Dari Sungai Petani, kami ke Plaza Angsana Johor Bahru dan kini kemeriahan serupa, Karnival Karangkraf 2012 kami bawa dalam kapasiti yang lebih besar, lebih hebat di Kompleks Media Karangkraf, di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. Hasilnya, dunia buku yang suram pada 1980-an dan 1990-an, telah kami nafikan.

Buku kanak-kanak yang dianggap sepi, terus rancak. Genre untuk kanak-kanak tahap satu, dua dan remaja mula meningkat tiga kali ganda. Dunia buku-buku mengenai resipi dan kraf juga mulai mendapat tempat. Buktinya Grup Buku Karangkraf terus berkembang pesat dan perolehan pendapatan grup ini meningkat tiga ratus peratus pada 2011.

Demikianlah kemeriahan dunia buku yang berjaya hidup selepas koma seketika sepanjang 20 tahun lalu. Apabila novel-novel kembali mendapat tempat di hati penggemarnya, berpuluh judul baru terhasil setiap bulan. Ini sekali gus mengejutkan industri buku-buku genre lain yang turut terkena tempiasnya.

Dalam masa singkat, hasil kempen, populariti dan pemasaran yang tepat, bisnes ini melonjak naik. Memang ini adalah satu sejarah penting industri buku tempatan. Setelah kita melihat industri ini berkembang di negara luar, adalah tidak mustahil kita juga boleh berjaya seperti negara lain.

Seperkara lagi yang tambah menyokong industri perbukuan negara ialah apabila kerajaan bermurah hati memberi sumbangan baucar untuk pelajar menengah rendah dan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Siapa yang berpendapat kerajaan tidak membantu meningkatkan bisnes penerbitan dan percetakan haruslah muhasabah diri.

Tempias ini sudah mula kami sebagai penggiat buku rasai. Bantuan sebanyak RM260 juta yang diberikan kepada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi di seluruh negara yang mula diagihkan Januari lalu, kami sasarkan sekurang-kurangnya RM10 juta adalah milik kami.

Sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai. Baucar ini yang sah diguna pakai untuk tempoh tiga bulan (1 Januari hingga 31 Mac 2012) haruslah dimanfaatkan. Setiap penuntut menerima baucar RM200 dalam bentuk empat keping baucar bernilai RM50 dan bukan wang tunai.

Kami sudah bersedia dengan deretan kaunter untuk memproses baucar ini, dengan ribuan judul buku, dengan kempen-kempen komersial, iklan dan semestinya dengan jadual-jadual aktiviti yang sudah siap dirancang.
Ini juga akan disusuli dengan Mini Karnival yang akan berlangsung di pekan-pekan kecil di negeri-negeri terpilih. Kami bawakan penulis-penulis yang karya mereka digilai pembaca. Berkampunglah novelis selama tiga hari dua malam bersama-sama penggemar mereka.

Kedai buku Sinar Bestari yang mula dibuka awal 2012 di 1 Plaza Kuala Selangor dan Karangkraf Mall yang beroperasi di Kompleks Media Karangkraf juga bersedia untuk menerima baucar-baucar. Jika ada harga tawaran, baucar itu juga boleh digunakan. Memang semangat untuk mendorong pelajar membaca menjadikan kami lebih cekal memproses manuskrip terbaik untuk semua.

Untuk kelangsungan genre penerbitan juga Festival Penulis diadakan selama tiga hari berturut-turut semasa berlangsungnya Karnival Karangkraf. Festival ini diadakan di dalam auditorium yang berhawa dingin dan lebih selesa untuk sesi cambah fikiran.

Topik agama berjudul `6 Kaki Bawah Tanah’ yang membariskan panel terkenal iaitu Profesor Madya Rasid dari UiTM Jengka, Ustaz Zaharuddin dan Dr Robiah dibawakan oleh Karya Bestari. Topik ini dijangka mendapat sambutan hebat.

Selain itu ada perbincangan mengenai novel adaptasi ke drama dan filem. Ada juga sembang buku untuk genre kanak-kanak dan remaja mengenai laras bahasa, sama ada mahu bahasa standard atau bahasa tinggi.

Kepada peminat novel thriller pula boleh kemukakan pendapat sama ada bersetuju dengan tema itu atau mahu kalah dengan tema `jiwang yang cintan-cintun’ yang sangat-sangat digilai pembaca wanita. Ya, tepuk dada tanya poket – kami sediakan apa saja yang peminat mahu baca.

Jemput datang. Mulai esok hingga Ahad 29 Januari kami buka pintu pejabat seluasnya untuk anda nikmati satu dunia penuh maklumat, aktiviti dan keriangan di Karnival Karangkraf 2012.