DUNIA bakal menghadapi suatu zaman yang dilanda ribut sama ada petir, angin atau air. Ini disebabkan oleh perubahan cuaca yang tidak menentu akibat perubahan magnetik kutub bumi. Kejadian ini mula dikesan pada tahun 2008 dan semakin lama semakin tidak terkawal perubahan cuaca dan suhu di sesuatu wilayah atau kawasan.

Perubahan ini berlaku secara mendadak dan tiba-tiba tanpa adanya sebab tertentu. Implikasi perubahan cuaca yang tidak menentu ini memberikan kesan kepada tanaman dan makanan.

Sejak tahun 2008, harga makanan di pasaran dunia telah melonjak naik akibat tanaman tidak menjadi, khususnya di Asia. Pada hari ini, makanan bijirin mempunyai masalah pengeluaran.

Beras amat kritikal ketika ini. Permintaan ke atas beras meningkat tiga kali ganda sejak 2008. Tetapi penawaran beras telah berkurangan dua kali ganda. Krisis beras berlaku disebabkan banyak kawasan sawah padi terutama di China, Thailand, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan lain-lain negara telah bertukar menjadi kawasan kediaman dan perbandaran.

Tambahan pula dengan cuaca yang tidak menentu menyebabkan tanaman beras tidak menjadi. Permintaan beras juga datang dari negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara. Krisis kemarau, banjir dan salji yang tidak menentu di Benua Amerika dan Eropah telah menyebabkan tanaman gandum dan barli tidak menentu hasil pengeluaran. Akibat ini menyebabkan ramai daripada mereka beralih kepada beras.

Pertambahan penduduk yang mendadak di Asia Tenggara, China dan India menyebabkan ketidakupayaan kerajaan-kerajaan pengeluar beras untuk menyimpan stok makanan yang diperlukan oleh penduduk. Ini terjadi apabila Filipina menghadapi kekurangan beras dan makanan pada tahun 2010. Mahu tidak mahu Vietnamlah yang menjadi penyelamat apabila stok makanan dan beras yang disimpan telah diedarkan kepada Filipina.

Permasalahannya ialah Vietnam tidak berupaya menyediakan beras dan makanan kepada penduduknya apabila tahun seterusnya krisis makanan Vietnam berlaku. Ini terjadi disebabkan berlaku banjir dan cuaca tidak menentu yang menyebabkan tanaman beras di Vietnam tidak menjadi. Pengajaran ini menyebabkan mana-mana negara pada hari ini agak sukar untuk membantu negara lain jika berlaku krisis makanan.

Pada hari ini juga, kos untuk penanaman beras atau tanaman-tanaman makanan adalah semakin tinggi. Situasi ini berlaku kerana ia memerlukan banyak penjagaan daripada serangan serangga dan perubahan cuaca tidak menentu. Dorongan peningkatan kos ini juga berlaku kerana penggunaan teknologi baja, racun dan peralatan semakin luas digunakan bagi peningkatan hasil produktiviti.

Akibat pencemaran alam dan kerosakan pada tanah berlaku menyebabkan kebergantungan kepada teknologi baja dan racun semakin tinggi. Tanpanya, tanaman tidak akan berhasil. Akibatnya, serangga perosak semakin kebal dengan racun yang digunakan oleh manusia. Ini menyebabkan kekuatan racun dipertingkatkan tahun demi tahun.

Pertambahan penduduk turut menjadi faktor utama kepada krisis makanan. Pada 2006, keseluruhan penduduk Asia Tenggara ialah 600 juta dan China 1.32 billion. Tetapi pada 2018, keseluruhan penduduk Asia Tenggara menjadi 900 juta dan China hanya 1.4 billion. Ini menunjukkan penduduk Asia Tenggara telah meningkat 50%. Tetapi jumlah bilangan stok makanan hanya meningkat 20% dan simpanan stok makanan oleh negara-negara pengeluar makanan seperti beras telah menurun 30%.

Jika situasi ini berterusan, sudah pasti akan berlaku krisis makanan yang agak serius dalam tempoh lima tahun akan datang. Maka, tidak menghairankan apabila harga makanan semakin meningkat disebabkan faktor bahan mentah seperti beras semakin berkurangan dalam pasaran dunia.

Kini, tanggungjawab untuk persediaan stok makanan seperti beras, daging, sayur dan lain-lain adalah terletak pada negara masing-masing. Persoalannya, adakah Malaysia sedar akan hal ini. Adakah Malaysia mempunyai pelan perancangan dalam persediaan menghadapi krisis makanan. Adakah penduduk Malaysia bersedia menghadapi ancaman krisis makanan andai kata Malaysia tidak bersedia bila masa sudah tiba.

Seperti diramalkan Nasa bahawa kemungkinan akan berlaku cuaca kemarau dan banjir yang kerap di kawasan Asia Tenggara. Akibatnya akan berlaku kegagalan tanaman dan penghasilan produk makanan berasaskan daging atau bijian atau sayur-sayuran. Ramalan Nasa ini bermula 2019 hingga 2022 dan telah memberikan amaran kepada semua negara agar bersedia untuk menghadapi ancaman krisis makanan sedunia.

Tetapi nampaknya, Malaysia lebih berminat dalam politik dan isu-isu remeh-temeh daripada persediaan krisis makanan. Maka kita masih terikat dengan cara lama iaitu pengimportan makanan terutama beras dari negara-negara jiran walaupun harganya semakin meningkat.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan