Menurut kajian, terdapat 2.4 juta warga emas di Malaysia hari ini, yakni kira-kira lapan peratus penduduk negara. Jabatan Statistik mensasarkan bilangan ini bertambah menjadi 3.2 juta 10 tahun lagi. Apabila bilangan warga emas menjadi 9.5 peratus komposisi penduduk negara pada 2035, maka Malaysia secara rasmi menjadi negara masyarakat tua seperti Jepun dan Singapura.

Bilangan warga emas (mereka berumur 60 tahun ke atas) semakin meningkat kerana jangka hayat yang lebih lama, berikutan kualiti hidup dan kemudahan perubatan yang lebih baik. Secara purata, jangka hayat wanita negara kita ialah 78 tahun dan lelaki 76 tahun. Keadaan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap negara. Di peringkat keluarga, ia bermakna anak-anak perlu memastikan penjagaan kepada orang tua mereka. Kos penjagaan, terutama kesihatan, pemakanan dan perubatan, mungkin meningkat pada masa depan. Di sinilah pentingnya anak-anak dididik supaya menghormati dan menyayangi orang tua. Mereka sepatutnya tidak lepas tangan, malah berperanan menghargai ibu bapa.

Perkara ini sangat disarankan agama Islam. Maksud ayat 36 Surah An Nisa: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa.” Banyak ayat yang menganjurkan umat berbakti dan taat kepada ibu bapa termasuk Al Israa: 23-24, Al Ankaabuut: 8, At-Taubah: 23, Ash Shaafaat: 102 dan Luqman: 15.

Doa kepada ibu bapa dalam Surah Ibrahim ayat 41 bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari Kiamat).

Hari ini, ramai warga emas yang mengalami sindrom ‘empty nest’ atau perasaan sunyi kerana bersendirian atau ditinggalkan anak-anak yang menetap di tempat lain. Kesannya, mereka berasa sedih dan mengalami tekanan atau masalah mental, terutama warga emas wanita. Ada yang menjadi gelandangan. Satu kajian kerajaan pada 2010 menganggarkan 538,000 warga emas termasuk dalam kategori ini.

Walaupun Kerajaan menyediakan infrastruktur dan mengadakan peruntukan besar bagi mengendali kebajikan warga emas, namun yang terbaik ialah untuk anak-anak sendiri menjaga ibu bapa mereka yang tua. Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa 60 peratus warga tua tinggal dengan keluarga, manakala kajian Institut Gerontologi pada 2008 pula menunjukkan bahawa 60 peratus warga emas di Malaysia menerima bantuan kewangan daripada anak, menurun daripada 70 peratus pada 1999.

Di peringkat kerajaan pula, antara infrastruktur yang disediakan ialah Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (ada 22 kesemuanya) dan pelbagai program sokongan termasuk Unit Penyayang Warga Emas, Khidmat Bantu Di Rumah (Homehelp) dan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau Karisma.

Ramai warga emas Eropah yang sudah menetap di Malaysia di bawah Skim Malaysia Rumah Keduaku. Semakin ramai warga Singapura yang berminat melabur dalam skim perumahan bagi pesara di Iskandar, sebagaimana minat warga emas Jepun melabur dalam projek yang sama di Thailand. Skim sebegini menyediakan banyak kemudahan khusus untuk warga emas, meliputi penjagaan kesihatan dan perubatan sehinggalah tandas yang sesuai untuk kegunaan mereka.

Hakikatnya, warga emas adalah aset negara kerana ilmu pengetahuan, pengalaman, kesabaran dan kelebihan berkomunikasi yang ada pada mereka. Mereka masih boleh cergas dalam semua aspek dan menjalani hidup secara aktif, beribadat, berfikiran positif, bergaul dengan jiran tetangga dan bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan. Di banyak negara maju, tenaga warga emas masih digunakan dalam bidang pekerjaan dan kesukarelawanan.

Kerana itulah setiap 1 Oktober, mereka diraikan dengan Hari Warga Tua Sedunia. Malaysia juga menzahirkan penghormatan dan pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka dengan Hari Warga Emas Kebangsaan pada tarikh sama.