahun. Di Cameron Highlands misalnya, ada muzium kelolaan orang perseorangan yang punya koleksi sangat memberangsangkan. Tanpa pertolongan kerajaan, hanya berdasarkan cinta dan minat, Muzium Time Tunnel di Brinchang ada potensi besar untuk mengetengahkan identiti negara di mata dunia.

Saya tiada masalah dengan artis tempatan atau fesyen. Anak wayang adalah tunggak aspirasi seni filem atau drama sesebuah negara. Mereka merupakan cabang kreativiti insani; mereka juga contoh paling dekat untuk menzahirkan bagaimana bakat bisa merubah hidup seseorang. Saya juga perempuan, walau selesa bercelana denim dan berkemeja putih, busana lakaran Vera Wang amat mempesonakan di mata – setiap yang memakai rekaan Wang tampak anggun dan berkelas atasan.

Tetapi tidaklah sampai saya ingin melihat baju itu di Muzium Negara! Jika pun ingin sampaikan mesej sulaman mutiara di gaun dan kasut itu bernilai tinggi, janganlah hingga menobatkan ia di muzium paling ulung negara. Itu namanya taksub dengan barang-barang yang mahal, bukan memperkasakan sejarah. Maaf saya bertanya sekali lagi, mesej apa yang hendak kita ketengahkan melalui baju pengantin Memey?

Sungguh tidak masuk akal. Akhir kalam, saya merayu kepada Pengarah Muzium Negara agar tidak meneruskan hajat untuk mempamerkan baju rekaan Vera Wang itu, seperti yang dirancangkan dari 26 November hingga 31 Disember nanti. Walaupun kekurangan bahan pameran, kita mesti tahu bahawa sejarah harus dikumpul dan dipulihara, bukan main tangkap muat sahaja!