MENGGUNA barangan dan menikmati makanan halal merupakan tuntutan ALLAH ke atas setiap Muslimin, sebagaimana yang difirmankan dalam ayat 168 Surah al-Baqarah yang bermaksud; “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Hari demi hari, kesedaran dan permintaan yang tinggi untuk mencari produk halal dalam kalangan masyarakat kini, mendorong pengusaha lebih menggiatkan industri pengeluaran makanan halal, sekali gus bukan saja dapat merangsang perkembangan industri makanan halal di Malaysia bahkan di negara-negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Thailand.

Di Malaysia, bantuan dan komitmen kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab halal global semakin dirasai menerusi komitmen kerajaan dalam memastikan sesuatu produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti dan memenuhi piawaian ditetapkan.

Uniknya, Piawaian Pensijilan Halal Malaysia berupaya menarik keyakinan dunia kerana ia bukan sekadar mengambil kira aspek halal dari perspektif hukum syarak, tetapi mesti tayyib (suci).

Aspek halal itu jelas, manakala tayyib mempunyai makna yang luas termasuk aspek kebersihan, baik dari segi penyediaan, bahan dan juga nama produk. Dengan kata lain, pematuhan halal dan tayyib mengambil kira semua faktor dan meliputi seluruh aspek rantaian pengeluaran (supply chain) sesuatu produk.

Dalam hal ini, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 jelas memperuntukkan hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam Negeri (Main) sebagai pihak berkuasa atau autoriti yang berwibawa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) atau untuk memperaku bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan ataupun barang-barang itu adalah halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Justeru, Jakim dan Main akan turut memberi penekanan dalam standard halal dan Manual Prosedur Pensijilan Halal yang dipersetujui oleh semua Main dan Jawatankuasa Penasihat Pensijilan Halal Malaysia terhadap pemilihan nama yang baik untuk sesuatu produk atau makanan.

Ini bertujuan bagi menjaga kemaslahatan agama untuk mengelakkan kekeliruan dan membawa konotasi menjijikkan dalam kalangan masyarakat Islam. Rungutan ramai pihak termasuk persatuan-persatuan pengguna turut diambil kira kerana terdapat banyak produk makanan dan penjenamaan yang telah mengelirukan umat Islam seperti Non alcoholic beer, No pork dan lain-lain.

Berteraskan prinsip fekah, Sadd Dzarai’, iaitu menutup segala pintu-pintu ke arah kemudaratan, maka penambahbaikan garis panduan halal dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak Jakim dan Main yang merangkumi aspek halal dan tayyiba.

Ini dengan jelas membuktikan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim tidak bersifat rigid atau konservatif. Jakim sentiasa bersedia melakukan perubahan dan penambahbaikan dengan mengambil kira aspek kelaziman masyarakat, asalkan tidak menimbulkan fitnah atau kekeliruan.  

Namun begitu, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim, Jain ataupun Main. Ini juga bermakna, Jakim mahupun Main tidak sewenangnya mengharamkan atau membuat pengisytiharan tidak halal kepada mana-mana syarikat atau produk yang dikeluarkan kecuali bagi syarikat-syarikat yang telah memperoleh SPHM.

Malah, Jakim bertanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat-syarikat yang telah menjadi pemegang SPHM. Jika didapati mereka melanggar mana-mana peraturan termasuk yang melibatkan aspek halal dan tayyib, maka sijil mereka boleh digantung, seterusnya ditarik balik pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, walaupun tidak diwajibkan, tetapi mana-mana syarikat yang memilih untuk mendapatkan SPHM perlulah melalui prosedur yang telah ditetapkan, sekali gus dengan sendirinya terikat dengan segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia serta pengauditan dan pemantauan secara berterusan yang dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Hakikatnya, dunia menyanjung tinggi Sijil Halal Malaysia termasuk negara-negara maju yang terkenal dengan dasar yang amat ketat dalam hal pengimportan barang-barang makanan ke negara mereka seperti New Zealand, Australia, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, dan banyak negara maju yang lain. Sehingga hari ini, 56 Badan Pensijilan Halal di luar negara yang merangkumi 33 buah negara telah pun diiktiraf oleh Jakim.

Bagi negara-negara yang telah mendapat pengiktirafan halal Malaysia, mereka dikehendaki mengikut sepenuhnya piawai, garis panduan dan peraturan halal yang telah ditetapkan oleh Jakim dan akan diaudit setiap dua tahun bagi memastikan standard dipatuhi.