PADA hakikatnya, orang yang baik perangainya adalah lebih ramai berbanding mereka yang jahat. Kebiasaannya individu yang baik tidak menimbulkan mudarat yang lebih besar berbanding dengan orang yang jahat perangainya. Orang yang baik biasanya tidak menzalimi dan mengkhianati orang lain, sebaliknya mereka hidup dengan cara sendiri dan jarang menyusahkan orang lain.

Pendek kata, orang yang baik ialah individu yang kebanyakan fokus kepada diri dan yang terdekat dengan mereka serta jarang memberi fokus kepada orang lain. Persoalannya, adakah benar dakwaan tersebut? dan adakah sikap sebegini baik untuk perkembangan sosial masyarakat?

Sepintas lalu, sikap begitu nampaknya bagus kerana mereka tidak kisahkan hal-ehwal orang lain dan sebaliknya hanya fokus pada diri sendiri. Namun, jika kita renungkan secara mendalam sikap orang yang baik perangainya dalam masyarakat kita hari ini,  didapati masih ramai yang hanya pandai menyebut perkataan “kesiannya” namun masih tidak sudi membantu menolak kenderaan yang rosak di jalan raya dan menolong insan yang menghadapi kemalangan.

Selain itu, terdapat juga ahli-ahli dalam kumpulan WhatsApp yang hanya copy and paste ucapan takziah bagi menunjukkan sifat kasihan dan prihatin kepada kita sedangkan sedikit pun tiada usaha untuk bertanya khabar secara peribadi.

Malah cukup ramai yang berkongsi perasaan kasihan kepada mangsa gempa bumi, penghapusan etnik dan pelbagai kecelakaan lagi tanpa ada usaha untuk menderma dan sementelahan berdoa keselamatan kepada mereka. Kenapa boleh berlaku sedemikian?. Sepatutnya mereka yang baik perangainya tidak sebegitu tindakannya?

Sewaktu bujang dahulu, saya pernah tinggal serumah dengan beberapa kawan yang baru dikenali. Setelah beberapa minggu berkenalan, saya pernah cuba untuk memberi nasihat kepada salah seorang teman serumah agar menunaikan solat Jumaat kerana tidak pernah saya melihat dirinya solat Jumaat sepanjang tinggal sebumbung dengannya.

Malah saya juga cuba untuk memberikan peringatan kepadanya agar tidak meninggalkan solat terutamanya dalam bulan Ramadan kerana puasanya hanya sia-sia tanpa solat. Malangnya, teguran saya dijawab dengan sinis sekali.

Katanya, “walaupun aku tidak solat, namun perangai aku baik. Masih ramai yang solat di luar sana tetapi perangainya cukup jahat”.

Mendengar kata-katanya, saya tiada lagi alasan untuk menegurnya kerana dia mempunyai prinsip dan fahaman yang tersendiri terhadap makna perangai yang baik. Malah saya juga telah dianggap mencampuri urusan peribadinya.

Akibatnya, seminggu dia tidak menegur saya dan tidak lama selepas itu dia mengambil keputusan untuk berpindah rumah. Pun begitu, kami yang tinggal serumah dengannya tidak putus-putus berdoa agar beliau diberikan hidayah oleh ALLAH.

Sebetulnya perangai yang baik sahaja masih belum mencukupi adalah selari dengan falsafah sifat air mutlak yang dibincangkan dalam buku fekah.

Pada prinsipnya, jika air itu bersih maka ia bersifat suci dan boleh menyucikan yang lain. Namun terdapat juga air yang bersih dan suci tetapi tidak dapat menyucikan yang lain. Sebagai contoh, air laut adalah bersih dan sifatnya adalah suci dan menyucikan dan kita boleh berwuduk dengan air tersebut.

Namun jika air laut telah bertukar menjadi garam dan jika kita menambahkan air lain untuk mencairkan garam tersebut, maka air yang melarutkan garam tadi masih lagi dikira bersih namun sifatnya tidak lagi boleh menyucikan yang lain dan makruh untuk kita berwuduk dengannya.

Justeru, jika kita mengambil falsafah ini dalam kehidupan, adalah jelas kita perlu berusaha untuk menterjemahkan sikap yang baik setiap hari agar bukan sahaja bersih dan menyucikan diri sendiri bahkan boleh menyucikan orang lain pula.

Persoalannya, mengapa payah sangat kita hendak menjadi masyarakat yang prihatin sedangkan kita bukannya jahat?. Adakah kita dianggap jahat jika tidak membantu orang lain? Adakah kita dianggap jahat jika kita tidak bertanya khabar orang lain dan adakah kita dianggap jahat jika kita sangat sukar untuk menderma dan bersedekah?.

Sebetulnya, kita tidak jahat, tetapi baik untuk diri, keluarga dan kelompok yang dekat dengan kita sahaja. Kita sememangnya bersih namun amat jauh tarafnya untuk menyucikan orang lain. Sampai bila pun setakat itu sahaja darjat yang kita peroleh selagi tidak berusaha untuk mengurangkan sikap pentingkan diri, berpuak-puak serta tidak berusaha dekatkan diri dengan ALLAH.

Justeru, jika kita berkeinginan yang tinggi untuk menjadi bersih, suci dan menyucikan orang lain kita harus berusaha bersungguh-sungguh menggembleng kekuatan atau good forces dalam diri agar sentiasa berusaha untuk membantu orang lain tanpa syarat.

Kita harus mulakan dengan perkara kecil dahulu barulah boleh beralih kepada bantuan yang lebih besar. Jika kita rasa lemah sepanjang usaha tersebut, teruskan usaha dan cari kekuatan dengan bermunajat kepada ALLAH.

Yakinlah! Apabila kita diberkati dan dirahmati semua usaha kebajikan kita akan dipermudahkan. Pun begitu, janganlah kebaikan kita diambil kesempatan pula oleh orang lain. Bantulah tanpa mudarat.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis