BERLANDASKAN fitrah dan hakikat penciptaan ini, Islam dengan jelas telah meletakkan peranan dan kedudukan antara lelaki dan perempuan sesuai pada tempatnya. Islam bukan sekadar memartabatkan wanita, sebaliknya mengembalikan manusia seluruhnya kepada fitrah.

Kedudukan antara lelaki dan wanita tidak pernah dibeza-bezakan. Mereka adalah sama di sisi ALLAH kecuali orang yang lebih ketakwaannya. Hal ini jelas disebut dalam firman-Nya melalui Surah al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Justeru, dalam era globalisasi ini peranan dan tanggungjawab wanita menjadi semakin mencabar dan bertambah penting. Peranan wanita adalah sama penting dengan golongan lelaki bagi membantu meningkatkan kefahaman dan penyampaian ilmu yang sahih dalam masyarakat berlandaskan prinsip-prinsip wasatiyah, terutamanya dalam menangani isu-isu semasa seperti ekstremisme dan liberalisme yang jelas bertentangan dengan prinsip wasatiyah.

Prinsip-prinsip wasatiyah yang menekankan keseimbangan dalam berfikir amatlah penting untuk turut dikuasai oleh golongan wanita, kerana isu ekstremisme dan liberalisme turut melibatkan golongan wanita. 

Ekstremisme adalah golongan yang memahami agama secara melampau, manakala golongan liberal adalah mereka yang mencairkan prinsip agama.

Hakikatnya, wanita hari ini adalah golongan yang turut aktif dalam media sosial dan mereka tidak lagi asing dengan dunia luar. 

Oleh itu, pelbagai fahaman dan ideologi songsang yang disampaikan melalui media sosial akan mudah meresapi dan mempengaruhi pemikiran serta pegangan. 

Sebab itulah golongan wanita perlu lebih berperanan dalam menyedarkan masyarakat agar tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperoleh daripada media sosial. 

Jika kita menyoroti sejarah awal kedatangan Islam, kita akan dapati Islam tidak meminggirkan golongan wanita dalam menuntut ilmu. Lihatlah bagaimana Sayyidatina Aisyah ra yang merupakan seorang wanita yang begitu alim dan faqih dalam ilmu agama, hasil didikan daripada Nabi SAW. Bahkan banyak hadis berkenaan rumah tangga Nabi SAW diriwayatkan oleh beliau. 

Dalam hal ini, golongan wanita terutamanya ibu-ibu perlu memanfaatkan institusi kekeluargaan yang mereka miliki untuk mendidik anak-anak tentang bahaya menyeleweng dari prinsip wasatiyah. Mereka juga merupakan ketua kepada urusan anak-anak mereka, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: 

"Seorang isteri itu adalah pemimpin dalam (urusan) rumah tangga suaminya (ketika suaminya tiada di rumah) dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim. 

Hakikat yang jarang disedari, Islam sebenarnya begitu menitikberatkan didikan keluarga terhadap anak-anak perempuan, sebagaimana sabda Baginda:

“Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, dan dia sabar terhadap mereka (dalam membesarkan dan mendidik mereka), memberi makan kepada mereka, memberi minum kepada mereka, memberi pakai kepada mereka dari kemampuannya, mereka akan menjadi hijab kepadanya dari neraka pada hari kiamat kelak”. Hadis sahih riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah.

Jika diteliti, antara faktor masalah kekurangan ilmu dan kebergantungan kepada media sosial adalah disebabkan umat Islam terlalu melihat Islam hanya dalam kerangka dan neraca politik kepartian, kepuakan dan kumpulan masing-masing. 

Inilah yang membawa kepada sikap taksub membabi buta kepada golongan masing-masing yang jelas lari dari prinsip wasatiyah. 

Bahkan, sesetengah neraca politik diasuh berasaskan nilai kebencian, sentimen kepartian dan kepuakan yang sempit, yang akhirnya menyempitkan ruang berfikir secara lebih terbuka dan memisahkan umat Islam dari tradisi ilmu yang sebenar. 

Justeru, wanita memiliki peranan yang besar dalam menyuburkan kembali tradisi Islam berasaskan ilmu yang tinggi sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah pada zaman kegemilangan Andalus dan Baghdad yang meletakkan Islam sebagai agama yang benar kerana kekuatan integrasi antara ilmu naqli serta ilmu aqli, dan tidak hanya bersumberkan semangat membabi buta seperti golongan ekstremisme atau sekadar menjadikan Islam sebagai kosmetik seperti golongan liberal. 

 

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri