GEJALA membawa maksud tanda akan berlakunya sesuatu. Ini bermakna, gejala sosial bermaksud tanda akan berlakunya sesuatu masalah sosial dan gejala perpecahan pula membawa maksud tanda akan berlakunya perpecahan sama ada pada masa terdekat atau mendatang.

Oleh itu, gejala kurang upaya berfikir dan menilai pula membawa maksud tanda akan berlakunya sikap malas untuk berfikir dan menilai sesuatu secara matang dan benar. Benarkah gejala ini sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini?.

Jika ditinjau sepintas lalu, rasanya tidak munasabah gejala ini boleh berlaku dalam masyarakat kita kerana tidak selari dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Sepatutnya semakin berkembangnya ilmu dan teknologi maka masyarakat semakin matang dan hebat.

Namun hakikatnya tidak sebegitu, ilmu dan matang merupakan dua unsur yang tidak dijamin boleh bergabung sekali gus. Ada yang banyak ilmu namun kurang matang, manakala ada yang cepat matang walaupun kurang ilmu.

Sebetulnya, gejala kurang upaya untuk berfikir dan membuat penilaian terhadap sesuatu perkara telah dikupas secara panjang lebar oleh Pendeta Za’Ba semenjak tahun 1960-an lagi dalam bukunya Perangai bergantung kepada diri sendiri.

Pandangan beliau pada waktu itu amat berat untuk diterima oleh orang Melayu khususnya menyebabkan beliau tidak menghantar naskhahnya kepada penerbit untuk diterbitkan. Setelah lapan tahun beliau meninggal dunia barulah karyanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1981.

Dalam buku tersebut, beliau berkongsi kisah dua ekor keldai yang masing-masing membawa dua jenis muatan yang berbeza di atas belakangnya. Seekor keldai membawa garam dan seekor lagi membawa bunga karang dari laut.

Apabila keldai tersebut melalui anak sungai, tiba-tiba keldai yang membawa muatan garam telah tergelincir dan jatuh ke dalam anak sungai. Setelah berjaya bangkit semula, dia merasakan muatannya lebih ringan. Lalu dia mula berpura-pura jatuh semula ke dalam anak sungai. Apabila sampai di daratan, keldai tersebut terus melompat kegembiraan kerana badannya semakin ringan.

Perbuatan keldai tersebut amat menghairankan keldai yang membawa muatan bunga karang. Lalu dia bertanya, “Mengapa kamu terlalu gembira?” Jawabnya, “Aku gembira kerana muatan garam aku semakin ringan setelah aku terjatuh dan buat-buat jatuh dalam anak sungai tadi”.

Lalu keldai yang bawa muatan bunga karang pun berniat untuk melakukan perkara yang sama apabila melalui anak sungai selepas ini.

Setelah bertemu dengan anak sungai, keldai tadi terus pura-pura jatuh dan berendam dengan agak lama bagi meringankan muatannya. Namun nasibnya agak malang kerana muatannya menjadi semakin berat, menyebabkan dia begitu payah untuk bangkit semula dan tersungkur rebah apabila sampai ke daratan.

Perbuatan keldai tersebut telah diperhati oleh tuannya lalu berkata, “Kenapakah kamu cukup bengong dan tongong?. Tahukah kamu bahawa muatan yang kamu bawa adalah berbeza jenisnya dengan muatan kawan kamu.

Garam sifatnya mudah larut dalam air, manakala bunga karang pula sifatnya menyerap air. Sebab itulah kawan kamu lebih ringan muatannya setelah jatuh ke dalam air berbanding dengan kamu yang menjadi semakin berat.”.

Menurut Za’Ba lagi, walaupun cerita tersebut adalah rekaan orang yang cerdik pandai semata-mata, namun sikap suka menurut orang lain tanpa usul periksa serta gagal membuat penilaian dengan teliti dan betul kerap berlaku dalam masyarakat kita. Natijahnya kita akan membudayakan sikap malas untuk berfikir.

Sebetulnya, akal adalah anu-gerah ALLAH yang paling besar kepada manusia. Justeru, kurang upaya untuk berfikir akan memberi kesan yang amat besar kepada diri sendiri dan orang lain. Agak malang lagi, mereka yang kurang upaya dari segi fizikal adalah lebih matang menggunakan akal berbanding dengan individu yang sempurna anggotanya.

Di antara ciri-ciri individu yang kurang upaya untuk berfikir adalah suka menerima sesuatu perkara tanpa soal dan siasat kebenarannya, budaya suka mengikut, berpandangan suara majoriti adalah lebih tinggi kebenarannya berbanding suara minoriti, mengambil mudah terhadap sesuatu perkara, tidak memikirkan impak kepada orang lain, gelojoh dalam berkongsi maklumat, sikap kepentingan diri yang cukup tinggi serta mempunyai agenda yang tersendiri.

Pada hari ini, gejala menyebarkan maklumat tanpa melakukan pencerahan terlebih dahulu amat ketara sekali. Mereka semakin gagal menilai kebaikan dan keburukan terhadap berita dan peristiwa yang disebar. Mereka juga sudah tidak mempedulikan perasaan orang lain.

Malah mereka sedikit pun rasa tidak bersalah menularkan gambar, video individu yang ditimpa musibah dalam keadaan mengerikan, serta menyebarkan rakaman perbualan telefon yang memalukan atas alasan perkongsian kebenaran.

Pun begitu, bila terkena batang hidung sendiri barulah menyesal.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis