DEMOKRASI tiada kena mengena dengan kebebasan. Malah demokrasi adalah sebuah varian longgar fahaman komunisme, dan jarang dalam sejarah idea ia dikira sebagai suatu yang lain. Keras makna demokrasi dari benak Profesor Hans-Hermann Hoppe, penulis buku Demokrasi: Tuhan yang gagal.

Jika diselak helaian sejarah, tiada yang cela tentang konsep demokrasi. Berasal daripada fahaman kuno Yunani yang percaya bahawa kuasa individu perlu dihadkan melalui perkongsian kuasa sesama rakyat, manakala makna demokrasi yang paling diingat sejarah moden adalah pemerintahan dari, oleh dan untuk rakyat – seperti dalam pidato Abraham Lincoln yang diucapkan di The Gettysburg Address (1863).

152 tahun selepas The Gettysburg Address – dan mungkin setelah mengambil kira kesimpulan Profesor Hoppe – demokrasi nampak melelahkan di alaf digital. Saya tidak bercakap tentang tokoh-tokoh anti-demokrasi seperti Jusuf Kalla di Indonesia – yang sememangnya langsung tidak bersetuju dengan konsep yang satu ini.

Melalui Doktrin Kalla, Jusuf dikatakan menuduh demokrasi sebagai sebuah sistem yang tidak efektif lagi efisien; biaya demokrasi pula terlalu mahal. Ketika memberi kuliah umum tentang Konflik dan Konsolidasi Demokrasi Indonesia pada tahun 2012, Jusuf berpendapat demokrasi sering menimbulkan konflik.

Nah. Saya tidak bercakap tentang sesuatu yang ekstrem seperti pendapat Jusuf Kalla, tetapi saya bercakap tentang apa makna demokrasi apabila kebenaran senang dikompromi kerana kuasa berada di hujung jemari yang menekan papan kekunci telefon pintar, segalanya berada di skrin komputer riba atau iPad masing-masing.

Lalu untuk memastikan obor demokrasi terus menyala atas neraca keadilan - cara kita orang timur - bagaimana cara yang terbaik?

Hampir tiga dekad selepas World Wide Web (www) dicipta, internet telah merubah peradaban manusia dalam ratusan cara, berbeza ketika ia berada di peringkat nasen dahulu. Kini aplikasi internet - blog, Facebook, Twitter dan Instagram - memberi kuasa dan medium paling berkesan untuk orang-orang biasa seperti anda dan saya. Tidak seperti ketika zaman pendapat hanya dikuasai oleh golongan pemerintah dan media mogul.

Untuk saya, internet adalah wira peribadi kerana melalui medium ini saya tidak akan lagi jadi bingung, marah dan sedih seperti ketika Watan dilarang penerbitan pada 1987.

Tapi lewat ini, saya ada masalah dengan hero peribadi saya apabila medium itu telah dijadikan medan pertempuran antara dua kuasa paling besar negara tanpa tanggungjawab, tanpa empati, selalunya melolosi garis fitnah. Kadang-kadang kita jadi pengadu, polis, prosekutor dan hakim pada masa yang sama. Kita alpa tentang objektiviti, keadilan dan kemanusiaan. Kita tidak melihat secara keseluruhan, fikiran kita jadi linear.

Internet idealnya mampu menyuburkan proses demokrasi apabila ia meluaskan sfera umum dan mengimbangi kuasa politik semasa. Ia juga memberi suara kepada citizen journalist untuk melapor secara rawak apa yang dilihat, didengar dan difikir. Tiada lagi kekangan undang-undang kuno atau birokrasi penerbitan yang macam-macam.

Informasi tentang bencana besar, konflik sempadan dan pendirian politik dunia boleh dibaca dengan liberal. Tapi dari sudut yang berbeza, apabila segalanya jadi mudah, kita terdedah dengan bohong, salah informasi dan menjejaskan etika kewartawanan mereka yang betul-betul bekerja sebagai wartawan (saya juga bersalah dalam hal ini). Bak kata, Eric Schmitt, Pengerusi Eksekutif Google: “A cesspool of erroneous information.” Sebuah penakung informasi yang tidak benar.

Lalu demokrasi yang beginikah kita mahu? Adakah kita menggunakan hak dan kuasa itu untuk meletakkan demokrasi dalam sejagat surplus atau defisit?

Untuk masa yang terdekat ini, impak internet ke atas demokrasi nyata masih samar. Jika kuasa sebenar berada di tangan kita, kuasa itu haruslah didahului dengan tanggungjawab bukan amarah atau motif politik peribadi.

Tiada yang lebih poten dalam mengapi imaginasi dan harapan rakyat selain demokrasi. Tapi demokrasi itu biarlah berkisar atas apa yang benar, apa yang adil dan saksama. Kalau tak mampu mencari titik itu, jangan bercakap soal demokrasi kerana demokrasi adalah sebuah konsensus.

*Elviza seorang penulis di metropolis Kuala Lumpur