PEMILIHAN Umno kali ini merupakan saat genting mengemudi masa depan Umno dalam politik Malaysia. Tiga tokoh yang turut umum bertanding bagi jawatan Presiden Umno ialah Tengku Razaleigh, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

Walau siapa yang terpilih menjadi presiden perlu menilai beberapa senario kemungkinan yang akan berlaku dalam masa lima tahun akan datang.

Kemungkinan senario pertama berlaku, mungkinkah pemimpin yang terpilih menjadi presiden akan membawa kepada pembubaran Umno. Lalu menyatukannya dengan PPBM untuk membentuk sebuah kerajaan yang teras kekuatannya adalah Melayu Islam. Situasi begini boleh berlaku kerana terdapat beberapa tokoh yang mempunyai hubungan baik dengan Tun Dr Mahathir.

Lagipun corak kepimpinan PPBM mempunyai persamaan dengan corak kepimpinan Umno. Cuma berada dalam parti gabungan yang berbeza. Ibarat tukar baju saja. Ini akan membawa kepada BN 2.0 dalam bentuk Umno yang baharu.

Kemungkinan senario kedua berlaku adalah pemimpin yang terpilih akan membawa Umno bergabung dengan PKR. Lalu membentuk kerajaan sementara di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemungkinan ini berlaku bukan dalam masa terdekat. Tetapi pasti ada matlamat dalam menguatkan kedudukan Melayu Islam dalam PH.

Kemungkinan situasi berlaku apabila ada pencapaian dan kata putus antara presiden yang terpilih dengan PKR. Ini akan menjurus kepada BN 2.0 dalam bentuk keterbukaan kepada semua etnik.

Kemungkinan senario ketiga berlaku apabila presiden yang terpilih tidak memilih untuk bergabung sama ada dengan PPBM mahupun PKR. Tetapi memilih satu bentuk pakatan dengan Pas dalam strategi jangka panjang untuk PRU15.

Pada masa sama BN dibubarkan supaya parti-parti seperti MCA, MIC dan Gerakan membentuk satu lagi gabungan parti baharu untuk blok bukan Melayu. Umno Sarawak tidak ditubuhkan. Tetapi pakatan Umno dan Pas ini akan membentuk lagi perjanjian pakatan dengan parti-parti dari Sarawak, Sabah dan gabungan parti bukan Melayu. Perjanjian ini seakan mirip kepada pakatan PH 2.0.

Kemungkinan senario keempat berlaku apabila presiden memutuskan tidak bergabung dengan mana-mana parti. Tetapi dilihat bersendirian untuk berentap dalam tiga penjuru politik Malaysia. Umno Sarawak akan ditubuhkan diikuti memperbaharui satu lagi perjanjian dengan parti-parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan.

BN masih dikekalkan dengan membawa reformasi kepimpinan dan struktur kuasa dalam gabungan tersebut. Situasi ini berlaku apabila tiada satu persefahaman antara Pas dan Umno. Apatah lagi tiada persefahaman turut berlaku antara parti-parti dari Sarawak dan Sabah dengan Umno.

Keempat-empat senario ini menunjukkan kemungkinan akan berlaku selepas pemilihan Umno 2018. Umno perlu beringat bahawa dalam politik ini tiada kawan dan tiada lawan. Hanya yang pandai merancang strategi dan mengambil setiap peluang yang ada untuk memastikan kelangsungan hidup Umno.

Yang mengkhianati Umno bukan Pas. Yang menghancurkan Umno dari dalam bukan Pas. Yang menikam dari belakang Umno bukan Pas. Umno kini perlu menentukan siapakah kawan ketika susah dan siapakah yang mengambil peluang ketika senang. Malahan Umno perlu menentukan pemimpin yang akan memimpin nanti adalah bersih, berintegriti dan mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Apa yang pada pandangan ahli-ahli Umno itu baik tidak semestinya baik pada masyarakat khususnya generasi yang berumur bawah 40 tahun. Generasi inilah yang menolak Umno dalam PRU14. Mahu tidak mahu Umno perlu melihat kembali kekuatan setiap pemimpin yang akan bertanding dalam pemilihan residen.

Umno perlu menentukan apakah hala tuju yang terbaik dalam merancang strategi dalam tempoh lima tahun akan datang. Buatlah seperti apa yang dilakukan oleh Pas selama ini sebagai satu parti yang tidak pernah mati walaupun tanpa menjadi sebuah kerajaan pusat. Jangan sesekali mengkhianati perjuangan membela bangsa dan agama.

Carilah pemimpin yang membawa kepada nilai-nilai Islam dan bukannya nilai-nilai sekular dan liberal. Ini amat penting supaya generasi akan datang masih terikat dengan budaya dan tradisi Melayu Islam. Malahan pemimpin yang ada nilai agama mampu menunaikan amanah apabila berjanji.

Ahli-ahli Umno perlu menilai pemimpin yang bertanding nanti adakah berkata hari ini A tetapi esoknya berkata B. Ibarat tidak boleh berpegang kepada kata-katanya. Ahli-ahli Umno perlu menilai pemimpin tersebut hanya membawa logo dirinya tetapi tidak membawa logo Umno apabila berunding dengan mana-mana parti semasa PRU15 nanti.

Ini amat penting supaya sUmno tidak dilupakan apabila pemimpin itu mendapat manfaat nanti. Fikirkanlah sebelum memangkah supaya pisang tidak berbuah dua kali.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan