BARU-baru ini seorang sahabat menceritakan perlu ada pencinaan dalam masyarakat Cina Muslim. Bagi mereka pencinaan ini amat penting dalam dakwah kepada masyarakat Cina bukan Islam untuk menghapuskan tanggapan masuk Islam adalah masuk Melayu. Apakah sebenarnya takrifan Melayu sehingga menyebabkan terdapat sebahagian kepimpinan Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) tidak mengiakan masuk Islam adalah masuk Melayu. Adakah mereka tidak memahami konsep Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan seorang mualaf turut mempunyai hak dikenali sebagai Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Nisar Mohammad Ahmad dalam satu portal online. Antara petikan artikel tersebut menimbulkan persoalan konsep Melayu dan mualaf serta pemberian hak istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada pemberian hak istimewa tersebut bercanggah dengan definisi ‘Melayu’ dalam Perlembagaan Persekutuan dan adakah takrifan ‘Melayu’ tersebut perlu dilihat semula untuk dimasukkan golongan mualaf yang ada antara mereka sudah sebati dengan cara hidup Islam yang begitu rapat dengan budaya Melayu?

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi ‘Melayu’ sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan: a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menjadi murtad.

Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah ‘masuk Melayu’. Ada juga yang menilai prinsip dan ajaran Islam berdasarkan tindak-tanduk orang Melayu walaupun hakikatnya bukan begitu.

Tidak dapat dinafikan, sentimen ‘Melayu itu Islam’ dan ‘Islam itu Melayu’ yang begitu tebal dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah majoriti di Malaysia.

Namun, jika diamati, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut ‘kemelayuan’ semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.

Berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2014 (kajian terbaharu) masyarakat Melayu menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 55 peratus daripada keseluruhan 29 juta penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama Islam di Malaysia ialah 63.4 peratus.

Dalam kata lain, terdapat 8.4 peratus atau 2.436 juta rakyat Malaysia daripada kalangan umat Islam yang bukan berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.

Maka dengan demikian, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksklusifkan dari perspektif Melayu sahaja.

Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Untuk mencapai tujuan tersebut, pemberian hak keistimewaan Melayu kepada mualaf boleh dijadikan suatu permulaan yang baik sekiranya betul cara dan mekanisme pelaksanaannya.

Adakah Macma memperjuangkan nasib dan hak mualaf mengikut konsep Perlembagaan Persekutuan selain daripada tugas berdakwah. Adakah Macma mentarbiahkan masyarakat Cina Muslim untuk berasimilasi menjadi satu ummah dengan masyarakat Melayu. Seterusnya membina masyarakat Cina Muslim yang patuh dan taat kepada ALLAH SWT berlandaskan budaya Islam yang telah dilaksanakan oleh masyarakat Melayu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DEWASA ini ramai mempersoalkan agama Islam yang menjadi teras budaya kehidupan pembentukan negara ini. Islam dilihat terlalu konservatif oleh golongan modenis dan feminis. Mereka mengatakan sebahagian amalan budaya kehidupan negara ini perlu dinilai semula. Hal ini termasuklah amalan 'bin Abdullah' kepada anak-anak tak sah taraf, wanita menjadi imam, kewujudan golongan ateis dan LGBT.
  • SAYA tertarik dengan naratif bin Abdullah yang menjadi kontroversi dalam pemelukan agama Islam di Malaysia. Menurut artikel bertajuk: Kahwin campur agama perlu dibenarkan - dalam blog Menara.my tanpa adanya pemelukan wajib pihak bukan Islam berkahwin dengan orang Islam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.