ISLAM di Nusantara terbentuk secara berevolusi. Perkembangannya banyak ditandai dengan evolusi secara berperingkat melalui aktiviti dakwah, perdagangan dan peranan Raja yang mempengaruhi rakyat menerima Islam sebagai agama dalam bentuk akidah ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan fiqah mazhab Syafie.

Meskipun begitu, penduduk di Nusantara tetap menerima Islam yang sama seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada masyarakat Arab pada suatu ketika dahulu. Bezanya Islam di Nusantara sampai dan dikembangkan melalui manhaj perdagangan dan dakwah serta tidak melalui manhaj peperangan seperti yang berlaku di dunia Arab pada satu ketika dahulu.

Nusantara juga melalui satu proses penjajahan yang panjang. Respons kepada penjajahan tersebut, maka berlakulah gerakan jihad dalam kalangan rakyat. Namun, proses tersebut tidak menjadikan pemikiran Islam penduduk Nusan-tara menjadi ekstrem. Islam masih kekal bermanhajkan ahli Sunnah Wal jamaah dan fiqah mazhab Syafie. Malah doktrin jihad yang dibentuk masih bermanhajkan fiqah yang menyantuni dan serasi dengan ahli Sunnah Wal jamaah dan mazhab Syafie.

Walau bagaimanapun, kejatu-han Dawlah Uthmaniyyah di Is-tanbul pada 1924 menyebabkan berlakunya perubahan ketara dalam pola pemikiran Islam di Timur Tengah dan Nusantara khususnya dalam aspek politik dan kenegaraan. Kejatuhan Uthma-niyyah menyebabkan umat Islam kehilangan sistem penaungan politik yang menjadi satu simbol kedaulatan Islam di seluruh dunia sejak zaman Khulafa’ al-Rashidin, Bani Umayyah dan Abbasiyyah.

Kejatuhan ini juga menyebabkan umat Islam khususnya di Timur Tengah tercari-cari kaedah terbaik untuk membangunkan kembali dunia Islam. Di tengah kebuntuan tahun-tahun selepas 1924, ulama bernama Rashid Ridha muncul dengan gagasan teori ‘negara Islam’ sebagai jalan tengah antara kehilangan Uthmaniyyah dengan kemunculan negara bangsa yang disifatkan sebagai sekular.

Pada 1928 pula muncul gera-kan Ikhwan Muslimin yang dipim-pin Hasan al-Banna. Al-Banna mengasaskan gerakan dakwah Ikhwan untuk mengembalikan semula kuasa Islam secara bertahap dan berevolusi dalam bentuk yang holistik. Gagasan al-Banna menyeru umat Islam di Mesir menjadikan jiwa mereka sebagai seorang Muslim, kemudian membina keluarga Islam, membangunkan masyarakat Islam, seterusnya membentuk negara dan dunia Islam yang menyeluruh.

Gagasan al-Banna meresap dan mempengaruhi umat Islam di seluruh dunia. Tetapi di Mesir, gerakan Ikhwan menjadi mangsa tekanan dan tribulasi kerajaan Mesir. Al-Banna sendiri dibunuh pada 1949. Selepas era beliau, Ikhwan berkembang menjadi sebuah gerakan Islam terpenting di dunia. Tekanan di Mesir menyebabkan pemimpin Ikhwan dipenjarakan. Antara yang terkenal ialah Syed Qutb; pengarang Tafsir Fi Zhilal al-Quran dan Ma’alim fi Tariq. Qutb kemudiannya muncul sebagai pemikir Ikhwan yang merubah pendekatan sederhana dan dakwah al-Banna kepada pendekatan Ikhwan yang ekstrem.

Qutb menawarkan kepada umat Islam supaya menerima Islam secara holistik atau terus hidup dalam belenggu jahiliah moden. Transformasi pemikiran Ikhwan ala Qutbism muncul disebabkan faktor tekanan yang sangat keras oleh kerajaan Mesir terhadap gerakan Ikhwan. Pendekatan Qutb sama sekali berbeza dengan pendekatan dakwah al-Banna. Akibatnya Qutb dihukum gantung dan gerakan Ikhwan diharamkan.

Pengaruh gerakan Ikhwan tersebar ke seluruh dunia. Pemimpin dan aktivis Ikhwan yang ditekan di Mesir bertindak keluar ke negara di Eropah dan Amerika Syarikat. Di sana mereka menubuhkan rangkaian gerakan Ikhwan Muslimin antarabangsa yang bertanggungjawab mendoktrinkan pemikiran umat Islam berasaskan manhaj Ikhwan Muslimin.

Sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, gerakan Ikhwan mem-punyai rangkaian pergerakan yang luas di seluruh dunia. Para mahasiswa yang belajar di Amerika dan Eropah terdedah dengan bentuk pemikiran Islam yang dibawa oleh Ikhwan. Tidak terkecuali mahasiswa dari rantau Nusantara yang turut terlibat dalam penubuhan pelbagai organisasi dakwah di luar negara.

Pendedahan terhadap pemi-kiran Islam dan politik Ikhwan Muslimin yang diterima mahasiswa dari Nusantara membolehkan pemikiran mereka berkelangsungan di dalam negara-negara mereka selepas pulang dari pengajian. Perkembangan ini membawa titik penting kepada perubahan dalam orientasi pemikiran politik masyarakat Islam moden di Nusantara. Inilah yang dinamakan gelombang kebangkitan Islam.

Bersambung minggu hadapan...