SECARA umumnya, siapa yang tidak suka dipuji?. Walaupun demikian tidak semua individu yang mengharapkan pujian. Namun, pada hakikatnya pujian tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memberikan rangsangan yang positif kepada seseorang untuk mening-katkan lagi perkembangan dirinya.

Terdapat banyak polemik berkaitan dengan pujian ini. Ada yang berpandangan kita boleh memuji namun harus berhati-hati dengan pujian yang diterima. Namun ada juga sesetengah golongan yang berpandangan kita tidak digalakkan untuk memuji kerana boleh menyebabkan mereka manja dan lemah.

Walaupun begitu, ada juga sesetengah kelompok yang hanya suka menerima pujian tetapi begitu lokek untuk memberikan pujian.

Menurut pakar Terapi Kognitif Tingkah laku, setiap individu mempunyai tiga teras kepercayaan negatif terhadap dirinya iaitu; Memper-cayai diri mereka sudah tiada harapan, tidak dicintai dan tidak berguna.

Walaupun begitu, tahap ketiga-tiga teras kepercayaan negatif tersebut adalah berbeza bagi setiap individu. Bagi individu yang berada pada tahap yang tinggi sudah tentu mereka amat memerlukan perhatian daripada seseorang untuk membantu dirinya.

Kebiasaannya golongan ini perlu dirujuk kepada pakar psikiatri supaya tidak memudaratkan lagi. Manakala bagi mereka yang berada pada tahap pertengahan, mereka perlu merujuk kepada pakar kaunseling untuk membantu mereka berada pada landasan asal.

Bagi mereka yang berada pada tahap yang rendah, kebanyakannya boleh cepat pulih kerana mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi.

Sebetulnya, jika kita tidak membina kekuatan dari dalam sudah tentu kita amat berharap orang lain dapat membantu kita baik secara fizikal dan emosi. Bagi kelompok ini, mereka amat memerlukan pujukan dan pujian agar boleh meningkatkan semangat mereka untuk hidup.

Pada hari ini, masih ramai yang begitu teruk menerima ledakan emosi negatif apabila mengetahui mereka sudah tidak ada harapan kerana dihinggapi penyakit yang tidak boleh dipulihkan.

Malah, tidak kurang juga yang membawa diri meninggalkan keluarga kerana penangan putus cinta. Apa yang menggusarkan, sudah menjadi-jadi pula gejala membunuh diri kerana mempercayai diri mereka sudah tidak berguna lagi. Apa yang jelas, isu kegagalan menguruskan emosi ini perlu ditangani dengan serius kerana faktor tekanan hidup setiap hari boleh memudaratkan lagi keadaan.

 Kebimbangan terhadap perkembangan kehidupan manusia hari ini telah diperjelaskan secara panjang lebar oleh Dale Carnegie di dalam bukunya How to stop worrying and start living.

Walaupun buku ini telah ditulis agak lama iaitu pada tahun 1948 dan diberi nafas baru pada tahun 1990 namun isu yang dikemukakan cukup relevan sehingga  hari ini.

Beliau menulis buku ini kerana melahirkan kekecewaan terhadap masyarakat di New York yang tidak prihatin terhadap masalah sosial masyarakat. Apabila beliau menyemak buku-buku berkaitan dengan isu-isu kemasyarakatan di perpustakaan, beliau mendapati amat sedikit bahan rujukan berbanding dengan pelbagai rujukan dalam bidang  sains.

Malah beliau cukup tekejut apabila mendapati terdapat ribuan rujukan berkaitan dengan kajian terhadap ulat telah ditulis oleh para ilmuan namun hanya beberapa ratus rujukan sahaja berkaitan dengan masalah kemasyarakatan. Menurut beliau, masyarakat perlu diberikan sokongan dan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Sebetulnya keupayaan setiap manusia adalah berbeza. Namun ramai ahli psikologi, motivator dan agamawan bersetuju secara prinsipnya bahawa setiap individu mesti berusaha tingkatkan kekuatan dalam diri supaya tidak mudah kalah dengan pengaruh luar.

Pendita Za’ba pernah berkata: “Kita janganlah menjadi seperti pokok-pokok yang ditanam di dalam pasu di mana perlu disirami setiap hari. Sebaliknya jadilah seperti pokok-pokok di dalam hutan yang sentiasa bersaing untuk hidup dan mempunyai akar yang panjang untuk menyerap air dari perut bumi”.

Ini bermakna, jiwa kita perlu kuat untuk mengharungi kehidupan yang semakin mencabar.

Lantaran itu kita perlu belajar untuk maju dengan cacian. Kita perlu terus bergerak walaupun kita tidak dihargai. Kita perlu terus belayar walaupun tidak pernah diberikan harapan dan sementelahan pula untuk dikasihi.

Kita tidak perlu menagih pujian untuk terus kekal tegak berdiri. Cukuplah menagih simpati kepada manusia untuk hidup, kita akan kecewa nanti. Aturan ALLAH SWT lebih luas dan tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita perlu menjadi ‘degil’ untuk hidup.