ALHAMDULILLAH, kita panjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada ALLAH SWT yang telah memanjangkan usia kita menginjak ke bulan Ramadan sekali lagi pada tahun ini. Para salafussoleh dikatakan mendoakan untuk bertemu Ramadan seawal enam bulan sebelum kedatangan Ramadan lagi. Baginda SAW turut diriwayatkan mendoakan keberkatan bermula bulan Rejab dan Syaaban dan mendoakan disampaikan hingga ke bulan Ramadan.

Hari-hari kita mendengar berita kematian, ada dalam kalangan kita yang hanya sempat hidup pada bulan Rejab, ada pada bulan Syaaban dan ada yang sempat sampai hanya pada hari pertama Ramadan. Kita tidak pasti adakah kita mampu mengharungi sebulan Ramadan yang penuh keberkatan ini hingga ke penghujungnya. Sama-samalah kita berdoa untuk itu.

Masa yang kita miliki di dunia ini amat berharga. Ia adalah seumpama “modal” untuk kita gunakan bagi perniagaan akhirat yang keuntungannya akan kita kutip setelah mati kelak. Bagi seorang ahli perniagaan yang memiliki modal misalnya RM70,000, beliau pasti mengerti bagaimana pentingnya untuk menggunakan setiap sen wang tersebut bagi meraih keuntungan dan laba yang besar dalam perniagaannya. Tidak akan dibazirkan walau sesen sekalipun.

Namun malangnya bagi kita yang modal usia mungkin sekitar 70 tahun, ramai tidak menyedari kepentingan masa yang dimiliki itu, lalu dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat untuk akhirat kelak, antaranya melalui pembaziran masa dengan media sosial dan internet. Pelbagai aplikasi komputer, telefon bimbit atau gajet hari ini yang telah menarik, melalai, menghanyutkan manusia dari matlamat kehidupan sebenar mereka di muka bumi ini.

Islam tidak memusuhi teknologi, jika ia membawa kebaikan kepada kehidupan di dunia dan akhirat, namun apa yang kerap terjadi adalah teknologi itu tidak selalunya digunakan untuk manfaat dunia dan akhirat, tetapi digunakan untuk perkara sia-sia, perbualan kosong, membazir masa, bahkan dalam banyak keadaan mengundang permusuhan, perbalahan, pertelingkahan, umpat keji, kata dusta nista, pembohongan dan pelbagai lagi hal-hal yang mungkin awalnya bersifat “sia-sia” tetapi bertukar menjadi dosa.  

Pada Ramadan ini, marilah sama-sama kita fokus kepada mempertingkatkan amal ibadat - mencari keredaan ALLAH SWT. Kurangkan masa bersama dengan aplikasi telefon bimbit seperti WhatsApp, Telegram atau media sosial seperti Facebook dan seumpamanya. Penglibatan dalam aplikasi-aplikasi ini pasti mengambil masa berharga kita jika terus melayani aplikasi ini kerana tanpa sedari kita telah menghabiskan berjam-jam masa bersamanya. Jika terpaksa kerana tugasan, maka lakukan sekadar perlu sahaja.

Banyakkan masa kita berzikir dan membaca al-Quran, mendirikan solat-solat sunat kerana ganjarannya amat besar sekali pada bulan Ramadan ini, bahkan amalan-amalan sunat yang dikerjakan, pahalanya dianggap sama dengan mengerjakan amalan wajib (HR Bayhaqi dan Ibnu Khuzaimah).

Seorang ulama Amerika tinggal di Jordan yang mensyarahkan kitab Umdatul Salik karangan Imam Ahmad ibn Naqib al-Misri ke bahasa Inggeris dengan judul Reliance of the Traveller, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyebut bahawa sudah tiba masanya kita perlu “Stop and Go” atau “Berhenti dan Bergerak”. Ia membawa maksud, kita berhenti daripada membazir masa dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat untuk penghidupan duniawi dan ukhrawi, dan bergerak dengan pantas untuk perkara-perkara yang memberi manfaat untuk duniawi dan ukhrawi kita.  

Amat bodoh bagi mereka yang di depannya penuh dengan emas, namun ia tidak mengutip dan mendulangnya membawa pulang. Sempena kedatangan Ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita fokus dan beri tumpuan yang tinggi bagi “mendulang pahala” sebanyak mungkin yang disediakan oleh ALLAH SAW sepanjang Ramadan yang penuh barakah, kerana ini mungkin pertemuan terakhir kita dengan Ramadan. Tinggalkan apa sahaja yang mengganggu, menghalang atau menarik perhatian kita daripada tujuan utama ini.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)