BARU-BARU ini, terdapat sekumpulan individu di negara ini mempersoalkan kewujudan Tuhan. Kegemparan ini hanya dirasai di pantai barat dan kawasan bandar metropolitan. Di sebelah pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kurang dirasai dan diberikan perhatian serius.

Ini disebabkan pantai timur merupakan kawasan majoriti Melayu Islam. Tetapi adakah fahaman ateisme ini tidak berkembang di pantai timur?

Ramai yang tidak faham apakah bentuk fahaman yang boleh dijelaskan sebagai ateisme. Ateisme boleh dibahagikan kepada tujuh bentuk atau lebih mudah tiga jenis.

Jenis pertama adalah perjalanan hidup ateis. Bentuk ini terdapat dua iaitu panteisme dan agnostik. Seorang panteisme percaya akan teori Darwinisma iaitu manusia berasal secara evolusi daripada beruk.

Manusia pernah hidup berbogel dan bertamadun melalui Zaman Batu, Zaman Gangsa, Zaman Logam dan Zaman Moden. Manusia tidak berasal daripada Nabi Adam dan Hawa, malahan mereka juga tidak mempercayai wujudnya kenabian. Maka dengan demikian mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Sarjana Thomas Huxley mengatakan sesuatu perlu dibuktikan secara intelektual dan boleh didemontrasikan kewujudan sesuatu yang menjadi hujah.

Pendapat ini disokong oleh golongan yang memperjuangkan hak asasi manusia iaitu Phillip Pullman yang menyatakan agama dijadikan alat untuk membentuk satu perundangan yang kurang adil dan saksama kepada manusia. Maka agama selalu diperalatkan oleh golongan agamawan demi kepentingan politik mereka.

Jenis kedua adalah Dogmatik ateisme. Dalam dogmatik ateisme ini terdiri daripada tiga bentuk iaitu anti tesis, humanis dan ateis tulen. Golongan anti tesis memperjuangkan fahaman isma kepada masyarakat dunia.

Anti-tesis bermaksud golongan yang menentang arus yang dianuti manusia iaitu agama khususnya agama samawi. Adalah tidak menghairankan golongan ini taasub dengan idea-idea manusia. Fahaman yang boleh dikenali seperti komunisme, sosialisme, liberalisme, sekularisme dan sebagainya.

Mereka memperjuangkan hak manusia dan hak sama rata gender. Manakala golongan humanis menentang perkahwinan yang dianjurkan oleh agama. Golongan ini memperjuangkan fahaman nafsu manusia.

Bagi mereka agama adalah penghalang kemajuan moden manusia. Agama juga adalah seperti candu kepada manusia. Mereka melihat amalan-amalan ritual yang dilaksanakan oleh orang Islam boleh menjurus kepada ekstremis dan kemunduran kehidupan.

Dua kumpulan yang dikenal pasti menganuti jenis apophatik adalah golongan evangelis ateis dan liberalis ateis. Kedua-dua kumpulan ini telah berjaya meruntuhkan kerajaan Khalifah Kesultanan Uthmaniah melalui penyebaran fahaman sekular dan kebebasan kehidupan beragama.

Mereka juga berjaya meruntuhkan kestabilan di rantau Timur Tengah. Golongan ini sengaja membangkitkan semangat demokrasisma dalam kalangan ahli-ahli Ikhwan Muslimin. Tujuannya menghuru-harakan kerajaan Mesir, Libya, Syria dan terkini Yaman dan Arab Saudi.

Mereka melihat golongan Islam Timur Tengah yang sentiasa dahagakan kebebasan dan keadilan sosial sebagai satu peluang untuk meruntuhkan tata susila kehidupan rakyat Timur Tengah. Perancangan ini akhirnya berjaya dan ramai rakyat Timur Tengah pada hari ini telah dipengaruhi fahaman isma yang menjunjung idea-idea manusia dan bukannya Tuhan.

Jenis ketiga adalah apophatik ateisme. Bentuk jenis apophatik adalah terdiri daripada skeptis ateis dan golongan free thinkers. Golongan ini berfahaman sains dan kuantum fizik. Mereka ragu akan kewujudan suruhan-suruhan agama. Begitu juga golongan ini melihat Tuhan boleh dicipta secara sains seperti manusia. Mereka melihat akan logik akal dalam penyelesaian setiap fenomena alam.

Golongan ini terdiri daripada ilmuwan dan golongan cerdik pandai. Salah satu tanda untuk mengenali golongan ini selalunya membandingkan nilai-nilai amalan Barat atau Timur Jauh lebih baik daripada nilai-nilai amalan Islam di negara ini.

Bagi mereka, persoalan Tuhan mahupun solat tidak boleh dibuktikan secara sains akan kebaikannya. Maka tidak menghairankan golongan ini tidak solat mahupun berpuasa atau memakai tudung seperti yang dituntut oleh ajaran Islam.  

Dunia hari ini betapa dekatnya dengan akhir zaman apabila kewujudan fahaman ateisme diterima oleh segolongan Islam di negara ini. Situasi ini menunjukkan bahawa betapa ramai golongan Islam di negara ini telah menjadikan fahaman isma sebagai darah daging mereka.

Tidak dinafikan bahawa dunia hari ini terlalu ramai orang Islam, amat kurangnya Muslimin dan Muslimat dan akhir sekali terlalu sedikit mukminin dan mukminat.

Adalah benar orang Islam hari ini bagaikan buih-buih di lautan. Ini disebabkan ramai daripada orang Islam ingin menjadi sebutan para manusia di dunia daripada menjadi sebutan para malaikat di syurga. Mereka memuja kehebatan seseorang individu bernama manusia.

Mereka memuja pangkat, darjat, kemewahan dunia dan material. Akibatnya ramai daripada kita memandang ringan akan persoalan Rukun Islam iaitu solat dan ibadah puasa. Malahan ada yang mempersoalkan kewajaran solat dan puasa.

Maka. sudah tiba masanya kita sebagai umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebelum terlewat.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUN baharu ini, ramai yang mempertikaikan pertumbuhan ekonomi tidak dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia. Ada yang mengatakan berlakunya jurang pendapatan antara kaya dan miskin. Pada masa sama, ada menyebut berlakunya ketidakimbangan pendapatan dalam kalangan pekerja di Malaysia.
  • SAYA tertarik dengan artikel mengenai manipulasi Presiden Pas berkaitan orang bukan Islam dan jawatan menteri dalam kerajaan. Malahan banyak artikel hari ini menjurus kepada serangan ke atas Pas oleh Pakatan Harapan (Harapan). Isu kafir mengkafirkan menerusi Amanat Haji Hadi yang sudah lama ditutup kesnya pun dibuka semula.
  • BARU-BARU ini saya menyambut suasana tahun baharu 2018 bersama dengan sekumpulan bekas pelajar saya. Harapan mereka dalam mengharungi kehidupan akan datang adalah sebuah kehidupan sederhana dan harmoni.
  • SETELAH berakhir Perhimpunan Agung Umno 2017 pada 9 Disember lalu, pelbagai isu dibincangkan, tetapi isu sosioekonomi rakyat kurang kedengaran walaupun sudah menjadi isu panas masa kini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.