SAYA tertarik dengan naratif bin Abdullah yang menjadi kontroversi dalam pemelukan agama Islam di Malaysia. Menurut artikel bertajuk: Kahwin campur agama perlu dibenarkan - dalam blog Menara.my tanpa adanya pemelukan wajib pihak bukan Islam berkahwin dengan orang Islam.

Ini dibuktikan dalam artikel tersebut yang menghuraikan isi kandungan buku Breaking The Silence yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri. Dalam buku tersebut, Azmi Sharom menyatakan di muka surat 101 mendakwa bahawa, sungguhpun penyebaran agama kepada umat Islam itu dihadkan namun, kebebasan mereka untuk memilih agama adalah tidak terbatas. Tetapi ini bukan realitinya di Malaysia kerana banyak negara telah menjenayahkan perbuatan murtad.

Menurut Firdaus Husni di muka surat 83, “Kewujudan struktur birokrasi Islam di Malaysia perlu dikaji semua berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan, ini dapat menghalang pegawai undang-undang syariah dan penguat kuasa daripada melangkaui batasan dan bidang kuasa mereka, selain menyelesaikan konflik yang wujud akibat pertindihan kuasa (Persekutuan dan Negeri) buat selama-lamanya.”

Kedua-dua kenyataan ini menunjukkan bahawa sudah ada suara-suara dalam kalangan ilmuwan Melayu yang menuntut agar perbuatan murtad dan perkahwinan campur agama seperti yang diamalkan dalam sistem perundangan Barat dibenarkan di Malaysia tanpa adanya campur tangan sistem perundangan Islam.

Maka di sini terdapat persoalan adakah pemelukan Islam untuk berkahwin dengan orang Islam di Malaysia hanya bermatlamatkan nafsu manusiawi? Atau kerana disebabkan pemelukan Islam individu tersebut menyebabkan nasab keturunan dan nama bapanya hilang dengan berbinkan atau berbintikan Abdullah. Benarkah naratif bin Abdullah menjadi penghalang mereka yang ingin memeluk Islam?

Situasi ini menyebabkan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan agar nama seseorang yang asal dikekalkan walaupun sudah memeluk Islam. Apakah istimewanya naratif bin Abdullah.

Kenapa perlu diletakkan naratif tersebut yang sudah sebati menjadi budaya Melayu Islam sejak ratusan tahun sebelum kedatangan penjajah dan pihak British di Tanah Melayu. Sinonimnya peletakan naratif bin atau binti Abdullah menunjukkan seseorang itu telah masuk Jawi atau Islam.

Ini disebabkan penggunaan bahasa Jawi adalah utama sebelum digantikan dengan Rumi yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan negara bangsa.

Maka dengan demikian, penggunaan masuk Melayu ini terjadi selepas terbentuk Perlembagaan Persekutuan dan penggunaan bahasa Rumi. Secara naratifnya masih sama iaitu masuk Melayu bererti masuk Islam dalam konteks Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Jika diteliti penggunaan naratif bin atau binti Abdullah ini sebenarnya adalah sunnah nama kesukaan Nabi Muhammad SAW. Dalam Riwayat Shahih Muslim, Kitab al-Adab, Bab an-Nahyu an at-Takanni bi Abi al-Qasim, 3/1682, no. 2132 dari Ibnu Umar RA, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya nama-nama kalian yang paling disukai ALLAH SWT adalah Abdullah dan Abdur-rahman.”  

Riwayat ini boleh diperoleh dalam Sunan Abu Dawud, Sunan an-Nasa`i dan selain keduanya, daripada Abu Wahb al-Jusyami ash-Shahabi RA, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, "Namakanlah diri kalian dengan nama-nama nabi, dan nama yang paling disukai ALLAH SWT adalah Abdullah dan Abdurrahman, dan yang paling benar di antaranya adalah Harits dan Ham-mam, sedangkan yang paling buruk di antaranya adalah Harb dan Murrah.”  

Malahan dalam agama Islam turut membenarkan penggunaan nama asal jika tidak mengandungi nama-nama yang buruk. Ini disebabkan menurut al-Imam al-Tabari bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW hanya mengubah nama individu yang menganut Islam, jika namanya mengandungi makna yang buruk, tetapi tidak mengubah bapanya.

Umpamanya Baginda mengubah nama sahabat Abd al-Syams bin Sokhr kepada Abd al-Rahman bin Sokhr. Ini kerana ‘Abd al-Syams bermaksud hamba matahari. Namun Sokhr yang bermaksud batu dikekalkan.

Bahkan Baginda tidak mengubah bapa seorang sahabat yang bernama Abdullah bin ‘Abd al-Asad. Bapanya bernama ‘Abd al-Asad yang bermaksud hamba singa. Baginda tidak mengatakan diubah nama bapa kerana takut rosak akidah.  

Islam sebenarnya menyuruh anak melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa sekalipun keduanya tidak menganut Islam. Bahkan sekalipun kedua berusaha agar anaknya keluar meninggalkan Islam. Namun perintah ALLAH agar seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya terus kekal. Cuma jangan taat dalam perkara syirik, kufur dan maksiat.

Maka dengan demikian, persoalan naratif berbinkan Abdullah atau berbintikan Abdullah sebenarnya mentarbiahkan seseorang mualaf supaya mengerti kehidupan asimilasi budaya setempat.

Memang tidak salah meletakkan nama asal setelah memeluk Islam. Tetapi lebih afdal meletakkan naratif bin atau binti Abdullah kerana nama tersebut merupakan Sunnah nama kesukaan Nabi Muhammad SAW.

Akhir sekali, inilah keindahan naratif bin Abdullah yang diibaratkan kain putih, tiada dosa bagaikan bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-BARU ini, terdapat sekumpulan individu di negara ini mempersoalkan kewujudan Tuhan. Kegemparan ini hanya dirasai di pantai barat dan kawasan bandar metropolitan. Di sebelah pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kurang dirasai dan diberikan perhatian serius.
  • SEJAK akhir-akhir ini, isu kebebasan tidak beragama merupakan salah satu aspek liberalisme kehidupan dalam manusia.
  • KEKALAHAN MCA dalam PRU 2008 dan PRU 2013 sepatutnya dijadikan satu pengajaran kepada pemimpin-pemimpin politik di Malaysia. Perebutan kuasa dan pergaduhan dalaman parti sebenarnya melemahkan pengaruh sesebuah parti.
  • RAMAI yang kurang tahu mengenai pempolitikan komuniti Cina di negara ini. Saya terpanggil untuk menghuraikan politik Cina di Malaysia atau Politik Buluh.
  • CADANGAN mewajibkan semua wakil rakyat lulus Bahasa Malaysia dalam SPM adalah satu tindakan untuk mengutamakan identiti negara bangsa. Ini disebabkan pada hari ini bahasa Malaysia semakin dihakis dengan penggantian bahasa lain. Rakyat turut terikut dengan kepimpinan wakil rakyat yang acuh tidak acuh dengan keutamaan bahasa negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.