SETELAH berakhir Perhimpunan Agung Umno 2017 pada 9 Disember lalu, pelbagai isu dibincangkan, tetapi isu sosioekonomi rakyat kurang kedengaran walaupun sudah menjadi isu panas masa kini.

Wakil pemimpin Cina iaitu MCA yang hadir pada masa itu perlu menyuarakan isu sosio ekonomi rakyat Malaysia, terutama berkaitan dengan bukan Melayu, khususnya komuniti Cina yang telah dijadikan satu agenda dalam PRU14.

Komuniti Cina pada hari ini amat penting dalam menentukan kemenangan kepada mana-mana parti di kawasan Parlimen campuran etnik. Ini melibatkan 120 kawasan parlimen campuran etnik yang mana komuniti Cina mempunyai kekuatan dalam penentuan tersebut.

Walaupun kadar kemiskinan di bandar berjaya diturunkan sehingga 0.3 peratus dan luar bandar pada 1.6 peratus pada 2014, tetapi jurang pendapatan dalam kelas menengah di bandar semakin membesar. Pekali ini menunjukkan pendapatan kasar bulanan isi rumah di bandar adalah 0.391 peratus berbanding luar bandar 0.355 peratus.

Jika diamati jurang penengah pendapatan kasar isi rumah bagi etnik Cina adalah  tinggi iaitu perbezaan antara penengah pendapatan tertinggi dan penengah pendapatan terendah.

Dalam kes ini, perbezaan penengah pendapatan bagi etnik Cina iaitu RM11,472 berbanding etnik Melayu iaitu RM8,577, etnik India iaitu RM9,392 dan lain-lain RM11,072 di kawasan bandar.

Perbezaan di luar bandar turut mencatatkan etnik Cina paling tinggi iaitu RM6,227 diikuti etnik Melayu RM5,278, India RM4,063 dan lain-lain RM4,091. Ini menunjukkan secara purata etnik Cina mempunyai jurang pendapatan paling besar sama ada di bandar iaitu RM15,196 diikuti Melayu RM11,384, India RM12,279 dan lain-lain RM14,249. Di luar bandar secara purata perbezaan untuk etnik Cina tersebut iaitu RM7,710 diikuti Melayu RM6,331, India RM5,205 dan lain-lain RM4,915.

Angka di atas menunjukkan  jurang pendapatan bagi etnik Cina  terlalu besar sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Malah 30 peratus komuniti Cina berada dalam kelompok B40 dan 55 peratus berada dalam kelas menengah.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan bandar dalam kalangan etnik Cina ialah terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan tanpa bantuan kewangan daripada pihak kerajaan.

Ada di antara mereka terlibat dengan pinjaman ah long bagi mengusahakan dan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka yang semakin mencabar. Faktor lain, kadar pengangguran dalam kalangan komuniti Cina sebanyak 30 peratus yang melibatkan anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ke atas.

Situasi ini disebabkan berlakunya keciciran dalam arus persekolahan. Di kawasan luar bandar jurang kemiskinan disumbangkan oleh sektor pertanian, perniagaan perkhidmatan kecilan dan perikanan pantai. Ketiga-tiga sektor ini hanya mampu menempatkan mereka dalam kelas menengah ke bawah.

Memang ramai daripada rakyat Malaysia kurang percaya bahawa wujudnya kemiskinan dalam kalangan komuniti Cina dan juga wujudnya buta huruf bahasa negara. Situasi ini menyebabkan golongan ini tidak mengikut arus perkembangan negara.

Golongan ini secara langsung terlibat dalam perniagaan dan bekerja sendiri dan lebih mudah terpengaruh dengan agenda DAP berbanding MCA dan Gerakan. Maka dengan demikian MCA dan Gerakan perlu cerminkan diri terlebih dahulu dan jangan menuding jari kepada pihak lain atas kegagalan permasalahan sosio ekonomi komuniti Cina.

Kemiskinan kehidupan dalam kalangan komuniti Cina lebih terkesan kepada golongan yang berumur 50 tahun ke atas. Ini disebabkan golongan ini tidak mempunyai pendapatan secara tetap walaupun telah berusia. Situasi ini menyumbang kepada kadar peratusan bunuh diri yang tinggi akibat daripada tekanan kehidupan. Kadar peratusan bunuh diri menunjukkan komuniti Cina adalah kedua tertinggi berbanding etnik Melayu.

Malah kadar peratusan warga emas komuniti Cina yang dimasukkan ke rumah kebajikan warga tua semakin meningkat di bandar berbanding luar bandar  dan etnik lain. Isu orang kurang upaya (OKU) dalam komuniti Cina juga semakin bermasalah.

Penjagaan ke atas anak-anak OKU sering kali diabaikan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja. Akibatnya OKU ini dihantar ke pusat OKU persendirian. Pusat jagaan OKU persendirian ini ada kalanya kurang memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Isu permasalahan sosio ekonomi komuniti Cina selalu dimanipulasikan pihak tertentu. Akibatnya komuniti Cina sering kali mengasingkan diri daripada perkembangan arus kehidupan negara ini. Ini boleh dilihat apabila isu Rohingya dan pengiktirafan Baitulmaqdis oleh Amerika Syarikat kurang diberikan perhatian mana-mana NGO dan parti-parti politik Cina.

Maka sudah tiba masa, NGO dan parti-parti politik Cina berjalan seiring, sehati dan sejiwa melihat isu-isu nasional ini bersama komuniti lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMPEN boikot undi oleh ahli-ahli Pakatan Harapan menunjukkan bahawa berlakunya perpecahan dan ketidaksetujuan dalam soal kelangsungan kuasa Harapan.
  • RAMAI rakyat Malaysia yang bekerja siang dan malam mengeluh pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi. Rata-rata bagi mereka adalah golongan berumur 40 tahun ke bawah atau B40. Walaupun ekonomi negara semakin berkembang dan Ringgit mulai kukuh, nikmat kemakmuran negara kurang dirasai oleh mereka.
  • DALAM konvokesyen Gerakan Ummah yang diadakan dua minggu lepas, terdapat desakan daripada NGO-NGO Melayu supaya sekolah agama rakyat (SAR) diberikan bantuan.
  • BEBERAPA hari lepas, saya berjumpa beberapa ahli Amanah yang kecewa dengan hala tuju Harapan. Mereka mengatakan usaha ibarat meletak air di daun keladi. Kenapa berlaku begitu?
  • TAHUN baharu ini, ramai yang mempertikaikan pertumbuhan ekonomi tidak dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia. Ada yang mengatakan berlakunya jurang pendapatan antara kaya dan miskin. Pada masa sama, ada menyebut berlakunya ketidakimbangan pendapatan dalam kalangan pekerja di Malaysia.