TIDAK dinamakan perjuangan jika hanya kalimah “menang” yang difahami dan diingini. Perjuangan punya erti yang lebih besar nilaiannya yang mana ia adalah mata rantai penghubung di antara siri-siri perjuangan yang terkandung padanya menang dan kalah.

Perjuangan kita adalah bukan kerana harta, nama dan pangkat. Sebaliknya ia adalah bertujuan bagi memartabatkan kalimah ALLAH yang tinggi. Bukan reda manusia semata-mata yang dicari sebaliknya reda ALLAH adalah puncak kepada segala keredaan.

Perjuangan adalah tidak sama dengan pertandingan kerana bagi setiap pertandingan akan munculnya kemenangan dan kekalahan namun bagi setiap perjuangan akan lahirnya mehnah dan ujian.

Seorang ahli perlawanan hanya akan kekal berlawan untuk kemenangan. Segala teknik dan helah akan digunakan tidak kira ia benar ataupun tidak. Tetapi seorang pejuang akan terus berjuang melangkaui kemenangan dan kekalahan kerana baginya perlawanan adalah hanya satu alat bukannya satu matlamat.

Perjuangan merupakan pengisian bagi setiap kemenangan dan juga kekalahan. Seorang pejuang akan berusaha sebaik mungkin untuk memanfaatkan dirinya kepada perjuangan. Dicari peluang untuk berjuang tanpa mengehadkan lapangan, sebaliknya mengekalkan matlamat dan mengikhlaskan niat.

Dalam mengisi perjuangan, seorang pejuang tidak mengenal kegagalan kerana kegagalan membawa kepada kekecewaan. Sebaliknya, kegagalan itu dipandang sebagai satu ujian dan latihan bagi memantapkan lagi jati diri bagi menempuhi segala mehnah dalam perjuangan. Semakin kental jati diri maka semakin kuatlah seorang pejuang itu dalam meneruskan perjuangannya.

Kita sedar bahawa perjuangan memartabatkan Islam ini adalah bukan perjuangan mengenai kita semata-mata. Tetapi ia adalah perjuangan kerana ALLAH SWT dalam menyebarkan keindahan Islam dan meletakkan perkara hak pada tempatnya.


Perjuangan ini tidak berkubur kerana gugur, gagal atau matinya kita. Ia tetap akan berterusan kerana perjuangan ini adalah milik ALLAH SWT. Andai kita berkubur kerana kecuaian, maka ALLAH akan menggantikan dengan mereka yang lebih baik daripada kita.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 54 dengan maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamaNya, maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan ALLAH, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia ALLAH, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH Maha Luas (pemerian-Nya), lagi Maha Mengetahui”

Kemuliaan kita sebagai pejuang agama ALLAH SWT adalah bukan kerana keistimewaan dan keunikan diri kita, tetapi ia adalah kerana keistimewaan Islam yang kita dukung. Kerahmatan pada agama ini bukan setakat menjadikan pendukungnya sebagai istimewa bahkan menjadikan insan-insan di sekelilingnya dan alam seluruhnya turut memperoleh manfaat dan rahmat.

Adakah kita sudah dikira sebagai pejuang agama ALLAH dengan tidak didatangkan dengan ujian, kekalahan dan kehinaan? Adakah kita dikira layaknya syurga buat kita lantaran kegagalan menghadapi ujian ini? Ketahuilah bahawa sabar adalah satu perjuangan, dan ketahuilah jua bahawa perjuangan ini didatangkan dengan pertolongan ALLAH SWT dan pertolongan itu adalah dekat.

Justeru, perjuangan ini tanpa noktah. Berakhirnya ia bukan pada kita. Kalah hari ini bukan bermakna gagal selamanya dan bukan juga untuk menyerah. Perjuangan ini adalah satu amanah bukan untuk diserah tetapi untuk diserlahkan kerana Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri