MENURUT pakar psikologi sosial, Branscombe dan Baron, manusia adalah spesies sosial yang tidak boleh hidup berseorangan.

Secara tidak sedar, kita sebenarnya telah mempengaruhi kehidupan orang lain dan orang lain juga telah mempengaruhi kehidupan kita.

Teringat saya filem Cast Away yang dilakonkan oleh Tom Hanks pada tahun 2000. Filem ini umpama eksperimen sosial yang membuktikan bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian setelah terdampar di pulau secara berseorangan kerana kapal terbang kargo yang dinaikinya terhempas.

Setelah sekian lama, beliau cukup teruja memberikan nama Wilson kepada bola tampar yang dijumpai di pulau tersebut dan telah ‘berkomunikasi’ dengan bola berkenaan. Beliau menyedari bahawa lama kelamaan dia boleh jadi gila jika berseorangan.

Oleh itu, beliau telah berusaha dengan pelbagai cara untuk keluar dari pulau tersebut. Akhirnya beliau terselamat dan kembali dalam kehidupan biasa bersama dengan masyarakat.

Walaupun ramai yang sedar tentang kepentingan hidup bermasyarakat, namun kepesatan hidup hari ini menuntut kita untuk lebih pentingkan diri. Kalau dahulu, masyarakat kita masih sempat untuk bersembang dan bertanya khabar.

Pada hari ini, hendak menziarahi saudara-mara dan kenalan yang sakit di hospital pun tidak berkesempatan. Ramai yang hanya berdoa dalam aplikasi Facebook dan WhatsApp sahaja.

Sebetulnya, masih ramai yang tidak yakin bahawa jika kita hendak membantu diri, maka kita perlu bantu orang lain dahulu. Ramai ahli cendekiawan dan agamawan cukup sedar tentang kepentingan kita hidup bermasyarakat dengan membantu orang lain.

Dalai Lama pernah berkata, “Tujuan utama kita hidup adalah untuk membantu orang lain. Jika kita tidak dapat membantu mereka, sekurang-kurangnya jangan sakiti mereka".

Malah Martin Luther King Jr juga pernah berkata, “Persoalan utama yang perlu kita tanya dalam hidup kita ialah, Apakah yang telah kita lakukan pada orang lain?”.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan Abdullah bin Umar RA bahawa, “Orang yang paling disukai oleh ALLAH SWT ialah orang yang paling bermanfaat. Adapun beberapa amalan yang disukai oleh ALLAH SWT adalah perbuatanmu menyenangkan sesama Muslim atau meringankan penderitaannya, melunasi hutangnya, atau menghilangkan kelaparannya.” Hadis Riwayat Al-Tabrani.

Pendek kata, kita tidak akan tahu makna kesedihan selagi tidak membantu orang lain yang sedang bersedih, kita tidak akan tahu makna kesusahan dan kepayahan jika tidak membantu orang miskin yang sangat susah hidupnya. Malah kita tidak akan rasa tenang selagi tidak melihat bagaimana orang lain yang hidup begitu susah dan menerima ujian sangat besar masih mampu bersyukur dan reda dengan ujian daripada ALLAH SWT.

Bagi mereka yang tahu betapa besarnya nikmat yang dia dapat jika membantu orang lain, sudah tentu mereka akan berterusan untuk menolong orang lain tanpa jemu.

Menerusi kitab Muhammad Ibrahim Al-Nu’aym ada menukilkan kisah Abu Bakar Al-Siddiq yang setiap hari membantu penduduk kampungnya memerah susu kam-bing.

Lalu, tatkala beliau menjadi Khalifah, seorang wanita penduduk kampungnya berkata, “Sekarang Abu Bakar tidak akan lagi memerah susu kambing untuk kami”.

Abu Bakar pun menjawab, “Tidak, aku berharap kedudukan aku ini tidak merubah sesuatu yang biasa aku lakukan”.

Menerusi kitab yang sama juga menceritakan kisah Zaid bin Harithah yang mempunyai semangat untuk menolong orang lain begitu luar biasa sekali.

Setiap kali hujan, beliau akan membawa api dan berjalan-jalan mengelilingi kampung dan bertanya setiap penduduk yang dijumpainya, “Apakah rumah kalian bocor, atau apakah kalian memerlukan api?”.

Keesokan harinya, Zaid kembali berjalan ke rumah-rumah mereka dan bertanya, “Apakah kalian memerlukan sesuatu yang perlu dibeli di pasar atau kalian memerlukan sesuatu keperluan lain?”.

Sebetulnya, jika kita nak senang dan tenang bantulah orang lain.  Namun begitu, seperti biasa sesuatu peringatan itu umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Cuba fikir berapa ramai individu yang telah kita bantu?. Jika sangat kurang, bermakna bukan kerana kita tidak mahu membantu, tetapi orang lain tidak mahu meminta bantuan daripada kita kerana kita adalah spesies yang cukup payah membantu. Renungkan!