Rasa cukup tercabar setiap kali dihadapkan dengan nombor, gamba rajah atau skala peratusan dan kebarangkalian. Justeru, bila laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dikeluarkan dan susulan email dari Unit Komunikasi Korporat SPRM sudah diterima, saya peram keduanya dalam inbox sebelum diulang baca.

Enggan mengambil kira agenda politik, saya tolak ke tepi perbahasan politikus pembangkang yang meminta kerajaan menjelaskan kenapa kedudukan negara sekali lagi merudum untuk tahun 2011.

Sedikit latar belakang CPI, seperti dijelaskan melalui email SPRM: CPI - indeks persepsi rasuah dikeluarkan Transparency International (TI), sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Berlin, Jerman sejak 1995. Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukannya disenaraikan mengikut skor yang diperoleh, bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit.

CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan kajian-kajian oleh pelbagai pihak, terutamanya berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli perniagaan luar negara dengan penekanan kepada elemen rasuah. Pada awal Disember lalu, CPI mengeluarkan laporan indeks persepsi rasuah untuk 2011, Malaysia sekali lagi merudum di tangga ke-60 (jatuh 4 anak tangga) dan di skor 4.3 (jatuh satu mata).

Kenapa begitu? Sudah tiga tahun berturut-turut negara mengalami kejatuhan dalam Indeks Persepsi Rasuah. Walau diulang baca email itu, masih ada pertanyaan menujah minda. Malangnya, tiga kali panggilan telefon kepada Unit Komunikasi Korporat SPRM, hambar tidak terjawab. Saya tidak boleh menjana pendapat secara saksama sekiranya ada persoalan tidak terjawab.

Jadi, saya pohon kebenaran pembaca budiman untuk berkongsi tentang pendirian SPRM secara verbatim sahaja:
“3.1: Kita terima apa jua keputusan berkaitan CPI ini;
3.2: Kejatuhan CPI tidak akan menjejaskan semangat dan perancangan kita untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh dalam memerangi rasuah;
3.3: Masyarakat harus dijelaskan bahawa CPI atau Indeks Persepsi Rasuah ini bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Sebaliknya semua pihak harus memainkan peranan termasuk agensi-agensi kerajaan, pimpinan politik, NGO, swasta dan lain-lain.
3.4: Kerajaan dan SPRM telah melaksanakan dan akan terus melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif untuk membanteras rasuah. Ini termasuk 27 inisiatif di bawah NKRA;
3.5: Kebanyakan dari inisiatif yang sedang dilaksanakan masih di peringkat awal dan memerlukan sedikit masa agar ia berjalan dengan lancar serta dirasai rakyat.”

Saya tidak punya ruang untuk menyebut semua, jadi sekiranya pembaca ingin tahu dengan lebih lanjut, sila hubungi editorial Sinar Harian untuk alamat email saya. Juga penting untuk saya khabarkan antara perancangan SPRM untuk menentang rasuah:
• Penubuhan Institut Integriti Malaysia.
• Pelan Integriti Nasional.
• Menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai tumpuan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
• Menubuhkan lima panel/lembaga dan jawatankuasa bebas untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan.
• Memperkenalkan Integrity Pact dalam sistem perolehan kerajaan.
• Memperkenalkan e-perolehan bagi mewujudkan ketelusan dalam pemberian tender dan kontrak kerajaan.
• Mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes rasuah. • Mewujudkan Unit Pematuhan di setiap agensi kerajaan berisiko.
• Mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah. • Mewujudkan undang-undang berkaitan perlindungan saksi.
• Meratifikasi United Nations Convention Against Corruption. • Wujudnya Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Bantuan Bersama Dalam Hal-Hal Jenayah.
• Wujudnya pemudah.
• Wujudnya kerajaan berorientasikan ICT seperti e-tanah, e-government dan sebagainya. • Mewujudkan Akta Perlindungan Saksi 2009.
• Mewujudkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mohon maaf sekiranya SPRM merasakan saya tidak adil. Jujur cakap, saya bisa merangkap pendapat dengan lebih bagus jika panggilan saya dijawab. Bagaimana anda menggelar diri sebagai ‘unit komunikasi’ jika tidak menjawab panggilan awam? Justeru, mulakan dengan mengangkat telefon.

• Elviza juga seorang peguam dan penulis di http://twitter.com/elviza