Pesta buku terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara kembali lagi. Tema pada tahun ini ialah Buku: Dunia Tanpa Sempadan. Pesta tahun ini bermula 27 April hingga 6 Mei 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan menghimpunkan lebih 750 gerai dengan 250 pempamer.

Seperti tahun lalu Majlis Buku Kebangsaan (MBBKM) dan Kementerian Pelajaran sekali lagi menjadi tuan rumah menemukan peminat, penggiat industri, orang perseorangan dan berkumpulan untuk bercakap tentang buku.

Pesta buku ini juga akan memperdagangkan sejumlah buku untuk dinilai, dibincang dan seterusnya berlaku beberapa perjanjian berkaitan hak cipta ke atas mana-mana naskhah terpilih. Bisnes hal ini telah bermula Selasa lalu secara tertutup hingga Jumaat. Selepas itu barulah pesta buku ini dibuka kepada umum.

Kebiasaannya pertemuan di pesta-pesta buku luar negara contohnya di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, di Beijing, London, Abu Dhabi, Bologna Itali, di Indonesia dan di negara-negara lain di dunia akan menyusul di Kuala Lumpur pula dengan pelbagai temu janji.

Penggiat industri buku ini akan terus menjalin perbincangan hingga membolehkan naskhah-naskhah dilesenkan. Semestinya proses ini membabitkan banyak pihak dan terma, seperti golongan penulis, penerbit, pempamer dan peguam kerana ia membabitkan hak cipta dan royalti.

Semestinya ini adalah aktiviti amat dinanti-nantikan oleh sesiapa bergiat dalam industri buku negara. Proses ini telah pun bermula dengan pertemuan bersama rakan-rakan niaga dari Vietnam, Filipina, Singapura dan Indonesia pada Selasa lalu dalam satu majlis kenal mesra yang dianjurkan oleh MBBKM.

PBAKL yang seolah-olah pesta sambutan hari raya bagi peminat buku, kini mula dibualkan oleh ribuan orang. Semestinya sudah ada senarai berapa gerai akan dikunjungi, ada beberapa temu janji dibuat, ada hadiah akan diberi… semuanya sedang berlangsung dalam diam dan akan menjadi realiti menjelang esok hingga pesta 10 hari ini berakhir.

Bagi kami di Grup Buku Karangkraf, semestinya sudah bersedia dengan aktiviti hebat ini yang menjadi agenda wajib setiap tahun. Jabatan jualan dan pemasaran sudah bersedia dengan pelbagai tawaran harga menarik. Kempen promosi giat dijalankan sejak beberapa bulan lalu, sama ada di dalam talian, cetakan poster dan aktiviti bersama penulis di kedai-kedai buku.

Bagi pihak editorial pula, barisan buku-buku baru dengan judul-judul menarik juga sudah disiapkan. Ada buku dengan konsep baru, ada judul yang dimantapkan, ada kulit buku yang dicantikkan rekaannya dan ada judul-judul yang sudah siap diulang cetak. Semuanya mulai dibawa masuk ke Dewan Tun Dr Ismail di PWTC mulai semalam.

Grup Buku Karangkraf juga sudah mempersiapkan barisan penulis novel yang hebat dari Alaf 21 dan Buku Prima untuk anda temui bagi sesi bergambar, perbualan mesra dan tanda tangan autograf. Mereka juga menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk diberikan kepada sesiapa membeli novel mereka. Semestinya yang akan hadir antaranya, Siti Nur Duha, Anis Ayuni, Ramlee Awang Murshid, Aisya Sofea dan ramai lagi.

Begitu juga kami sudah persiapkan barisan penulis buku motivasi agama daripada Karya Bestari. Ustaz dan ustazah ini amat teruja untuk menemui peminat karya mereka. Semestinya yang paling mengujakan ialah dengan terbitnya buku baru tulisan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan pendakwah bebas, Ustaz Khazim Elias.

Buku kanak-kanak dengan cerita dan lukisan menarik pastinya akan menjadi tumpuan anak-anak dan golongan awal remaja. Sesi melukis dan aktiviti bercerita tetap ada di pentas yang tersedia di dalam Dewan Tun Dr Ismail. Untuk kesemua jualan dalam dewan Grup Buku Karangkraf, semestinya diskaun dari 5 hingga 50 peratus menanti pembeli.

Saya harap semua pihak dapat mempergunakan segenap jadual yang ada. Semoga kita dapat manfaat daripada industri ini. Temuilah penulis-penulis yang diminati. Adakan juga perbincangan serius dengan editor-editor. Selain itu pilihlah buku-buku yang dihajati, bertanya dengan petugas soalan-soalan yang menjadi kemusykilan selama ini, mereka pasti akan membantu.

Semoga dunia buku tanpa sempadan ini akan melahirkan lebih ramai mereka yang celik ilmu. Dapat manfaatkan setiap bahan bacaan yang baik, dalam usaha kita mencipta lebih ramai masyarakat yang menghargai ilmu dan tidak lokek memberi ilmu serta tidak malas untuk mencari ilmu. Sememangnya buku adalah dunia luas tanpa sempadan akal dan fizikal.