TERDAPAT tanggapan umum yang mengatakan hukuman sebat yang dikenakan dalam kesalahan jenayah syariah adalah kejam kerana jumlah sebatan yang terlalu banyak. Bahkan jumlah tersebut melampaui jumlah yang diperuntukkan dalam hukuman sebat bagi kesalahan undang-undang jenayah sivil.

Namun, para ulama fiqah telah membahaskan secara terperinci dan meletakkan garis panduan yang jelas tentang teknik bagaimana hukuman sebat dilaksanakan. Imam Al-Nawawi dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab menjelaskan bahawa dalam istilah bahasa Arab, sebatan disebut sebagai al-jald yang berasal daripada perkataan al-jild yang bermaksud kulit manusia.

Beliau menegaskan bahawa sebatan hanya melibatkan bahagian kulit luaran manusia sahaja dan tidak melibatkan bahagian dalaman. Oleh sebab itu, sebatan yang memecahkan kulit sehingga menampakkan daging adalah bercanggah dengan kehendak dan maksud pelaksanaan sebatan dalam perundangan Islam.

Secara umumnya terdapat tiga kesalahan jenayah syariah dalam Islam yang boleh dikenakan hukuman sebat iaitu pertama kesalahan qazaf (hukuman yang dikenakan terhadap individu Muslim yang menuduh Muslim lain berzina tetapi gagal mendatangkan bukti) yang dikenakan sebanyak 80 kali sebatan.

Kedua kesalahan minum arak yang dikenakan sebanyak 40 kali sebatan. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab kesalahan minum arak ditambah sebanyak sekali ganda sebatan menjadikannya 80.

Umar melakukan ijtihadnya dengan menambah kadar hukuman tersebut kerana keperluan pada zaman tersebut serta keadaan wilayah Islam ketika itu yang semakin luas dan berkembang.

Kaedah sama dipakai pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib. Namun Ali mengambil kedua-dua pendapat dan memilih antara keduanya sama ada 80 kali sebatan atau 40 berasaskan pertimbangan dan kesesuaian hukuman.

Ketiga adalah kesalahan zina dilakukan oleh pesalah qhayr muhsan (penzina yang belum berkahwin) yang dikenakan hukuman 100 kali sebatan.

Menurut Imam al-Nawawi alat yang digunakan untuk sebatan adalah berupa rotan yang bersifat pertengahan iaitu tidak terlalu tebal, tidak terlalu nipis, tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan.

Rotan yang digunakan juga tidak boleh mempunyai penyangkut dan tidak bercabang dua dan tiga. Manakala Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh Islami wa adillatuh menyatakan bahawa rotan yang digunakan tidak terlalu panjang hingga menyeret ke tanah.

Manakala individu yang ditugaskan menyebat pesalah tidak harus mengangkat tangannya sehingga menampakkan bahagian bawah bahu dan ketiak. Ini bermaksud, sebatan tidak boleh dilakukan secara kuat.

Oleh sebab itu, para fuqaha’ sepakat bahawa sebatan tidak boleh melukakan pesalah. Selain itu juga, tidak harus dilakukan sebatan pada bahagian anggota badan yang sama secara berkali-kali, sebaliknya disebat juga pada bahagian berlainan kecuali muka, kemaluan dan kepala.

Sebatan juga tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan cuaca terlalu panas dan terlalu sejuk hingga memudaratkan pesalah. Begitu juga, bagi pesalah wanita yang mengandung atau bersalin atau sedang menyusukan anak, hendaklah ditangguh sehingga pesalah bersedia menjalani hukuman. Pesalah juga mesti berpakaian lengkap menutup aurat ketika menjalani hukuman sebat.

Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitab al-Mughnipula menjelaskan, hukuman sebat hendaklah dijalankan di tempat terbuka selain masjid kerana dibimbangi berlaku kekotoran di sekitar masjid.

Namun, jika tetap dijalankan juga hukuman tersebut di masjid, hukuman tersebut dikira sah kerana sudah memenuhi maksud hukuman iaitu berkumpul di tempat awam dan memberi pengajaran kepada umat Islam supaya tidak mengulangi perbuatan yang dilakukan pesalah.

Imam Abu Hanifah dan Imam al-Shafie, menetapkan pesalah yang menjalani hukuman sebatan hendaklah berdiri tegak. Manakala, Imam Malik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat hendaklah duduk. Khilaf berlaku kerana ketiadaan nas jelas tentang kedudukan pesalah semasa menjalani hukuman.

Khatib Sharbini pula dalam kitab Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa sebatan perlu ditangguhkan sekiranya pesalah sakit. Jika sakit itu tidak boleh sembuh, pesalah berkenaan tidak boleh disebat dengan menggunakan rotan, sebaliknya dengan tangkai daripada tumbuh-tumbuhan. Manakala jika sakit tersebut boleh sembuh, maka hukuman kepada pesalah hendaklah ditangguhkan sehingga pesalah berkenaan kembali sihat.

Justeru, perundangan Islam mempunyai seribu satu hikmah dan pengajaran supaya umat Islam tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh para pesalah. Manakala bagi pesalah, hukuman yang dijatuhkan adalah supaya mendatangkan keinsafan dan mengembalikan takwa dalam diri mereka bagi mendapatkan keampunan ALLAH.