MENJELANG Perhimpunan Agung Umno tidak lama lagi, penulis melihat ada nilai yang perlu dicungkil sebalik ketekunan persiapan yang dilaksanakan untuk direnungi dan dihargai.

Khalayak mungkin lupa atau tidak sedar bahawa sebagai parti pemerintah, apa saja dasar yang dibentangkan oleh kerajaan sebenarnya merupakan hasil cetusan daripada ahli-ahli dan pimpinan Umno di akar umbi yang disuarakan melalui Perhimpunan Agung Umno saban tahun.

Dalam bidang pendidikan contohnya, kerajaan yang diterajui oleh Umno telah mewujudkan sistem pendidikan rendah dan menengah aliran kebangsaan, aliran sains, vokasional, agama dan aliran sains ulul albab yang disinambungkan dengan pendidikan tinggi awam dan swasta. Kewujudan kepelbagaian aliran ini berjaya melonjakkan kelahiran modal insan yang kompetitif dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kerajaan turut memperkenalkan pelbagai dasar dan program pembangunan serta transformasi ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat sehingga negara berada pada tahap yang amat membanggakan di peringkat antarabangsa.

Sekadar menyebut beberapa contoh seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), pendidikan J-QAF, Majlis Halal Malaysia, merupakan antara dasar yang dicetuskan melalui Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Melalui usul-usul yang dibangkitkan, kerajaan juga sentiasa menambahbaik dan memperkukuhkan sistem penyampaian yang dapat menjana pendapatan rakyat melalui program-program seperti MobilePreneur, e-Usahawan, e-Rezeki dan sebagainya.

Penubuhan Institut Penyelidikan Pasaran Modal dan meningkatkan insentif Skim Persaraan Swasta (PRS) juga antara contoh tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan hasil gesaan yang diusulkan oleh akar umbi.

Malah sepanjang 59 tahun merdeka, pembangunan Islam turut berkembang secara holistik sama ada dari segi akidah, syariah dan akhlak tanpa menafikan hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Malaysia.

Perkembangan ini membuatkan Malaysia turut dianggap oleh masyarakat dunia sebagai model negara Islam yang maju, moden dan progresif dengan berpaksikan manhaj orientasi wasatiyyah yang membawa nilai kecemerlangan, keseimbangan dan keadilan.

Hakikatnya, semua agenda pembangunan negara ini direalisasikan bertitik tolak daripada inisiatif Umno sebagai sebuah parti yang inklusif dan merakyat.

Umno tidak hanya menggubal sesuatu dasar yang dibawa di peringkat kerajaan mengikut pandangan dan buah fikiran pemimpin semata-mata. Tetapi suara hati dan denyut nadi rakyat di pelbagai kelompok dan peringkat sentiasa dirasai dan diselami.

Kadang kala, kita berasa cukup megah dengan pandangan yang berlegar di media sosial. Tetapi hakikatnya belum tentu pandangan tersebut mewakili suara dari akar umbi.

Namun, jika dilihat struktur Umno itu sendiri mampu menyaksikan betapa Umno ini sebuah parti yang terus mendengar segala yang dihasratkan dan diaspirasikan oleh rakyat dari pelbagai kelompok.

Mana tidaknya, hasrat yang diusulkan daripada peringkat cawangan dan bahagian seluruh negara, digabungjalinkan dengan pandangan pakar-pakar dari pelbagai bidang yang bukan dalam struktur parti melalui siri wacana, diskusi, multaqa dan konvensyen sentiasa diambil kira untuk dilaksanakan.

Sebagai contoh, sudah dua tahun berturut-turut Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah diadakan sebagai satu platform untuk menggabungkan isu-isu dan ratusan usul yang dibangkitkan di peringkat cawangan dan bahagian Umno dengan pandangan daripada pelbagai kelompok yang berkepentingan (stakeholders).

Keterlibatan dan komitmen pakar-pakar turut diambil kira dari kalangan ahli akademik, cendekiawan, ulama, pimpinan NGO, usahawan, mahasiswa dan agensi-agensi kerajaan dalam mencanai usul-usul yang merangkumi empat kluster utama iaitu ekonomi, pendidikan, agama dan politik.

Namun, bukan itu sahaja, malah pada tahun ini laporan pelaksanaan (report card) hasil dan natijah daripada resolusi yang lepas turut dibentangkan dalam konvensyen yang diadakan baru-baru ini, bagi melihat tindakan kerajaan dalam merealisasikan apa saja suara hati rakyat yang dibangkitkan dalam konvensyen dan Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Justeru, Umno dan kepimpinannya perlu teguh dan tidak mudah goyah daripada prinsip perjuangan dalam mendepani dunia peperangan persepsi yang gawat ini meskipun difitnah, ditohmah dan diremehkan.

Semua dasar, pelan, rancangan, program dan projek yang telah dilaksanakan perlu dipromosikan dengan bijaksana supaya idealisme, falsafah dan dasar perjuangan Umno benar-benar dirasai dan terus kekal relevan mendepani arus cabaran zaman.

*Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki , Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri