TEGUR-menegur merupakan sebahagian daripada budaya Islam. Walau bagaimanapun tidak semua orang bersedia menegur apatah lagi ditegur. Ada yang hanya suka menegur tetapi tidak bersedia ditegur. Orang seperti ini cukup pantas mengenal pasti kelemahan dan kejelikan orang lain lantas cepat menegur, namun apabila diri sendiri ditegur mula melatah.

Demikianlah sifat manusia yang jauh daripada kesempurnaan yang memerlukan kita semua berlapang dada dalam menerima teguran dan juga menggunakan kebijaksanaan dalam membuat teguran.

Hakikatnya, setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan dosa, sama ada dia menyedarinya atau tidak, dan kesalahan itu melibatkan orang lain atau hanya dia dengan Tuhannya. Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat”. Hadith hasan riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmizi.

Hadith ini bukanlah bermaksud untuk kita beralasan atau lesen besar bagi terus melakukan kesalahan dan dosa, tetapi untuk menyatakan bahawa fitrah manusia itu akan tetap tergelincir melakukan dosa sama ada dia sedar atau tidak. Namun, sebagai manusia yang telah ALLAH kurniakan akal fikiran dan petunjuk melalui ajaran Islam yang syumul, hendaklah dia segera bertaubat dengan cara meninggalkan kesalahan dan dosa yang dilakukannya, menyesal atas perbuatan tersebut, seterusnya berazam dan mengambil iktibar untuk tidak mengulanginya lagi.

Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 222. “Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”.

Namun, jika kesalahan itu melibatkan sesama manusia, maka hendaklah dia memohon maaf, mengembalikan hak orang lain yang telah dianiayainya, dan sedia menerima hukuman. Bagi pihak yang melihat pihak lain melakukan kesalahan dan dosa pula, hendaklah dia memandang kepada dosa dan kesalahan itu sebagai perbuatan yang keji. Namun, janganlah sampai dia turut melihat kepada pelaku kesalahan dan dosa itu sebagai orang yang keji, kerana manusia itu boleh berubah pada bila-bila masa, dari buruk kepada baik atau sebaliknya. Bahkan kita sendiri tidak mampu untuk memberi jaminan kepada diri kita sendiri bahawa kita akan tetap tidak melakukan kesalahan dan dosa, atau memberi jaminan bahawa pengakhiran hidup kita berakhir dengan baik.

Melalui cara pemikiran begini, akan lebih mudah untuk kita menegur dan menasihati seseorang itu dengan lemah-lembut dan penuh kasih-sayang serta berhikmah, supaya dia kembali ke pangkal jalan, bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah an-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

Lihatlah bagaimana ALLAH memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as untuk bertemu dan berdialog dengan Firaun menggunakan kata-kata yang lemah-lembut, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Taha, ayat 43-44: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut”.

Jika Firaun yang merupakan antara orang yang paling jahat dengan kekejamannya dan dosa yang dilakukannya sehingga berani mengaku sebagai Tuhan, siapakah yang lebih teruk dari Firaun untuk ditegur dan dinasihati dengan cara yang kasar dan keras? Bahkan siapakah kita untuk bercakap dan menegur dengan keras berbanding Nabi Musa as dan Nabi Harun as?

Hakikatnya, inilah juga cara untuk kita lebih mengikhlaskan diri dalam menegur dan menasihati seseorang, kerana kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri dalam menegur. Bahkan, melalui kelembutan dan kasih sayang juga mampu membuatkan orang yang dinasihati itu menerima nasihat dan teguran berbanding teguran yang dibuat dengan cara keras dan kasar.

Justeru, sentiasalah kita mencontohi akhlak dan sikap Nabi Muhammad SAW dalam menegur seseorang jika kita benar-benar ingin mencontohi akhlak Baginda. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang membawa rahmat kepada orang lain, bukan sebagai orang yang membawa azab, sebagaimana Nabi SAW adalah rahmat ke seluruh alam.

 

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri