SEJAK cukai perkhidmatan dan barangan (GST) dilaksanakan hingga hari ini tidak pernah putus kritikan, terkini cukai pelancongan pula, walaupun sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dari sudut ekonomi, pendapatan kerajaan daripada hasil minyak dan gas adalah sebanyak 31 peratus dan ini merupakan pendapatan tidak tetap. Ini disebabkan penggunaan teknologi elektrik ke atas kenderaan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara-negara maju.

Malah harga minyak mentah di pasaran dunia pada masa kini masih kekal rendah dengan kos perlombongan dan pengurusan pelantar minyak di laut semakin meningkat.

Maka, penurunan pendapatan kerajaan daripada minyak dan gas tidak dapat dielakkan. Jangkaan hasil kerajaan akan berkurangan sekitar RM30 bilion merupakan satu jumlah yang besar perlu diganti bagi mengurangkan defisit bajet.

Penurunan pendapatan kerajaan juga memberi kesan kepada kredit negara. Jika ini berlaku, badan-badan pengabsahan terkemuka di peringkat antarabangsa seperti Standard and Poor’s Ratings, Moody’s dan kumpulan Fitch Ratings akan menurunkan taraf rating kredit negara.

Ini menyebabkan kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, perumahan, perniagaan dan sebagainya akan melonjak naik. Situasi ini akan menjauhkan para pelabur untuk datang membuat pelaburan.

Andai tidak melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal kerajaan akan mencatat defisit sebanyak RM11 bilion setahun, seterusnya melonjakkan defisit negara dari 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada tahun pertama atau lebih tinggi lagi dalam tahun pertama bajet tersebut.

Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar gaji penjawat awam. Jika hal ini terjadi, pembekuan kenaikan gaji tahunan dan lain-lain elaun akan dihentikan termasuklah bonus. Kerajaan juga akan membekukan pengambilan baharu penjawat awam dan mungkin terpaksa mengurangkan yang sedia ada.

Persediaan untuk menghadapi kemelut menstabilkan pendapatan kerajaan ini perlu ada alternatif lain. Mahu tidak mahu perlaksanaan GST dan cukai pelancongan ini amat penting dalam mengurangkan defisit kerajaan.

Penjanaan GST telah memberi pulangan sebanyak RM39 bilion setahun kepada kerajaan. Defisit kerajaan hari ini berlaku kerana disebabkan projek mega pembangunan yang dilaksanakan sejak 1990 dan krisis serangan mata wang pada tahun 1997.

Akibatnya, defisit bajet berlaku bermula dari tahun 1997 sehingga kini. Memang ramai yang tidak percaya bahawa kerajaan hari ini berjaya mengurangkan defisit dari RM43.275 bilion pada tahun 2010 kepada kurang daripada RM30 bilion atau menyusut sehingga 3.1 peratus dalam bajet 2016.  

GST pertama kali dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Oktober 1992 dalam dokumen taklimat GST oleh kerajaan negeri Selangor pada 28 April 2015. Tetapi GST ditangguhkan sehingga 2015 untuk dilaksanakan.

Sehingga hari ini Selangor dan Pulau Pinang tidak menghapuskan GST yang dilaksanakan ke atas kedua-dua negeri tersebut. Mana-mana negeri terkaya di Malaysia mampu memansuhkan GST demi kebajikan rakyat. Ini disebabkan GST yang diperoleh Kerajaan Pusat akan dikembalikan semula kepada peruntukan kerajaan negeri tersebut.

Cukai pelancongan yang dilaksanakan Kerajaan Pusat telah dilaksanakan terlebih dulu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu sejak 1 Jun 2014 ke atas setiap katil bilik hotel dan rumah penginapan yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

Caj sebanyak RM2 bagi setiap malam di bilik penginapan satu hingga tiga bintang dan RM3 bagi bilik empat bintang dan ke atas. Pelaksanaan cukai pelancongan yang akan diwartakan oleh Kerajaan Pusat mulai 1 Julai nanti menyaksikan kadar antara RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalam dan dikenakan terhadap hotel serta rumah penginapan berdaftar.

Situasi ini menunjukkan kedua-dua jenis - GST dan cukai pelancongan turut diterima pakai oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan. Maka kritikan tidak sepatutnya dilemparkan.

Sebaliknya, sebagai cadangan cukai pelancongan hanya dikenakan ke atas pelancong luar negara, bukannya pelancong tempatan. Cadangan ini pasti akan menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara. Inilah dinamakan tindakan positif dalam pembangunan negara.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LEGASI Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah perlaksanaan integriti dan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Legasi kepimpinan Tun Abdullah dilihat pada hari ini tanpa kita sedar. Salah satunya adalah pembanterasan rasuah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.