SEJAK PH mengambil alih kerajaan, telah berlaku berbagai peristiwa yang amat menarik. BN semakin lemah dengan perpecahan parti komponen dan kejituan semangat ahlinya masih dalam pemulihan.

Ini membawa kepada Umno yang terkial-kial mencari satu formula politik baharu yang sesuai dengan perubahan landskap sosiopolitik Malaysia. Mahu tidak mahu, Umno terpaksa bergabung dengan Pas. Manakala MCA dan MIC akan berjuang secara sendirian dengan pautan ke atas BN yang longgar.

Apa yang menarik ialah tahap kepuasan rakyat majoriti ke atas Indeks Negara Rapuh (Fragile State Indeks) atau FSI yang mengambil kira tiga (3) indikator iaitu sosial, ekonomi dan politik. Malaysia sejak tahun 2013 telah berjaya menurunkan FSI dari 75.3 pada 2013 kepada 63.6 sebelum PRU14.

Penurunan ini disebabkan penambahbaikan ke atas pembangunan ekonomi dan Dasar Negara Kebajikan. Walaupun kerajaan terdahulu terpalit masalah rasuah tetapi kuasa negara dalam keadaan stabil.

Tetapi apa berlaku hari ini sebahagian masyarakat berasakan selepas 100 hari PH memerintah, banyak isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam semakin panas.

Sebuah kerajaan yang berkesan perlu melihat situasi kepentingan majoriti dan minoriti dalam kestabilan. Tidak meminggirkan minoriti mahupun menidakkan hak majoriti. Tetapi yang kelihatan sebaliknya.

Kerajaan PH masih dalam sindrom menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa bergerak ke depan sebagai kerajaan pemerintah, bukan lagi pembangkang. Usaha menunaikan manifesto adalah kelebihan politik pemerintah, bukannya melihat  kelemahan hutang ekonomi.

Jika kerajaan PH ingin mengekalkan kelangsungan pemerintahan, perlu melihat kepada kelebihan politik dan ekonomi dengan pandangan seimbang. Hutang negara boleh diselesaikan melalui satu pelan bayaran ansuran yang seimbang selaras dengan bajet negara.

Tidak perlu tergesa-gesa untuk menunaikannya dalam jangka waktu singkat. Kerajaan PH perlu menerima hakikat demokrasi telah berubah di negara ini.

Sebuah negara demokrasi memerlukan parti pembangkang yang kuat. Dalam hal ini, Pas dilihat lebih menonjol dalam kalangan masyarakat Melayu. Sebaliknya, cara berpolitik Umno-BN masih belum berjaya menukar sepenuhnya strategi politik Malaysia baharu 2.0.

Salah satu halangannya ialah penguasaan panglima-panglima lama Umno yang berpegang kepada Order Politik Lama belum sepenuhnya mengundur diri.

Ini amat penting dalam memberi laluan kepada pemimpin generasi baharu untuk bangkit bersama Umno dalam memperjuangkan kepentingan agenda Melayu dan Islam. Sememangnya, ramai yang mengritik mengatakan perjuangan politik berasaskan kaum dan agama adalah satu kegagalan dalam politik Malaysia baharu.

Tetapi sebenarnya, jatuh dan bangunnya sebuah parti politik adalah bergantung pada sejauh manakah pengukuhan agenda perjuangan dalam kelompok masyarakat yang dipimpinnya. Situasi ini tidak boleh lari daripada perjuangan membela hak kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Contohnya adakah nasib generasi muda Melayu hari ini terbela dan terjaga?. Kita tahu hutang PTPTN berjumlah RM38 bilion. Kenapa ini berlaku? Mungkinkah graduan Melayu hari ini sukar mencari pekerjaan sesuai dan bayaran setimpal dengan kelayakan akademiknya di sektor swasta. Ini disebabkan pembekuan jawatan dalam sektor awam sejak 2015 masih belum dilonggarkan.

Tambahan pula dengan suasana ekonomi global yang lembab dan lemah menyebabkan pelaburan luar semakin menurun. Akhirnya peluang pekerjaan di sektor swasta menjadi terhad. Malah terdapat sebahagian majikan yang menidakkan bayaran gaji minimum disebabkan kos operasi meningkat. Akibatnya, ramai graduan Melayu tidak mampu membayar balik hutang PTPTN.

Seterusnya isu LGBT telah bawa satu perubahan persepsi ke atas dasar Islam kerajaan PH. Manakala isu pembukaan ahli bukan Islam dan daripada kelompok bukan dari mazhab Islam Sunnah untuk melibatkan diri dalam Jakim telah menyebabkan kesangsian ketelusan dasar Islam kerajaan PH.

Perubahan dalam paradigma Islam di negara ini sepatutnya tidak dijadikan isu politik. Apa yang telah diamalkan selama ini perlu diteruskan. Yang penting pada hari ini bukan agama atau kepentingan mana-mana kelompok masyarakat, tetapi isu sosioekonomi dan kehidupan yang lebih baik.

Apa yang berlaku ialah kerajaan PH lebih suka fokus kepada bebanan kerajaan terdahulu sebagai alasan utama untuk tidak menunaikan janji manifestonya kepada rakyat. Sebenarnya situasi ini tidak memberikan keuntungan politik kepada kerajaan PH. Rakyat menaruh harapan apakah perubahan sosioekonomi yang akan dibawa.

Maka, segala retorik politik perlu dihentikan dan tidak dijadikan sebagai medan meraikan kepopularitian. Kelemahan yang wujud perlu diakui dan diperbaiki tanpa memberikan sebarang alasan yang bakal merugikan undian rakyat nanti.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan