CADANGAN mewajibkan semua wakil rakyat lulus Bahasa Malaysia dalam SPM adalah satu tindakan untuk mengutamakan identiti negara bangsa. Ini disebabkan pada hari ini bahasa Malaysia semakin dihakis dengan penggantian bahasa lain. Rakyat turut terikut dengan kepimpinan wakil rakyat yang acuh tidak acuh dengan keutamaan bahasa negara.

Kajian Centhra yang memetik daripada Prof Sharon Carsten pada 2014 mendapati, orang Cina Malaysia mempunyai 'perasaan negatif terhadap penggunaan bahasa kebangsaan', dan Prof Dr Teo Kok Seong pada 2015 mendapati, 604 daripada 14,000 peserta Program Latihan Khidmat Negara 2010 tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan.

Malahan dalam satu majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017, Tuanku Sultan Nazrin Shah telah mengingatkan kewajipan sekolah Cina bagi memastikan murid-murid Cina dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik sehingga fasih, dan dapat mengatasi sekolah kebangsaan.

Dalam satu majlis lain pula, Perdana Menteri, Dauk Seri Najib Tun Razak turut mengingatkan pemimpin Cina seperti MCA dan NGO Cina, memastikan penguasaan bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. Perkara ini penting kerana bahasa Malaysia adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan rakyat dan seharusnya dikuasai semua individu tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

Benarkah sistem vernakular yang menyebabkan pelajar-pelajar SJK meminggirkan bahasa Malaysia. Benarkah sistem vernakular merupakan penghalang utama perpaduan negara ini. Benarkah sehingga kini negara kita masih gagal mewujudkan satu bahasa, satu pendidikan dan satu identiti negara bangsa. Persoalan demi persoalan tidak mampu diselesaikan walaupun kita dilihat bersama tetapi sebenarnya tidur berlainan mimpi dengan bantal yang sama.

Benarkah sistem vernakular yang mewujudkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Perkara 152 ini juga memperuntukkan bahawa walaupun bahasa Melayu itu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.

Seterusnya, Perkara 152 tidak menghalang seseorang mempelajari bahasa Mandarin atau Tamil atau Inggeris sebagai sebahagian daripada subjek, namun bukan menggunakan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar untuk semua sistem pendidikan. Contoh kes penghakiman Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia. Kes ini mensahihkan lagi kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan. Hal ini apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hak untuk Universiti Merdeka menggunakan bahasa Mandarin (vernakular) sebagai bahasa pengantar tidak tercatat dalam Perlembagaan.

Di manakah silapnya acuan negara kita? Walaupun kita mengiakan penerusan sistem vernakular, tetapi hakikatnya sistem ini kurang membantu perpaduan negara ini selepas setengah abad. Ada yang memperkatakan sistem vernakular membantu perpaduan tetapi kenapa kita masih hidup dalam dasar pecah dan perintah seperti yang berlaku semasa British menjajah kita.

Lihatlah kenapa setiap etnik negara ini mempunyai cara masing-masing untuk memilih jenis pendidikan, penempatan, pekerjaan dan kehidupan. Kita kurang mampu untuk hidup berkongsi bersama dalam pendidikan, penempatan, pekerjaan dan kehidupan. Kita mudah terasa bila kita hidup dalam berlainan suasana budaya bukan etnik kita. Kita mudah beremosi bila etnik lain mengata etnik kita. Ini disebabkan kurang wujud komunikasi bahasa Malaysia telah dipersetujui untuk dijadikan bahasa kehidupan kita.

Tapi ramai lagi yang memandang keupayaan bahasa negara ini menjadi bahasa kehidupan dari semua segi seperti bahasa ilmiah, perubatan, sains dan teknologi dan sebagainya.

Kita mudah bangga apabila menggunakan bahasa lain daripada bahasa negara. Malaysia adalah satu-satunya negara yang mana rakyat kurang menghargai bahasa negara. Negara lain menjiwai bahasa negara mereka dan mengamalkan satu sistem pendidikan negara bangsa. Bagi mereka jati diri negara lebih utama daripada kepentingan etnik, sama ada etnik majoriti mahupun minoriti. Mereka akur dengan perjanjian yang mewujudkan negara mereka. Mereka bangga apabila mahir berbahasa bahasa negara mereka di peringkat antarabangsa. Mereka tidak malu kurang mahir berbahasa bukan bahasa negara mereka. Bagi mereka di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Inilah warisan yang mereka ingin disambungkan untuk generasi seterusnya.

Tetapi di Malaysia, amalan menjunjung bahasa dan budaya bukan negara ini dianggap satu kelebihan dan kebanggaan. Mahu tidak mahu, lama kelamaan, siapakah yang akan meneruskan kesinambungan warisan budaya dan bahasa negara ini?

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ISU sembilan (9) Naga yang diperjuangkan Yusuf Azmi dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia mungkin ada kebenarannya. Istilah 9 Naga ini merupakan hasil warisan peninggalan penjajah British.
  • TRAGEDI tanah runtuh di Tanjung Bungah sehingga menyebabkan kematian merupakan satu tindakan yang tidak patut berlaku. Ini disebabkan projek tersebut tidak dipersetujui Adun Tanjung Bungah dan melanggar tatacara pembangunan di lereng bukit.
  • PENULARAN fahaman ateis dalam kalangan anak-anak muda Islam semakin membimbangkan.
  • PROJEK Pengundi Muda telah dijalankan parti pembangkang pada Oktober dan November 2010, untuk mengumpul data maklumat Generasi Y (Gen-Y) yang belajar di universiti seperti kecenderungan sikap, profesion, matlamat peribadi, orientasi politik dan pandangan mereka terhadap Islam dalam kehidupan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.