SAMBUTAN Maal Hijrah pada setiap tahun pastinya mengingatkan kita kepada suatu sejarah agung umat Islam tentang penghijrahan Rasullah SAW dari kota Makkah ke kota Madinah.

Detik-detik perlu dikenang, diingati, dan dihayati dalam kita mengikut jejak langkah dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.  

Walaupun jarak masa antara kita dan Baginda lebih dari 1400 tahun, namun Baginda tetap kekal sebagai “role model” atau ikutan terbaik sepanjang zaman dalam menyatukan ummah. Di sebalik peristiwa agung ini, Baginda telah banyak menyatukan hati-hati manusia atas asas aqidah dan keimanan kepada ALLAH dan Rasul-Nya, bukan berasaskan material kebendaan duniawi semata-mata. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya (pahala) amalan-amalan itu adalah berdasarkan kepada niat, dan bagi setiap orang (ganjaran pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya itu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka (itulah) hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya semata-mata untuk dunia yang diperolehnya, atau wanita yang dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia tuju itu”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Baginda telah menyatukan kabilah Aus dan Khazraj yang sebelumnya berbalah dan bersengketa berkurun-kurun lamanya angkara tiupan hasutan daripada golongan Yahudi Madinah agar mereka dapat terus-menerus menguasai ekonomi Madinah pada masa itu.

Baginda juga telah menyatukan golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah untuk menyelamatkan keimanan mereka dan golongan Ansar (Aus dan Khazraj) yang banyak membantu golongan Muhajirin sehingga mengorbankan hak mereka sendiri.

Bahkan Rasulullah SAW amat melarang umat Baginda untuk hidup berpuak-puak atas dasar asabiyah jahiliah yang membawa kepada kezaliman. Baginda SAW pernah menegur beberapa sahabat yang menyeru kepada taksub dan fanatik terhadap kumpulan masing-masing, sehingga lupa kepada ukhuwah Islamiah yang berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini – Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah – adalah amat sesuai dengan suasana umat Islam di Malaysia pada hari ini yang perlu kembali bersatu dan saling berkasih sayang atas asas yang sama iaitu persaudaraan Islam yang bertunjangkan akidah tauhid dan keimanan yang sama. Ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat, ayat 10:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh itu, hendaklah kita memandang seseorang Muslim itu dengan pandangan rahmat dan kasih sayang atas dasar saudara seagama, bukan dengan pandangan kebencian kerana berlainan golongan dan puak.

Inilah yang dianjurkan oleh Islam untuk hidup saling berkasih sayang dan hormat-menghormati, bukan saling membenci, hasad, mengutuk, dan saling merendahkan antara satu sama lain, walaupun kita pada hakikatnya mempunyai kepelbagaian fikrah, ideologi, dan fahaman politik.

Justeru, carilah titik persamaan yang lebih banyak untuk melahirkan kasih sayang dan ukhuwah sesama umat Islam berbanding hanya melihat kepada pelbagai perbezaan dan perselisihan yang ada.

Dalam hal ini, tidaklah perlu bagi setiap golongan itu mengorbankan ideologi dan meleburkan identiti golongan masing-masing, kerana perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara adalah lumrah dalam kehidupan, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Hud, ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengehendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya sebagai umat yang satu, (tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan”.

Apa yang paling penting adalah setiap golongan yang cintakan Islam perlu meletakkan kepentingan agenda umat Islam di tempat paling tinggi.

“Orang yang beriman buat orang beriman yang lain adalah seperti sebuah bangunan. Sebahagiannya mengukuhkan sebahagian yang lain”. Dan Baginda menyilangkan antara jari-jarinya kedua-dua tangannya. Hadis ini menunjukkan bahawa setiap Muslim yang beriman itu mempunyai sumbangan masing-masing yang berbeza dalam memperkukuhkan Islam walaupun sedikit, kerana sebuah bangunan mungkin sahaja akan tergendala jika terdapat bahagian dalam bangunan tersebut yang terjejas.  

Akhirnya, marilah kita sebagai umat Islam kembali bersatu atas dasar ukhuwah Islamiah dan kasih sayang yang akan menjadikan umat Islam kuat dan tidak mudah dikotak-katikkan pihak musuh yang sentiasa mencari peluang agar umat Islam berbalah sesama sendiri.