MINGGU ini bermulanya Perhimpunan Agung bagi parti Umno yang telah berusia 71 tahun sejak ditubuhkan pada 1946. Signifikannya perhimpunan tahun ini adalah yang terakhir sebelum bermulanya gendang PRU14  tahun hadapan.

Namun, yang perlu disedari ialah sejak 1946, Umno telah 71 tahun menakhodai negara sama ada sebelum mencapai kemerdekaan dan selepas tercapainya kemer-dekaan dan pembentukan Malaysia sehingga sekarang. Di sebalik sejarah panjang selama tujuh dekad, Umno telah melalui pelbagai rintangan, cabaran dan dugaan yang menjadikannya sebuah badan siasah umat yang matang.

Sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh umat Melayu beragama Islam, agenda Islam tidak pernah lekang dari setiap langkah perjuangan Umno. Islam sentiasa menjadi manhaj dalam merangka visi dan misi perjuangan. Malah, Umno lah yang mencorak kemerdekaan negara berteraskan Islam apabila agama Islam dijadikan agama persekutuan,

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu sebagai doktrin dalam teras Perlembagaan Persekutuan.

 Lebih menarik adalah setiap pengisian negara disaluti dengan agenda keIslaman yang bersifat sederhana berasaskan prinsip wasatiyyah. Umno tidak pernah tergesa-gesa dalam melaksanakan Islam di Malaysia. Segalanya dilakukan dengan berhemah dan berhikmah.

Buktinya pelbagai pelaksanaan Islam di Malaysia dilaksanakan secara berevolusi atau bertahap dari satu dekad ke dekad sesuai dengan perkembangan zaman dan perubahan masyarakat.

Terlalu banyak contoh yang boleh diberikan bagi menggam-barkan pelaksanaan agenda Islam oleh Umno. Sebagai parti teras yang menguasai kera-jaan, Umno mengungguli pem-bangunan sistem kewangan Islam sehingga terbentuknya Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, memartabatkan institusi pengajian Islam di pelbagai uni-versiti awam dan swasta Malaysia, melestarikan pendidikan Islam di peringkat menengah dan rendah, mempelopori industri halal Ma-laysia, mendokong institusi beraja, memartabatkan mahkamah syariah, memperkasa institusi masjid melalui peruntukan besar setiap tahun dan banyak lagi usaha yang dilakukan secara berterusan bagi memakmurkan Islam di Malaysia.

Kesemua contoh tersebut dilaksanakan Umno berteraskan prinsip wasatiyyah dalam kerangka maqasid syariah. Lebih jelas lagi, selama tujuh dekad iaitu sebelum dan selepas merdeka, Umno membentuk manhaj tersendiri dalam menakhodai Islam di Malaysia. Umno tidak pernah mencedok mana-mana manhaj politik Islam dari luar negara, bahkan mengemudi Malaysia berasaskan warisan tamadun Melayu Islam-Nusantara.

Perincian manhaj atau pen-dekatan Islam Umno ini dapat dilihat pada komitmen parti keramat ini kepada pegangan akidah ahli Sunnah wal jamaah dan mazhab fikah Syafie yang menjadi satu pegangan arus perdana kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Pegangan inilah yang mencetuskan persefahaman dan kerukunan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Islam khususnya apabila berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam.

Dalam konteks ini, sebagai parti pemerintah Umno merangka semua dasar negara secara inklusif untuk semua rakyat Malaysia. Dasar-dasar kerajaan seperti Rukun Negara, Dasar Wasatiyyah Negara dan Falsafah Pendidikan Negara adalah satu pelan jangka panjang yang dilaksanakan bagi memupuk semangat muafakat dan kebersamaan hidup dalam sebuah negara.

Ini semua dilakukan kerana Umno menyedari bahawa Islam adalah agama untuk semua yang bersifat ta‘ayush atau kebersamaan dan kesalingan antara kaum dan agama untuk hidup bersama dalam sebuah negara dengan aman dan damai.

Di atas prinsip tersebut, Umno sentiasa memastikan setiap dasar-dasar kerajaan mementingkan nilai keadilan, kerjasama antara kaum, hormat menghormati dan mempertahankan prinsip kebebasan beragama.

Resipi inilah yang menjadikan manhaj Islam Malaysia sebagai suatu pendekatan yang unik dan istimewa. Manhaj ini juga secara tidak langsung mengetepikan semua fahaman dan aliran yang tidak selari seperti radikal, liberal dan ekstrem.

Semoga Perhimpunan Agung Umno kali ini membuahkan sema-ngat dan meneguhkan lagi aspirasi Umno untuk terus memperjuangkan agenda Islam di Malaysia bagi kelangsungan sebuah kemakmuran dan keamanan berterusan untuk rakyat Malaysia keseluruhannya.