PEMBACA semua pasti telah pun meneliti kandungan Buku Harapan, iaitu Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan. Buku Harapan dengan tajuknya Membina Negara, Memenuhi Harapan memperincikan lima Teras.

Teras 1: Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat, Teras 2: Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik, Teras 3: Merancak Pertumbuhan Ekonomi yang Adil dan Saksama, Teras 4: Mengem-balikan Status Sabah dan Sarawak Berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 dan akhir sekali Teras 5: Membina Malaysia yang Inklusif, Moderat dan Gemilang di Persada Dunia.

Secara peribadi penulis tertarik dengan Janji 39 berkenaan perancangan pembangunan lestari di bawah Teras 3: Merancak Per-tumbuhan Ekonomi yang Adil dan Saksama. Janji 39 menyatakan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.

Pertama, dasar dan polisi alam sekitar akan sentiasa dikaji semula dan ditanda aras mengikut Amalan Terbaik Antarabangsa. Semua projek pembangunan hendaklah mematuhi piawaian perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum diluluskan.

Kedua, kuota pembalakan akan dikuatkuasakan dengan lebih ketat untuk memastikan hutan kita sentiasa dipelihara. Dalam masa sama, kerajaan akan menyelaraskan dan melaksanakan peraturan untuk melindungi hidupan marin, hidupan liar dan alam semula jadi serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pemburu dan pembalak haram.

Dasar pelaburan negara juga akan dinilai semula untuk memberi keutamaan kepada industri teknologi tinggi sekali gus mengutamakan penggunaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui.

Semua peraturan dan undang-undang berkaitan dengan pengurusan dan perlindungan alam sekitar akan disemak semula supaya struktur pentadbiran yang betul dapat diwujudkan, selaras dengan permintaan semasa.

Kerajaan baru ini juga akan memelihara dan mengutamakan perlindungan biodiversiti, di mana ia juga menyumbang kepada sumber pendapatan negara. Matlamat kita adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya dua Taman Negara yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Ketiga, kerajaan menyokong penuh United Nation’s Sustainable Development Goals (SDG). Matlamat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2020 merupakan salah satu langkah yang diutamakan.

Kerajaan baru ini juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu. Industri ini berpotensi berkembang pesat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memastikan peningkatan pulangan pelaburan kepada negara.

Tenaga boleh baharu melalui sumber boleh baharu akan ditingkatkan dari dua peratus kepada 20 peratus menjelang 2025. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengurangkan pergantungan kepada loji jana kuasa arang batu yang merupakan salah satu kaedah penjanaan kuasa yang mempunyai kesan yang  serius terhadap pelepasan karbon.

Selain itu, peraturan yang lebih ketat akan dilaksanakan bagi memastikan syarikat-syarikat luar yang ada di Malaysia tidak menyumbang kepada pencemaran. Kami akan menubuhkan sebuah majlis yang diberi nama “National Coordination Council for Climate Adaptation and Mitigation” yang akan menyelaraskan tindakan Kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan untuk menangani cabaran perubahan iklim.

Menerusi artikel ini, penulis ingin menggesa rakyat Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai individu yang amanah, bermula dengan empat (4) perkara asas ini:

1) Pertama, mempraktikkan amalan kitar semula. Kitar semula bukanlah inisiatif baharu, dan telah pun bertahun-tahun dipromosikan di mana-mana, di setiap pasar raya, kampung, kompleks kejiranan, pejabat, sekolah dan di setiap pusat komuniti. Namun, data yang dikumpul oleh syarikat SW Corp tahun lalu menyatakan hanya 17.5% masyarakat Malaysia mengasing dan mengitar semula. Statistik ini amat rendah berbanding dengan negara Jepun dan Sweden.

2) Kedua, mengamalkan penjimatan tenaga elektrik dan air. Amalan penjimatan ini bukanlah semata-mata untuk penjimatan bil sendiri tetapi atas dasar kesedaran betapa banyaknya kos dan sumber yang digunakan untuk membawa air bersih dan tenaga elektrik kepada setiap premis.

3) Ketiga, menyokong pembelian produk hijau yang tidak mencemarkan alam sekitar dan yang telah melalui proses-proses ketat bagi memastikan ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Terdapat pelbagai produk hijau yang telah pun disahkan di Malaysia di bawah label MyHIJAU yang diusahakan oleh Greentech Malaysia.  

Sudah tiba masanya kita menggalas amanah ini di bahu sendiri, memikul tanggungjawab menjaga alam sekitar dan juga mendidik generasi muda di dalam rumah kita. Semua ini perlu dimulakan dari peringkat individu serta melalui kefahaman yang betul dan mendalam.

Tenaga Hijau untuk semua.

* Penulis ialah CEO Kumpulan GreenTech Malaysia / drmaza@greentechmalaysia.my