SEJAK Pilihan Raya Umum 2008 hingga pilihan raya ke-14, pengaruh DAP di Pulau Pinang telah berkurangan disebabkan beberapa faktor. Walaupun terdapat sesetengah kerusi DAP di Pulau Pinang dikatakan selamat tetapi sebenarnya telah berkurangan antara 15-25% dibandingkan dengan kerusi selamat di Seberang Perai antara 25-35%.

Ini disebabkan isu kegagalan tebatan banjir yang menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat tahun lepas. Malah, isu tebus guna tanah laut untuk projek perumahan di sekitar Pulau Pinang turut menyebabkan nelayan-nelayan pantai kehilangan punca pendapatan.

Kedua-dua isu ini merupakan asas bermulanya ketidakpuasan terhadap kerajaan negeri DAP. Ini ditambah pula dengan isu keselamatan awam yang menyaksikan dua kejadian tembak di khalayak umum dalam masa setahun lepas. Situasi ini melihat kepada kegagalan kerajaan negeri DAP dalam memastikan keselesaan, keharmonian dan keselamatan rakyat Pulau Pinang.

Dalam satu kajian ketidakpuasan hati ke atas kerajaan negeri dalam kalangan ahli-ahli akar umbi DAP turut mendapat perhatian. Antaranya isu pemberian projek tender kepada kroni tertentu dan juga kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Walaupun ahli-ahli akar umbi bersetuju pada dasar untuk bekerjasama dengan Parti Amanah Negara, tetapi keraguan untuk tidak bersetuju bekerjasama dengan PPBM amat besar. Bagi sesetengah ahli akar umbi DAP mempersoalkan implikasi kegagalan kerjasama dengan Pas yang membentuk Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan suara-suara bangkangan ditepiskan dengan hujah-hujah yang kurang diterima dalam kalangan akar umbi DAP.

Peningkatan kos sara hidup yang agak tinggi berbanding Kedah dan Perak telah menjadi isu perbualan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Malah terdapat perbezaan harga keperluan makanan yang ketara antara Pulau Pinang dan Seberang Perai. Harga makanan di Pulau Pinang sebenarnya boleh dikawal oleh kerajaan negeri tetapi kurang diambil perhatian. Situasi ini menyebabkan Bantuan Rakyat 1Malaysia dapat meringankan bebanan hidup rakyat Pulau Pinang. Selain itu, isu rasuah Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP juga merobek sokongan rakyat Pulau Pinang ke atas DAP. Ini menjurus kepada peralihan sokongan rakyat Pulau Pinang di sesetengah kawasan kepada BN adalah amat signifikan.

Peratusan undi sokongan DAP pada Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013 menyaksikan sokongan besar. Tetapi sokongan ini ibarat bola salji yang menuruni bukit pasti retak dan pecah jika terhentak dengan batuan atau pokok yang menghalangi laluannya. Inilah yang berlaku di Seberang Perai dan beberapa kawasan di Pulau Pinang. Salah satu faktor utama kepada pemecahan bola salji ini adalah disumbangkan oleh peningkatan pengundi Melayu di beberapa kawasan seperti Seberang Perai Utara dan Tengah. Manakala di Pulau Pinang, pengundi Melayu turut meningkat di Barat Daya Pulau Pinang termasuk Gelugor dan Jelutong.

Peningkatan pendaftaran pengundi di Pulau Pinang dari tahun 2004, 672,362 pemilih; 2008, 700,164 pemilih; 2013, 834,730 pemilih; dan 2017 jumlah pemilih melebihi 920,000 pemilih. Daripada jumlah tersebut, pengundi Melayu meningkat dari 26% 2004 kepada 35% 2013 dan angka ini mencapai 44% pada penghujung 2016. Manakala pengundi Cina menurun dari 58% tahun 2004 kepada 53% tahun 2013 dan angka ini mencapai 47% pada penghujung 2016. Bagi pengundi India iaitu 13% tahun 2004 kepada 10% pada 2013 dan angka ini mencapai 7% pada penghujung 2016.

Peningkatan pengundi Melayu menyaksikan peningkatan kurang puas hati ke atas DAP. Ini disebabkan terdapat banyak rungutan dan persoalan tanah-tanah kampung warisan Melayu diambil untuk pembangunan. Akibatnya ramai orang-orang Melayu tidak mampu membeli rumah di kawasan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri DAP disebabkan harga yang mahal. Situasi ini menyedarkan orang-orang Melayu bahawa janji DAP kepada mereka hanya tinggal janji.

Sejak Pilihan Raya Umum 2004 hingga kini, lima kawasan parlimen merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau. Manakala Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bayan Baru, Gelugor dan Jelutong menyaksikan pertambahan pengundi Melayu melebihi 20% pada penghujung 2016. Hanya Parlimen Bukit Bendera dan Tanjong didominasi pengundi Cina melebihi 60%. Mengikut Dun negeri Pulau Pinang, majoriti Melayu melebihi 40% adalah 12 Dun (2004), 14 Dun (2013) dan kini 18 Dun. Jika dilihat dari angka ini, Pulau Pinang bakal berubah dalam PRU14.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.