TERMANGU saya melihat skrip politik semasa hari ini. Semakin dekat PRU14, semakin bercelaru dan melemaskan. Ada kalanya penyokong parti berlebihan berbanding kepimpinan parti.

Ramai daripada kita hari ini lebih banyak berbicara politik daripada mengingati kematian. Ramai daripada kita hari ini lupa akan alam kubur yang bakal kita huni.

Ramai yang ingin terlibat dalam politik. Seolah-olah politik masa kini adalah satu kerjaya yang membawa pulangan yang lumayan di dunia.

Dunia yang fana ini bukan tempat kita tinggal tetapi tempat kita akan meninggal selamanya. Memang benar usia bukan penghalang seseorang itu untuk menjadi Yang Berhormat. Memang benar pengalaman merupakan aset utama bagi seseorang dilihat mampu menjadi Yang Berhormat.

Tetapi ramai Yang Berhormat terlupa akan janji dan amanah yang mereka pikul sebagai wakil rakyat.

Berapa ramai daripada kita hari ini yang hidup kesempitan dengan siang dan malam bekerja tetapi adakah Yang Berhormat tahu apa yang berlaku. Berapa ramai mereka yang hidup gelandangan dengan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada kalanya mereka hidup dengan kelaparan dan miskin yang daif. Adakah Yang Berhormat turun padang melihat kehidupan mereka ini selepas terpilih sebagai wakil rakyat. Tetapi sebahagian besar Yang Berhormat hanya turun bertandang lima tahun sekali apabila dekatnya tarikh keramat PRU14.

Tetapi ramai daripada kita terlupa bahawa politik adalah satu benda yang rapuh. Tidak akan kekal selama-lamanya dalam politik. Untuk menang dalam politik bukan kerja kuat atau pintar buat analisa.

Tapi untuk menang dalam politik memerlukan kemahiran memanipulasi, berlakon pura-pura dan licik. Siapa yang paling licik dalam permainan politik dialah paling menang dalam politik. Strategi licik dan usaha kental dengan manipulasi yang fleksibel merupakan kunci kejayaan dalam politik.

Setiap pemimpin ada rahsia, ada seninya.

Yang mengenal akan hal tersebut adalah mereka yang mengkaji behavioural insights pemimpin tersebut. Mungkin ramai terlupa apa yang berlaku ke atas politik kita yang sengketanya hanya kerana kuasa. Mungkin juga ramai terlupa demokrasi yang diamalkan hari ini hanya membawa perpecahan daripada penyatuan.

Mungkin ramai tidak sangka apa yang berlaku hari ini jika diimbas kembali politik 20 tahun yang lepas atau 30 tahun yang lepas apabila kebebasan berpolitik adalah terhad.

Apa yang berlaku hari ini adalah satu epilog saga politik yang cukup hebat pada zaman ini. Ramai rakyat telah lama menunggu sepurnama bulan agar kemelut politik negara hari ini menemui cahaya di penghujung, khususnya umat Islam dan Melayu. Tetapi alkisah ceritanya masih tidak menemui noktah.

Malahan saya terfikir adakah kerana demokrasi menyebabkan umat Islam berbunuhan di Timur Tengah.

Atau kerana sifat memaafkan dan melupakan apa yang telah berlaku sudah hilang dalam sanubari umat Islam hari ini. Adakah amalan negara-negara Barat menjatuhkan Nicolae Ceausescu, pemerintah komunis Romania yang tidak sehaluan  dengan mereka melalui revolusi yang dinamakan demokrasi, menjadi budaya negara-negara Islam.

Mungkin ada kebenarannya jika dilihat apabila segolongan umat Islam di Timur Tengah menjatuhkan kepimpinan negara Islam mereka supaya wujudnya ketidakstabilan politik. Lalu golongan inilah yang mendapat habuan apabila kuasa berubah tangan.

Adakah ini politik Islam yang Nabi ajar kepada umatnya. Bukankah kita perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi apabila kita berbalahan.

Lihatlah di Iraq, isu senjata kimia pemusnah menghalalkan serangan ke atas Iraq semata-mata untuk menjatuhkan kepimpinan Saddam Hussein. Apa yang telah berlaku pada Iraq hari ini.

Begitu juga di Libya, isu penindasan dan kekejaman Gaddafi diuar-uarkan untuk menghalalkan kebangkitan demokrasi menjatuhkan kepimpinan Gaddafi. Hari ini Libya sendiri masih kucar-kacir dan lemah tanpa Gaddafi. Lihat pada Tunisia, isu pendemokrasian digunakan kerana kepimpinan sedia ada dituduh korupsi dan menindas.

Begitu juga di Mesir, Parti Ikhwan Muslim pimpinan Mursi termakan umpan Barat untuk menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak di atas nama demokrasi. Isu yang digunakan korupsi dan penindasan. Kemudian, Mursi dan Ikhwan Muslim dijatuhkan dan diaibkan.

Malahan Mursi dan sebahagian kepimpinan Ikhwan dihukum bunuh disebabkan Barat menyokong Al Sisi. Inilah permainan Barat untuk menjatuhkan kepimpinan Islam di atas nama demokrasi. Kita alpa bahawa Islam itu mencakupi segalanya termasuk cara berpolitik.

Tetapi kita lebih berminat dengan politik cara Barat. Akhirnya kita terperangkap dalam permainan politik Barat. Yang musnah adalah negara dan bukannya kehidupan pemimpin politik. Adakah ini yang kita akan warisi kepada generasi seterusnya?.