RAMAI mempertikaikan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang menyebabkan harga barangan naik dan bebanan kepada rakyat. Ada yang ingin memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai harta warisan sebagai gentian kepada GST.

Cukai keuntungan modal adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap elaun modal perbelanjaan dalam perniagaan tersebut.

Cukai sebegini sudah dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bagi perniagaan enterprise dan partnership, keuntungan perniagaan akan dikira sebagai pendapatan individu.

Jadi, kadar cukainya adalah berdasarkan kadar cukai individu. Tidak seperti syarikat sdn bhd, di mana cukainya ditanggung oleh syarikat bukan individu dan kadarnya berdasarkan cukai syarikat.

Cara pengiraan cukai untuk enterprise bagi menghasilkan pendapatan bercukai adalah sama dengan syarikat sdn bhd. Maka keuntungan atau kerugian perniagaan seperti  dalam akaun akan dilaras semula berdasarkan kepada pengiraan cukai bagi menghasilkan pendapatan bercukai.

Kemudian pendapatan bercukai ini akan dicampur pendapatan lain sekiranya ada dan barulah ditolak dengan pelepasan-pelepasan yang diberikan seperti pelepasan cukai individu. Ringkasnya apabila telah mendapat amaun pendapatan bercukai tadi barulah dikira seperti secara pengiraan cukai individu.

Cukai harta warisan adalah pengenaan bercukai ke atas harta yang diwarisi kepada mana-mana individu. Dalam hal ini, LHDN sudah pun mengenakan cukai tersebut yang dikenali sebagai cukai pendapatan harta pusaka.

Kedua-dua jenis cukai ini tidak memberikan impak besar ke atas pendapatan negara. Malah, LHDN turut mengenakan cukai ke atas dividen pemegang saham bagi syarikat yang mendapat keuntungan dalam pelaburan saham.

Masih tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan pembangunan rakyat. Pemberian subsidi kerajaan ke atas rakyat bukan sahaja meliputi bantuan kebajikan rakyat seperti BR1M, bantuan kepada asnaf melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain. Pembangunan rakyat termasuk juga barangan keperluan rakyat.

Ada yang memperkatakan kerajaan tidak berusaha untuk menjana ekonomi negara ini. Dari segi penjanaan pendapatan melalui ekonomi pada hari ini tidak sama seperti tahun 90-an. Ini disebabkan ekonomi hari ini adalah ekonomi 4.0. Ekonomi 4.0 adalah revolusi ekonomi digital yang bergantung kepada inovasi dan pemasaran barangan dalam alam maya.

Perkembangan perhubungan manusia melalui teknologi android dan internet mampu mengembangkan ekonomi sesebuah negara tanpa adanya sentuhan atau kedai fizikal. Di sini, sesebuah syarikat tidak perlu ada (jasad) fizikal atau pekerja yang ramai.

Ini menyebabkan ekonomi yang bergantung kepada barangan nyata tidak mampu bersaing dengan barangan alam maya. Maka dengan demikian sistem francais dan pemasaran tradisional akan ketinggalan tanpa melibatkan alam maya.

Mahu tidak mahu, sektor perindustrian di negara ini terpaksa direvolusikan jika ingin memberikan pulangan pendapatan kepada negara.

Perindustrian yang bergantung kepada kos buruh di negara ini perlu juga berubah. Perlaksanaan gaji minimum RM1,200 sebenarnya turut mempengaruhi peningkatan kos buruh di negara ini.

Maka kos buruh di negara ini semakin mahal berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang lebih murah dan tidak cerewet bekerja. Akibatnya sektor perindustrian di negara ini kurang mendapat perhatian kecuali yang melibatkan kepakaran khusus teknologi seperti aeroangkasa, kejuruteraan dan perkhidmatan kepakaran.

Jika dilihat sektor pertanian dan perladangan di negara ini turut kurang memberikan impak besar kepada pendapatan negara. Ini disebabkan majoriti pengusaha memiliki keluasan tanah yang terhad untuk dikembangkan menjadi perindustrian perladangan dengan kos upah buruh yang minimum.

Subsidi pertanian masih diberikan kepada sektor tersebut. Situasi ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sesetengah sektor pertanian dan perladangan bagi menampung permintaan makanan di negara ini.

Pengenaan GST adalah yang paling baik pada masa ini kerana pergantungan pendapatan daripada sektor minyak dan gas tidak menjamin masa depan pendapatan negara. Kenaikan harga barangan sebenarnya kurang terikat dengan tindakan kerajaan mengenakan GST.

Harga barangan ditentukan dalam pasaran permintaan dan penawaran. Walaupun harga bahan api (petrol dan diesel) turun diikuti dengan pertukaran wang ringgit Malaysia yang semakin kukuh turut tidak dapat mempengaruhi penurunan harga barangan.

Pengeluar barangan dan pengedar sehinggalah kepada peruncitlah yang memainkan permainan harga barangan. Walaupun diletakkan dalam siling harga, masih ada yang tidak mematuhi harga tersebut dengan alasan penawaran terhad dan permintaan tinggi.

Ekonomi pasaran bebas dalam menentukan harga barangan di negara ini memerlukan kerjasama pengguna dan bukannya kerajaan. Mahu tidak mahu apakah bentuk pendapatan yang sesuai untuk negara ini jika GST dibubarkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.