AGAK terkejut dengan kejadian kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Yang lebih mengejutkan modus operandi kebakaran tersebut dilakukan remaja-remaja Islam yang bermasalah. Tapi yang mengecewakan apabila seorang mufti sibuk mengkritik sistem pengajian tahfiz dan menyuruh jangan berprasangka baik dengan sekolah tahfiz. Adakah mufti tersebut tidak sedar akan permasalahan 'dunia gelap' yang sedang melanda generasi remaja hari ini? Mufti tersebut perlu sedar bahawa masih terdapat remaja-remaja yang tercicir dari sistem pendidikan sekolah.

Data-data Statistik Kanak-kanak Malaysia 2016, menunjukkan penurunan bilangan pelajar yang mendaftar dengan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah. Bilangan pelajar-pelajar sekolah rendah yang mendaftar pada 2014 ialah 2,709,340 orang kepada 2,683,992 orang pada 2016. Begitu juga pelajar-pelajar sekolah menengah yang mendaftar pada 2015 iaitu 2,159,906 orang kepada 2,072,162 orang pada 2016. Data-data ini bertentangan dengan peningkatan pendaftaran kanak-kanak yang mendapat pendidikan prasekolah yang menunjukkan peningkatan iaitu 196,264 orang pada tahun 2014 kepada 198,574 orang pada 2015.

Situasi ini menunjukkan bilangan yang tercicir daripada sistem persekolahan adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak dimaksudkan dalam data-data ini merujuk kepada mereka yang berumur kurang dari 18 tahun termasuklah kumpulan remaja. Mengejutkan seramai 611,830 remaja kita tercicir dari persekolahan menengah dan lebih ramai lagi kanak-kanak di negara ini tidak pernah masuk ke dalam sistem persekolahan rendah mahupun menengah. Ke manakah hala tuju kehidupan kanak-kanak dan kumpulan remaja ini?

Malah, bilangan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan turut meningkat dari 4,295 orang pada 2014 kepada 4,453 orang pada 2015. Diikuti kanak-kanak terlibat dalam kesalahan jenayah berulang meningkat dari 371 kes pada 2014 kepada 417 kes pada 2015 dengan purata 4,500 pesalah juvana setahun. Jenayah yang paling banyak dilakukan pesalah juvana adalah bersabit harta benda, dadah dan dengan orang.  

Di sini, kita boleh melihat sebahagian kanak-kanak yang tercicir daripada sistem persekolahan terlibat dengan dunia gelap apabila dewasa nanti. Ini akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Kewujudan institusi tahfiz dan pengajian pondok amat penting dalam mendidik remaja hari ini. Institusi tahfiz dan pengajian pondok mampu mendidik remaja menjadi manusia yang lebih berguna disebabkan pendidikan hakikat mengenal Tuhan menjadi teras utama. Maka tidak menghairankan sebanyak RM80 juta dibelanjakan pihak Jakim untuk membantu sekolah pondok, sekolah menengah agama rakyat dan tahfiz.  

Walaupun begitu pemantauan secara kemas adalah perlu. Namun kepesatan perkembangan pengajian institusi tahfiz dan pondok adalah di luar kemampuan kerajaan pusat membantu sistem pengajian tersebut secara tersusun dan efektif. Di sini memerlukan peranan Mufti bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam menambah baik sistem pengajian tahfiz dan pondok. Jika boleh aliran pengajian tahfiz dan pondok Cina dan India diwujudkan supaya kesefahaman Islam dapat disebarkan kepada bukan Islam. Seterusnya dapat membantu menangani permasalahan dunia gelap bukan Islam.

Isu ketagihan arak dan judi dalam kalangan masyarakat bukan Islam sebenarnya amat membimbangkan dan memerlukan perhatian. Maka dengan demikian, pendidikan sistem pengajian tahfiz dan pondok perlu diperluaskan kepada berbagai-bagai aliran etnik di Malaysia. Perkara ini amat penting dalam memperkukuhkan akidah umat Islam dan pembinaan akhlak negara bangsa.

Pada masa yang sama adakah kerajaan negeri Pakatan Harapan khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor sedar akan tanggungjawab kerajaan BN dalam membantu sistem pengajian tahfiz dan pondok. Apa kata Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor memulakan langkah pemantauan dan dan penguatkuasaan dengan menambah peruntukan kepada sistem pengajian tahfiz dan pondok. Tidak rugi melabur dalam pembinaan akhlak insan. Ini disebabkan permasalahan dunia gelap di Pulau Pinang dan Selangor cukup kritikal.

Marilah kita nyatakan kebersamaan sehati sejiwa dalam meningkatkan penjenamaan sistem pengajian tahfiz dan pondok di negara ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENULARAN fahaman ateis dalam kalangan anak-anak muda Islam semakin membimbangkan.
  • PROJEK Pengundi Muda telah dijalankan parti pembangkang pada Oktober dan November 2010, untuk mengumpul data maklumat Generasi Y (Gen-Y) yang belajar di universiti seperti kecenderungan sikap, profesion, matlamat peribadi, orientasi politik dan pandangan mereka terhadap Islam dalam kehidupan.
  • ISU dobi Muslim masih belum reda bahangnya, timbul pula isu penahanan penceramah Mustafa Akyol oleh pihak Jawi. Beliau dijemput ke satu majlis perbincangan meja bulat bertajuk
  • APA nak jadi dengan masyarakat kita!. Beberapa pemimpin politik negara menyokong The Better Beer Festival yang dijadual diadakan pada 6 dan 7 Oktober walaupun telah dibatalkan pihak berkuasa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.