PERTUBUHAN Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Parti keramat orang-orang Melayu yang beragama Islam ini muncul sebagai respons dan reaksi kepada langkah kerajaan British untuk menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu.

Umno ditubuhkan hasil gabungan atas tekad untuk mempertahankan maruah agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kemerdekaan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah Inggeris.  

Atas faktor tersebut, penubuhan Umno berjaya menyatukan semua persatuan Melayu dalam satu saf perjuangan. Penyatuan ini menunjukkan betapa Umno lahir dari roh dan rahim perjuangan yang suci dan mulia.

Penyatuan kesemua persatuan Melayu dari negeri-negeri Melayu membuktikan betapa Umno telah memulakan satu langkah perpaduan ummah yang paling awal sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Namun selepas lima tahun perjuangan Umno bermula, bibit perpecahan orang Melayu pun menjelma. Pada tahun 1951, Yang Dipertua Umno pertama, Datuk Onn Jaafar keluar dan menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP).

Orang Melayu sekali lagi ditimpa perpecahan pada tahun 1951, apabila Haji Ahmad Fuad Hassan membawa keluar kumpulan alim ulama Umno dan menubuhkan Parti Islam Se-Malaya (Pas).   

Berdasarkan sejarah penubuhan Umno, perlembagaan parti telah dirangka pada tahun 1946 dengan memasukkan Islam sebagai satu dasar dalam Asas dan Tujuan penubuhan parti.

Satu jawatankuasa dibentuk untuk merangka draf Perlembagaan Umno yang kemudiannya dibentangkan dan diterima dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ke-3 dan perhimpunan agung pertama Umno pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, perlembagaan Umno didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), sekali gus menjadi dustur serta panduan kini, bukan hanya dalam proses pentadbiran dan pengurusan parti, bahkan mempengaruhi pembentukan dasar kerajaan dan negara khususnya yang berkaitan dengan agenda pembangunan Islam.

Dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno yang menyatakan dengan jelas tentang Asas dan Tujuan penubuhan Umno iaitu pada Perkara 3.3: “Menegak, Mempertahan dan Mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama”.

Fasal 3, Perkara 3.3 ini dianggap penting kerana kemudiannya mencorak Perlembagaan Persekutuan dengan meletakkan asas Islam yang lebih kukuh sebagai agama Persekutuan. Perlembagaan Malaysia pada Perkara 3 (1) menyatakan: “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan: tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.    

Jika dalam perlembagaan Umno hanya menyatakan bahawa ‘Islam sebagai agama rasmi negara’, maka dalam Perlembagaan Persekutuan, fungsi Islam dilebarkan dan dikukuhkan lagi sebagai agama Persekutuan.

Agama Persekutuan bersifat merangkumi secara menyeluruh kepada sistem politik, pentadbiran negara dengan tidak menjadikan Islam hanya sebagai satu agama bagi tujuan simbolik dan rasmi sahaja tetapi melampaui kepada perluasan agenda pelaksanaannya sebagai satu cara hidup bagi umat Islam di Malaysia.

Bukti ini menunjukkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang bersifat sekular. Sekular sebenarnya memberi maksud memisahkan amalan agama dengan kehidupan.

Fahaman yang muncul di Barat ini merupakan pengasingan dan pemisahan mutlak antara kuasa golongan gereja Kristian dengan sistem politik dan pentadbiran negara. Agama kemudiannya ditafsirkan hanya sebagai hak mutlak individu dan tidak menjadi tanggungjawab pemerintah dan negara.

Namun mungkin ada yang bertanya kenapa Umno tidak menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai satu rujukan tertinggi dalam perlembagaan parti? Pada asasnya kita perlu memahami bahawa frasa dalam Perlembagaan Umno telah menyatakan dengan jelas ‘Menegak, Mempertahan dan Mengembangkan Islam’.

Ini adalah satu bukti bahawa Umno mendukung prinsip akidah, syariah dan dakwah Islam iaitu menegakkan syiar dan syariat, mempertahan akidah Islam dari ancaman musuh dan pada masa sama sentiasa berusaha untuk mengembangkan dan memajukan Islam dalam negara.

Justeru, proses untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam adalah tindakan yang sebenarnya merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber dan panduan hidup.

Selepas tujuh dekad berlalu sejak 11 Mei 1946, Umno terus utuh sebagai parti teras orang Melayu yang beragama Islam. Selama tujuh dekad juga Umno terus memperkasa agenda membangunkan Islam tanpa mengganggu agama-agama lain.

Pembangunan Islam yang diterapkan kerajaan adalah hasil usaha Umno yang mempraktikkan pendekatan peradaban dan wasatiyah dalam semua aspek kehidupan. Moga Umno terus maju untuk Islam dan rakyat Malaysia.