BARU-BARU ini saya telah dijemput oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk hadir dalam kursus Qalb-Guided Leadership.

Salah seorang penceramah dalam kursus berkenaan menjelaskan kepada kami betapa budaya Melayu cukup hebat kerana kaya dengan budi iaitu; budi bahasa, budi bicara dan budi pekerti.

Namun persoalannya, kenapa banyak statistik berkaitan salah laku dan gejala sosial melibatkan ramai masyarakat Melayu?

Pada hari ini, ramai berbicara tentang merosotnya akhlak remaja masa kini, ramai juga berbicara tentang gelojohnya masyarakat masa kini yang mahu cepat kaya dan masyhur serta ramai juga berbicara sesama sendiri mengenai keperibadian orang lain sehingga lupa keperibadian sendiri.

Sebetulnya, pada hari ini ramai dalam kalangan kita yang bersorak tentang kehebatan bangsa Melayu namun lupa untuk melestarikan kehebatan bangsanya sendiri.  

Teringat saya pandangan seorang ahli akademik Rolf Debelli yang menulis buku bertajuk The Art of Thinking Clearly bahawa; “Jika kita rasa tidak ada sesuatu hendak dicakapkan maka jangan bercakap”.

Malah dalam Islam pun memberikan penekanan betapa kita lebih baik diam daripada banyak berkata-kata.

Natijahnya, banyak kata-kata, boleh menghuru-harakan keadaan. Namun, ramai yang lebih suka bercakap daripada berdiam, sedangkan diam itu juga merupakan salah satu strategi untuk mengharmonikan keadaan.

Saya percaya, sudah tentu ramai dalam kalangan kita pernah tengok sama ada secara langsung di stadium atau menerusi televisyen mengenai tendangan penalti dalam permainan bola sepak.

Setiap orang menunggu dengan penuh debaran apabila sesuatu tendangan penalti dilakukan pihak lawan.

Namun, apa yang lebih mengecewakan apabila melihat tindakan penjaga gol yang bersikap sambil lewa di mana tidak banyak melompat ke kiri atau ke kanan untuk menyelamatkan tendangan bola daripada pihak lawan, sebaliknya hanya berdiri di sekitar kawasan tengah gawang gol sahaja.

Walaupun begitu, jika penjaga gol berjaya menangkap bola sedangkan hanya berdiri di tengah-tengah gawang gol, peminat bola sepak tetap bersorak dan sudah melupakan prestasi penjaga gol yang dianggap lewa sebelum ini.

Apa yang paling menarik, kejayaan menangkap bola oleh penjaga gol tadi disusuli perkataan bernasib baik oleh penyokong tegar mereka. Namun, tidak ramai penjaga gol memilih untuk berada di tengah gawang gol. Sebetulnya, apabila ditanya kepada penjaga gol mengapa lebih suka melompat ke kiri atau ke kanan daripada berdiri di tengah untuk menyelamatkan tendangan penalti sedangkan dia tahu bahawa kebarangkalian bola menerjah ke kanan, ke kiri dan di tengah-tengah gawang gol adalah mempunyai peratusan yang sama.

Jawapannya cukup mudah; “Jika saya hanya berdiri di tengah, nampak macam saya tidak berusaha. Maka lebih baik saya menerpa ke kanan atau ke kiri kerana lebih menampakkan saya berusaha.” Analogi penjaga gol ini sesuai dengan fenomena masyarakat hari ini yang lebih suka bertindak balas atau memberikan respons daripada berdiam diri sahaja. Bertindak balas ada juga baiknya, namun perlu lebih berhati-hati kerana bukan sahaja jiwa orang lain akan merana sebaliknya kita sendiri juga tercela kerana dianggap dungu dalam berbicara sehingga lupa budi bahasa.

Kita kadangkala lupa bahawa budi bicara juga merupakan elemen penting dalam memperkayakan budi. Pada hari ini sudah ramai yang hilang budi bicara. Ketegasan diambil bulat-bulat daripada model Barat.

Kononnya jika kita banyak menggunakan budi bicara kita bukannya pemimpin yang baik, kita mudah mengalah, jiwa kita tidak kental dan pelbagai lagi tuduhan dengan tujuan untuk melemahkan keperibadian seseorang itu yang tinggi budi bicaranya. Lantaran itu budi bicara diletakkan tahap paling bawah dalam hierarki pengurusan dan pentadbiran.

Menurut Imam al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ Ulum al-Din, budi bicara adalah manifestasi nilai kebijaksanaan dan keadilan.

Oleh itu, budi bicara harus dipraktikkan seluas-luasnya asalkan tidak menyalahi peraturan negara, agama dan norma masyarakat.

Sebetulnya, budi pekerti pula adalah impak secara langsung daripada nilai budi bahasa dan budi bicara yang diamalkan seseorang. Secara mudahnya, jika budi pekertinya buruk adalah jelas bahawa sudah berlaku herot-berot terhadap nilai budi bahasa dan budi bicara dalam dirinya.

Tingkah laku yang baik adalah manifestasi nilai dalam diri yang syumul. Jika ada yang berkata, “Awak jangan ambil hati dengan dia ye, mulut aje laser tapi hatinya baik” adalah satu pernyataan yang begitu paradoks dan tidak boleh dipercayai.

Budi bukan untuk dijunjung dan dikelek, tetapi untuk diamalkan.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.