KEMAJUAN teknologi maklumat yang menunjangi kehidupan manusia kini, merupakan satu bukti ilmu pengetahuan kurniaan ALLAH SWT yang amat mengagumkan pernah dicapai akal fikiran manusia. Sebagai orang Islam yang beriman dengan kekuasaan ALLAH SWT, kita yakin bahawa pencapaian ini adalah satu bentuk rahmat ilmu yang seharusnya digunakan untuk menyebarkan kebenaran dan kebaikan.

Hakikatnya, kemajuan teknologi maklumat telah meletakkan kita dalam dunia tanpa sempadan dan batasan. Perkembangannya membolehkan kita bergerak seiring dengan perubahan semasa dan setanding masyarakat dunia yang lain. Kepantasan dan keluasan capahannya memberikan kita ruang dan peluang yang lebih luas untuk diterokai.

Hal ini sangat membantu kita menjadi orang yang mudah memiliki maklumat dan mempercepatkan proses kerja dengan lebih cekap dan berkesan. Cuma apabila kita tidak berpegang teguh dengan prinsip agama, maka kita akan terjebak dengan maklumat yang dihiasi kepalsuan dan kebohongan.

Bahkan jika difikirkan secara mendalam, kewujudan teknologi hanyalah sebagai alat perantaraan yang amat efektif untuk menyalurkan pelbagai jenis informasi. Kita bebas membuat pilihan sama ada mahukan maklumat bermanfaat atau sebaliknya. Ia bergantung kepada kandungan dan perisian yang dilayari.

Secara tidak langsung, ledakan maklumat yang dibawa oleh perkembangan teknologi ini turut memberi kesan kepada cara fikir manusia. Maka, dengan itu timbulnya isu penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah mencampakkan pelbagai fenomena dan persoalan kepada kita. Adakah kecanggihannya menjadikan manusia lebih baik budi pekerti atau sebaliknya?

Adab dan pekerti mulia mula hilang apabila manusia berebut-rebut dan ghairah untuk bergelar juara dalam menyebarkan maklumat. Masing-masing tidak mahu tercicir dan dilihat ketinggalan sekiranya lambat walau seminit. Namun sedarkah kita, hari ini berapa banyak maklumat yang tersebar melalui media baharu hanyalah umpama sampah-sarap? Kecelaruan dan kekeliruan menutupi kebenaran dan kesahihan. Kita lebih terdorong meyakini auta melebihi fakta.

 ALLAH SWT secara terang-terangan telah menegah kita daripada sewenang-wenangnya mengikuti apa yang kita tidak ketahui. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya melalui Surah al-Isra’ : 36; “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.”

Maka di sinilah bermulanya peranan kita. Sekiranya teknologi komunikasi yang ada digunakan untuk menyalurkan maklumat berasaskan data dan fakta yang benar, ia berupaya menjadi medium yang baik untuk manusia. Namun, jika ia disensasikan, fakta diputarbelitkan dan bahan-bahan fitnah disebarkan sewenang-wenangnya, teknologi mampu menjadi medan peperangan yang merosakkan umat.

Contohnya sekarang ada sesetengah kumpulan yang sememangnya ditubuhkan khas untuk mencipta auta dan mengelirukan fakta. Semua ini dilakukan dengan mudah, bertujuan untuk menjatuhkan orang lain dek kerana kerakusan merebut kuasa. Kebenaran diputarbelitkan dan dengan bangganya kebohongan disebarkan semahunya.

Harus diingat, matlamat penggunaan teknologi ialah untuk kesejahteraan dan kemaslahatan manusia. Kewujudan perisian dan media baharu perlu dimanfaatkan dengan berteraskan sikap yang dipandu oleh akal secara rasional dan bijak. Dengan itu ia dapat membentuk sikap dan cara fikir yang lebih berkualiti dan berakhlak. Sebaliknya jika disalahgunakan, ia boleh mengubah manusia berakal yang tinggi nilainya menjadi manusia yang zalim dan rendah martabatnya.

Inilah cabaran sebenar kita dalam menggunakan teknologi sebagai alat komunikasi yang seimbang. Ia perlu digabungjalinkan dengan kemahiran mengurus ilmu pengetahuan supaya menatijahkan matlamat yang membawa kebaikan. Nilai-nilai murni yang bersandarkan etika yang baik perlu dijadikan pedoman untuk memandu kita menjadi penyumbang dan pengguna yang lebih berkualiti. Seterusnya maklumat yang disalurkan atau diterima dapat memberi kesan yang menyuburkan adab serta tata tertib kita sebagai manusia yang bertamadun.

Sesungguhnya Islam itu diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai agama yang bersifat suci daripada sebarang keraguan, kekeliruan dan penipuan. Ia diturunkan secara mutlak daripada ALLAH SWT melalui Jibril AS dengan berteraskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang perlu dipertahankan. Jangan kita menjadi manusia yang sombong dan angkuh dengan pinjaman ilmu yang boleh ditarik balik oleh ALLAH SWT pada bila-bila masa. Kerana ALLAH SWT amat membenci orang yang sombong, “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri (angkuh).” - Surah Luqman :18

Justeru, usahlah kita sekali-kali menjerumuskan diri dalam golo-ngan manusia yang membawa kerosakan. Sebaliknya, jadilah kita pengguna teknologi yang bijak berteraskan acuan dan panduan yang disyariatkan Islam.

Gunakanlah kecanggihan teknologi komunikasi yang ada sekadar alat untuk menjadikan kita manusia yang dapat memberi kemanfaatan semaksimumnya. Sebagaimana pesan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”