PERBEZAAN pandangan dalam sesuatu perkara wujud sejak zaman Baginda SAW lagi. Dalam satu riwayat daripada Ibn Umar ra disebutkan bagaimana dua kumpulan sahabat berbeza pandangan berhubung arahan Baginda SAW “jangan sekali-kali salah seorang daripada kamu solat Asar kecuali di perkampungan Bani Quraizhah.”

Lalu apabila tiba waktu solat, ketika mereka masih dalam perjalanan, sebahagian daripada mereka berkata, “kami tidak akan solat kecuali setelah sampai tujuan (perkampungan Bani Quraizhah)”, dan sebahagian yang lain berkata, “kami akan mendirikan solat kerana arahan Baginda SAW tidaklah bermaksud demikian.”

Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, dan Baginda SAW tidak mencela seorang pun daripada mereka.” (Bukhari). Ini menunjukkan kepada kita bahawa kedua-dua pandangan itu tidaklah salah, cuma ia berdasarkan tafsiran dan fahaman masing-masing terhadap arahan Baginda SAW.

Perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara akan senantiasa wujud hingga hari kiamat. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana banyak faktor mempengaruhi timbulnya perbezaan pandangan ini.

Para ulama mengarang banyak kitab berhubung perbezaan pandangan ini seperti Imam Sha’rani dalam kitabnya al-Mizan, begitu juga kitab-kitab lain seperti al-Mughni, Bidayat al-mujtahid dan Kashf al Ghummah. Ulama-ulama kontemporari turut banyak mengulas tentang perkara sama seperti kitab oleh Sheikhul Hadith, Sheikh Muhammad Zakariyya Kandahlawi ra berjudul Ikhtilaf al-a’immah, Dr Taha Jabir al-Awani, dengan Adabul Ikhtilaf, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain.

Namun apa yang malang, di sebalik kitab yang sebegini banyak dikarang oleh ulama silam dan kini, dan dibaca oleh para asatizah kita hari ini, namun ia seolah masih tidak mengurangkan ketaksuban dan kefanatikan masing-masing terhadap pandangan mereka seolah berasa “hanya pandangan aku sahaja yang betul, pandangan selain daripadaku salah belaka”.

Sikap sebegini adalah tidak matang dan boleh menjejaskan hubungan keharmonian dengan pihak lain yang tidak sependapat dengan kita. Apatah lagi perbezaan pandangan ini diperbesarkan melalui kuliah-kuliah di masjid-masjid, tulisan-tulisan di akhbar dan laman-laman sesawang serta media sosial.

Perbezaan pandangan wujud di zaman silam mengikut pengamatan Sheikh Muhammad Zakariya Kandhlawi, banyak disebabkan oleh penilaian dan pemilihan berbeza terhadap sesuatu hadis oleh para imam.

Bahkan dalam masyarakat hari ini juga perkara yang sama turut berlaku. Tidak semua hadis yang ditakhrijhkan oleh Sheikh Nasiruddin al-Albani misalnya, sama ada ia hadis sahih, da’if atau maudhu’ (palsu) diterima dan disepakati oleh para ulama lain.

Begitu juga dalam perkara-perkara khilafiyyah dalam mazhab yang sepatutnya kita turut berlapang dada jika sekalian ulama mazhab dahulu pun boleh menerima perbezaan pandangan itu. Manakala dalam hal-hal baharu atau bidaah, di sana ada pandangan ulama yang membenarkan wujudnya dua kategori bidaah, iaitu Bidaah Mahmudah Hasanah (yang baik) dan Bidaah Dalalah (yang sesat) seperti Imam al Syafi’e, Sultan al-Ulama al-Izz ibn Abdul Salam dan lain-lain.

Jika kita kalangan mereka yang mengikut aliran Imam al-Shatibi yang menolak pembahagian sedemikian, maka berlapang dadalah dengan pendapat imam-imam lain yang juga tidak salah.

Lantaran itulah kaedah ada menyebut bahawa “la yunkaru al-mukhtalafu fihi wa innama yunkaru al-muttafaq ‘alaih” iaitu bermaksud tidak dicegah dalam perkara yang diperselisihkan, tetapi dicegah dalam perkara yang disepakati atasnya.

Marilah sama-sama kita hidup dalam masyarakat yang saling menghormati pandangan orang lain kerana setiap manusia walaupun rambut sama hitam tetapi kefahaman dan pandangannya tidak semesti sama. Selama pandangan-pandangan tersebut tidak keluar dari landasan syariat, maka seharusnya kita sama-sama berlapang dada.