MALAYSIA terus tampil memperkenalkan Islam dengan pelbagai prinsip dan nilai positif  dengan adanya Indeks Syariah Malaysia, konsep wasatiyyah dan terkini Garis Panduan Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) pula diwujudkan.  

Aspek tadbir urus ini bukan satu perkara yang baru. Ia telah wujud sejak awal Islam itu diturunkan. Cumanya dalam konteks realiti hari ini, kita perlu memberikan makna kepada garis-garis panduan yang ada di peringkat antarabangsa berkenaan tadbir urus ini kepada perspektif yang luhur dan lebih dekat dengan aspek syariah.

Atas dasar inilah yang telah menatijahkan sebuah jawatankuasa dicetuskan oleh Perdana Menteri supaya kita dapat memperkenalkan garis panduan umum berteraskan syariah yang pertama di dunia.

Jawatankuasa ini mengga-bungkan kepakaran terdiri daripada pakar-pakar yang berpengalaman, dan semestinya GTU-s ini menjadi pelengkap kepada pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia yang diperkenalkan sejak 2015.

Untuk rekod, GTU-s ini akan dijadikan rujukan dan panduan kepada institusi dan agensi Islam di peringkat Persekutuan terutama yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri. Namun, ini tidak bermakna ia terhad kepada organisasi yang berlabelkan Islam sahaja, tetapi ia bersifat universal dan boleh dijadikan rujukan umum oleh mana-mana organisasi lain.

Kandungan GTU-s ini antara lain mengetengahkan paduan antara nilai-nilai dalam syariah Islam dengan konteks realiti Islam di Malaysia.   

Paling menarik, teras uta-ma GTU-s menggabungkan antara penghayatan tauhid, pematuhan syariah, pemeliharaan maslahah dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Manakala prinsip utama  GTU-s pula mengambil asas-asas penting dalam pentadbiran kenegaraan Islam iaitu meliputi al-Amanah, al-‘Adl wa al-ihsan, al-Syura, al-Hikmah dan al-Syajaah. Manakala untuk mencapai objektif GTU-s, kaedah pelaksanaannya menyarankan penglibatan peranan warga, pengurusan prestasi dan amalan terbaik.  

Kewujudan GTU-s akan dapat menjadi petunjuk dan kayu ukur jelas tentang keperluan para penjawat awam khususnya agensi serta institusi Islam di peringkat Persekutuan untuk menampilkan dan menterjemahkan konsep gaya kerja yang penuh integriti dan kecekapan.

 Kejayaan dari penerapan gaya kerja berteraskan syariah ini dapat menjadi pedoman kepada para penjawat dari melakukan sebarang kesalahan dan bebas dari sebarang anasir yang tidak sihat.

Kelahiran GTU-s membuktikan betapa pihak kerajaan sangat komited dalam usaha untuk memartabatkan Islam dalam konteks kerangka Perlembagaan Persekutuan. Bahkan usaha ini perlu juga dilihat sebagai  kesinambungan daripada usaha-usaha lain yang telah dilakukan kerajaan seperti sistem pendidikan Islam, Indeks Syariah Malaysia, Majlis Halal Negara serta institusi kewangan dan perbankan Islam.

Malah usaha  ini juga perlu dilihat sebagai kesinambungan apa yang pernah dilakukan oleh para khalifah pada zaman kegemilangan kerajaan Islam terdahulu. Kerajaan Uthmaniyyah sebagai contoh pernah mewujudkan kitab Majalah Ahkam al-‘Adliyyah sebagai garis panduan sistem muamalat Islam, Kerajaan Abbasiyyah melahirkan kitab Ahkam al-Sultaniyyah sebagai garis panduan tatacara kenegaraan Islam dan Kerajaan Saljuq pula melahirkan kitab Nasihat al-Muluk sebagai garis panduan dan nasihat kepada khalifah dalam pemerintahan.

Lebih dari itu, kesemua karya besar ini sebenarnya adalah bukti hubungan erat antara kerajaan iaitu umarak dengan ulama. Sebagai contoh Majalah Ahkam al-‘Adliyyah ditulis oleh kumpulan ulama Uthmaniyyah, Ahkam al-Sultaniyyah pula oleh Imam al-Mawardi dan Nasihat al-Muluk oleh Imam al-Ghazali.

Ironinya kesemua karya besar tersebut berkisar kepada kaedah pemerintahan dan urus tadbir negara. Ertinya para ulama tidak bersendirian dalam melahirkan karya-karya besar yang berkaitan dengan politik dan pentadbiran negara, malah mendapat sokongan daripada khalifah. Lebih penting lagi, kesemua karya yang dihasilkan adalah atas permintaan khalifah dan naungan yang diberikan oleh baginda.

Memahami realiti daripada fakta sejarah tersebut, apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini adalah bertepatan serta mengulangi atas apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Islam pada zaman kegemilangan masa lalu. Pastinya paduan antara umarak dan ulama yang berlaku dalam konteks GTU-s adalah usaha yang terus membuktikan betapa pihak kerajaan sangat komited untuk membangunkan agenda negara berteraskan syariah Islam.

Harapannya, dengan kewujudan GTU-s ini, semua institusi yang berlabelkan agama dapat mempertingkatkan budaya kerja yang lebih menepati kehendak syariat secara holistik kerana semestinya agensi-agensi agama yang mahu dilihat lebih putih dari putih itu dapat direalisasikan.


* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)