MERDEKA! Satu pemasyhuran yang memiliki nilai simbolik tinggi dan makna dalam sejarah perjalanan negara kita. Hari ini, tanggal 31 Ogos 2016 genap 59 tahun tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang membanggakan untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan.

Nikmat keamanan yang kita kecapi selama ini bermula pada tarikh keramat ini. Setiap usaha dan perjuangan mereka yang terdahulu demi menuntut kemerdekaan negara dari belenggu penjajah perlu dikenang.

Firman ALLAH dalam Surah an-Nahl, ayat 18: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Namun, nikmat yang dikecapi ini kadangkala kita mudah lupa dek terlalu selesa dengan keadaan sedia ada. Bayangkan jika kita berada di negara-negara umat Islam yang sedang bergolak. Nyawa seolah-olah tidak berharga, negara jadi huru-hara, ekonomi merudum, rakyat sentiasa dibayangi ketakutan, anak-anak kecil tiada perlindungan, sekolah dan universiti tergendala, serta pelbagai musibah lain. Apakah kita ingin hidup sedemikian?

Jika kita bandingkan nikmat keamanan yang ALLAH kekalkan kepada kita, kita akan sedar betapa besarnya nikmatnya. Sedarkah kita, dengan adanya nikmat inilah, kita dapat beribadah, mencari rezeki, anak-anak membesar dengan baik, bahkan dakwah dapat disebarkan dengan seluas-luasnya, dan apa jua kelangsungan kehidupan diteruskan tanpa ketakutan.

ALLAH sering peringatkan umat Islam dengan nikmat keamanan melalui kisah Bani Israil yang diselamatkan dari kekejaman Firaun dan mendapat banyak nikmat lain, namun mudah lupa akan nikmat tersebut. Antaranya dalam ayat 49 Surah al-Baqarah, ayat 141 dalam Surah al-A’raf, dan ayat 6 dalam Surah Ibrahim. Tujuannya adalah supaya mereka bersyukur dengan nikmat keamanan dan tidak menjadi orang-orang bongkak dan angkuh di muka bumi ALLAH. Firman ALLAH dalam Surah Ibrahim AS, ayat 6 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan besar dari Tuhan kamu”.

Di samping itu tanpa kita sedari, rahmat di sebalik mensyukuri nikmat keamanan yang ALLAH kurniakan ini terlalu banyak. Dari sini jugalah akan lahirnya semangat dan rasa kecintaan serta kasih kepada tanah air. Bersesuaian dengan pepatah Arab yang masyhur ada menyebutkan bahawa, “Cinta kepada tanah air itu adalah termasuk dalam keimanan”. Bahkan antara syiar-syiar para Nabi yang membawa ajaran Islam adalah keamanan dan cintakan tanah air.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim begitu sayangkan bumi Makkah sehingga Baginda berdoa untuk keamanannya, sebagaimana yang diceritakan oleh ALLAH pada Surah al-Baqarah, ayat 26 yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: ‘Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada ALLAH dan hari kemudian”.

Kesan dari kecintaan kepada tanah air ini juga, akan lahir jiwa-jiwa yang sanggup mempertahankannya dari sebarang bentuk ancaman sama ada dari luar mahupun dari dalam. Dalam konteks ini, mempertahankan negara dan tanah air supaya agama Islam dapat dikekalkan di negara ini adalah juga termasuk dalam Maqasid Syariah mempertahankan agama. Ini kerana kebangkitan Islam juga berkait dengan asbab wujudnya Madinah al-Munawwarah sebagai Negara Islam yang pertama.

Bahkan, pembentukan perlembagaan pertama dalam sejarah tamadun manusia yang dikenali dengan nama Piagam Madinah oleh Nabi SAW juga adalah satu manifestasi kepentingan pemeliharaan agama melalui pembentukan negara bangsa yang kuat.

Semangat patriotik benar-benar dizahirkan dalam setiap klausa Piagam Madinah yang memperincikan hak dan tanggungjawab setiap kaum dan kabilah sebagai rakyat untuk mempertahankan kedaulatan Madinah.

Justeru, dapatlah difahami dengan jelas bahawa kecintaan kepada negara atau patriotisme tidaklah bertentangan dengan agama. Malah nilai dan semangat patriotik merupakan wahana bagi memperkukuhkan lagi agama.