SEJAK tahun 2000 apabila bermulanya politik baharu telah wujud dua kelompok masyarakat Melayu iaitu kelompok Melayu lama dan kelompok Melayu baharu.

Kelompok Melayu baharu ini amat terserlah selepas PRU14. Gagasan Melayu baharu lebih bersifat ketuanan Malaysia. Berbanding kelompok Melayu lama bersifat ketuanan Melayu Islam.

Pemikiran dan pandangan kelompok Melayu baharu adalah lebih liberal dari segi kehidupan. Soal integriti dan akauntabiliti lebih utama daripada soal penghormatan kepada institusi raja dan agama.

Golongan ini berpandangan agama Islam bukan jumud. Islam itu fleksibel dan perlu diterapkan dalam konteks yang lebih luas. Bagi mereka adalah tidak mulia seseorang jika nilai-nilai Islam itu tidak dilaksanakan ke dalam politik dan pentadbiran negara.

Ini bertentangan dengan konsep Melayu lama yang menekankan kepada kesinambungan warisan Islam itu sendiri dalam konteks kenegaraan. Mereka melihat Islam itu lebih tinggi daripada agama-agama lain. Kelangsungan Islam itu disebabkan wujudnya institusi raja dan badan-badan agama yang selama ini memperjuangkan konsep pengamalan kesinambungan warisan daripada generasi terdahulu.

Tidak dinafikan Melayu baharu adalah hasil pendidikan barat dan interaksi sosial dengan media barat. Pandangan Islam itu sebagai agama rahmat perlu dinilai secara lebih luas dan bukan hanya tertakluk pada konsep yang terhad.

Melayu lama merasakan perlu mempertahankan nilai Islam warisan disebabkan apabila Islam itu menjadi hina maka Melayu itu akan menjadi hina. Hina bermaksud hak dan ketuanan Islam itu sudah disamakan dengan agama lain. Yang akhirnya kuasa politik Melayu akan hilang bersama dengan kesamarataan konsep Malaysian Malaysia.

Melayu baharu berpendapat sebaliknya. Bagi mereka konsep Malaysian Malaysia sebenarnya tidak wujud. Pemimpin-pemimpin Melayu lama yang mengamalkan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang mengakibatkan Islam itu tidak dihormati oleh masyarakat bukan Islam. Akibatnya negara berada di bawah kepimpinan Melayu tetapi masyarakat Melayu masih ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi dan pemilikan aset.

Bagi Melayu baharu tidak salah bukan Melayu memegang jawatan-jawatan utama kerajaan seperti Peguam Negara dan Ketua Hakim. Mereka berpandangan yang penting adalah merit dan berkemampuan bukannya  atas nama etnik atau agama.

Golongan ini menegaskan agama perlu dipisahkan daripada manipulasi politik supaya kesucian Islam terpelihara. Bukannya dirosakkan sistem nilai Islam oleh sebahagian ahli politik yang memanipulasikan Islam demi kepentingan politik.

Melayu baharu mempunyai kekuatan dan kefahamannya tersendiri. Mereka berbeza pendapat bahawa Islam itu tidak semestinya diwarisi daripada nenek moyang. Bukan semua amalan Islam yang diwarisi itu baik. Ada sesetengah amalan tersebut mempunyai bidaah dan bukannya Sunnah Nabi. Kewujudan perbezaan pandangan ini bermula apabila anak-anak muda Melayu dihantar belajar agama Islam di berbagai negara Islam seperti Syria, Iran, Mesir, Afghanistan dan sebagainya.

Mereka membawa balik pandangan dan nilai Islam yang berbeza dengan pengamalan di Tanah Melayu. Ada yang juga belajar Islam di Amerika dan negara-negara Barat. Ini membawa satu generasi yang mempunyai tahap kefahaman Islam yang berbeza dengan ulama-ulama di Tanah Melayu.

Pandangan mereka adalah berdasarkan nas-nas dan hujah yang dipelajari di Timur Tengah mahupun di Barat. Interaksi sosial yang berbagai ini mengakibatkan jurang Melayu lama dan Melayu semakin melebar.

Melayu baharu menuduh Melayu lama yang terikat dengan nilai-nilai Islam konservatif tidak membawa pembaharuan pemikiran dalam masyarakat Melayu hari ini. Akibatnya, permasalahan sosioekonomi ini semakin teruk disebabkan kepimpinan gagal mengurus tadbir dengan baik.

Melayu mundur dan Melayu gagal kerana nilai-nilai lama Melayu perlu diperbaharui dengan konsep yang lebih progresif dan pragmatik. Bukannya hanya mengikut sahaja tanpa soal. Bagi Melayu baharu, agenda kristianisasi dan rasis yang digunakan oleh Melayu lama hanya sebagai satu cara bagi menghalalkan hak ketuanan Melayu Islam.

Melayu baharu berpendapat hak ketuanan Melayu Islam perlu digantikan dengan hak ketuanan Malaysia. Hak ketuanan Melayu Islam hanya melahirkan generasi feudal yang taat tanpa soal kepimpinan negara. Hak ketuanan Malaysia yang merupakan Malaysia baharu mampu melahirkan generasi yang mempersoalkan ketelusan dan kemapanan kepimpinan negara. Ini amat penting bagi melahirkan sebuah negara yang mempunyai elemen mahmudah dan dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

Bagi mereka, soal Islam adalah soal individu dan tidak diperlu dicampurkan dengan politik pentadbiran negara. Tidak perlu membezakan siapakah yang lebih Islam jika ketelusan dan keintegritian diabaikan. Melayu baharu melihat soal berdaya saing dengan masyarakat bukan Islam secara adil tanpa ada bantuan dari kerajaan. Ini mampu melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi bergantung kepada kerajaan. Kemungkinan ini benar apabila melihat sebahagian besar Melayu baharu ini adalah kelas pertengahan, berpendidikan dan mampu berbahasa Inggeris. Interaksi sosial golongan ini tidak lagi terikat dengan kepompong masyarakat Melayu tetapi bersifat global.