TAHUN ini umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan dan Syawal dengan kerajaan baharu.

Bukan niat saya hendak mempolitikkan peristiwa yang mulia ini, namun saya cukup teruja dengan perubahan tingkah laku rakyat Malaysia yang nyata berbeza semenjak kita bertukar kerajaan.

Kita tidak lagi kedengaran bunyi-bunyi jelik seperti mereka yang ingin melarang orang bukan Islam berbuka puasa bersama umat Islam semasa Ramadan.

 Kita tidak dengar lagi wakil rakyat pembangkang diherdik dan dihalau dari pasar Ramadan semasa menyantuni penduduk-penduduk setempat.

Malah kita melihat ramai rakyat Malaysia bersama-sama menyambut Ramadan dan Syawal dengan penuh kegembiraan. Walaupun ia bukanlah perayaan mereka, namun rakyat Malaysia yang bukan Islam juga menikmati pesta makanan dan turut membeli-belah di sepanjang bulan ini di samping menghormati urusan orang Islam.

Semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, dalam amalan kunjung-mengunjungi, orang tua dan muda rancak berborak tentang politik semasa. Yang veteran dan berpengalaman banyak berkongsi pendapat mereka mengenai hal pentadbiran negara oleh kerajaan baharu dan keadaan politik partisan masing-masing.

Yang muda pula berceritakan tentang idola-idola baharu mereka seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang pemimpin berusia 93 tahun yang memaksa diri untuk kembali berkhidmat bagi memimpin usaha menyelamatkan tanah air.

Ataupun anak muda seperti Syed Saddiq yang mengorbankan impiannya untuk mengaji di medan ilmiah terunggul iaitu Universiti Oxford, sebaliknya bertanding dan berjaya menjadi ahli Parlimen pada usia yang begitu muda.

Ramai lagi yang kini menjadi idola termasuk pemimpin-pemimpin seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu yang akhirnya berjaya mencapai tampuk kuasa setelah berdekad berkorban malah meringkuk di bawah tahanan kerajaan lama.

Jika dahulu sekadar menyebut nama-nama ini mungkin dibalas dengan jeling atau gelengan kepala, kini mereka disanjung ramai.

Alangkah gembiranya saya melihat dan merasai perkembangan budaya politik Malaysia masa kini. Jelas, suasana lebih terbuka dan perbezaan dari segi keturunan, agama mahupun fahaman politik tidak lagi mengundang persengketaan yang terlalu emosi.

Kini kita dapat melihat mereka yang menyokong Pakatan dan Barisan Nasional boleh duduk bersama-sama dan bincang hal politik dengan matang tanpa perlu mengelak satu sama lain di rumah terbuka.

Kita juga dapat melihat rakan-rakan berbilang keturunan dan agama lebih selesa dalam pergaulan sesama sendiri. Ada kemungkinan lensa mata saya terbatas dengan apa yang berada di sekeliling saya sahaja, namun saya percaya ramai yang di luar sana juga dapat merasainya.

Dalam erti kata lain, negara kita telah sampai tahap kematangan dalam evolusi politiknya.

Ironisnya, kita akhirnya berjaya melangkah ke arah salah satu matlamat yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir sendiri pada tahun 1991 dalam ucaptama Wawasan 2020, iaitu gagasan Bangsa Malaysia.

Konsep ini menyeru agar Malaysia dalam usahanya untuk menjadi negara maju harus mengukuhkan perpaduan sesama rakyat dengan mewujudkan pemikiran dan identiti yang bersepakat.

Walaupun bunyinya mudah, namun ia tidak berjaya dicapai sekian lama ini dek kerana angkara kerajaan lama yang memanfaatkan perpecahan rakyat sebagai modal politik.

Bangsa Malaysia di sini tidak membawa maksud keturunan, tetapi satu identiti yang berteraskan kepada kewarganegaraan.

Identiti yang dapat menyatukan semua rakyat Malaysia ini penting kerana ia menjadi satu sifat kepunyaan semua rakyat Malaysia tidak kira warna kulit, agama dan latar belakang tanpa mengorbankan adat budaya masing-masing.

Jika berjaya dibatinkan, saya percaya kita tidak akan lagi mendengar kata-kata jelik menghalau rakan seMalaysia kita pulang ke negara-negara 'asal' mereka.

Namun untuk benar-benar mencapai matlamat ini tidak mudah. Bibit-bibit awal sudah kelihatan dalam zaman Malaysia baharu ini, tetapi kita perlu giat merebakkan semangat bangsa Malaysia ini bermula dari didikan anak-anak kita di rumah, sekolah dan komuniti.

Kita harus mengambil kesempatan dengan persekitaran politik sihat yang dinikmati sekarang untuk membasmi prasangka dan dinding perkauman, merapatkan jurang perbezaan sosioekonomi dan memupuk semangat perpaduan dan keMalaysiaan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf  Zahir dan Batin.

* Dyana Sofya ialah seorang peguam dan Ahli Majlis Eksekutif Sayap Pemuda Parti Tindakan Demokratik-DAPSY Kebangsaan