SAMBUTAN Maulidur Rasul telah sebati menjadi budaya umat Melayu sejak kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu. Masjid-masjid dan dataran-dataran dipenuhi dengan himpunan puluhan ribu masyarakat Islam.

Gema ungkapan puji-pujian terhadap kebesaran peribadi Rasulullah dan alunan selawat, kasidah, dan marhaban sering kali mewarnai majlis-majlis yang dianjurkan apabila tiba Rabiul Awal.

 Setiap kali sambutan itu jugalah, kita akan turut membaca kisah-kisah kehidupan Nabi dan membedah ajaran-ajaran Baginda serta terus menggali motivasi dan inspirasi perjuangannya untuk mengeluarkan diri dari kubangan kegelapan.

Sejak berabad lamanya, masyarakat Melayu mengekalkan kemeriahan dalam memperingati dan meraikan Maulidur Rasul saban tahun.

Apa yang pasti, menzahirkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW adalah sebahagian daripada tuntutan agama sebagaimana yang ditegaskan oleh ALLAH SWT dalam surah Al-Imran ayat 31; “Jika kamu mencintai ALLAH, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan nescaya ALLAH akan mencintai kamu.” 

Justeru, memanifestasikan kecintaan terhadap Rasulullah SAW melalui sambutan ini merupakan sebahagian daripada syiar Islam, termasuk rasa taat kepada Baginda, mengingati, mencontohi dan bangga dengan baginda SAW sebagaimana ALLAH berbangga terhadap Baginda dalam firman-Nya, “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia” (Al-Qalam:4).

Walaupun ada pelbagai pandangan dan suara-suara skeptis dalam mempertikaikan amalan dan sambutan Maulidur Rasul ini, penulis tidak berhajat memanjangkan perbahasan mengenainya.

Realitinya, tidak dapat dinafikan, acara sambutan Maulidur Rasul inilah telah menyuburkan perasaan cinta mendalam terhadap Nabi dalam kalangan umat Melayu sejak dulu yang secara tidak langsung telah berjaya menzahirkan syiar Islam. 

Sejarawan telah menukilkan dengan jelas, sebelum datangnya Islam, Melayu adalah bangsa primitif yang kuat ditunjangi tradisi jiwa hamba dalam sistem nilai feudalisme Melayu-Hindu. Namun, kedatangan Islam berjaya merubah jiwa dan peribadi umat Melayu. Islam membebaskan mereka dari terus-menerus menjadi mangsa amalan diskriminatif budaya kasta kepada ketinggian dan persamaan martabat insan yang menjadi teras ajaran Islam.

Daripada penghayatan terhadap nilai-nilai Nabawi dan budaya baru yang dibawa oleh Islam inilah terbinanya watak-watak baru bangsa Melayu yang berjiwa merdeka.

Umat Melayu turut memanifestasikan nilai Nabawi dalam pelbagai peristiwa, daripada membangunkan tamadun Melayu Melaka dan Johor-Riau yang begitu gah dan disegani seantero dunia hinggalah kepada siri kebangkitan menentang penjajahan sejak abad ke-16, terutamanya ketika berhadapan ancaman penjajahan Portugis.

Bagaimanapun, dalam era ledakan teknologi, segolongan umat Islam kini seolah-olah kembali ke era penjajahan yang lebih 450 tahun berjaya merobek jati diri Melayu Islam hingga tertanam sejenis penyakit jiwa, iaitu jiwa hamba atau jiwa penjajah dalam kalangan umat kita.

Penyakit ini lebih parah lagi dengan pembudayaan penjajah yang telah menguasai pemikiran umat Melayu hinggakan malu untuk memperagakan gaya hidup Melayu yang subur dengan nilai-nilai keislamannya.

Keghairahan menyanjung Barat telah menjerumuskan umat Melayu kepada suatu fenomena krisis budaya yang begitu mengakar dalam jiwa dan pemikiran umat Melayu.

Apa yang lebih menyedihkan dalam keghairahan mengejar kuasa dan mengaut keuntungan semaksimum mungkin, mendorong pelbagai tingkah golongan ini untuk menggadaikan maruah bangsa dan agama. Kerakusan ini jadi punca pelbagai penyakit sosial seperti pecah amanah, tidak beretika dan masalah moral lain.

Sikap negatif yang menjalar juga turut dirumuskan dalam banyak kajian sebagai salah satu punca kegagalan Dasar Ekonomi Baru yang menyasarkan 30 peratus pegangan ekuiti Melayu. Semuanya berpunca daripada budaya Melayu yang mengalami pendangkalan nilai dan krisis moral yang kronik.

Memahami realiti inilah, maka umat Melayu perlu kembali menjiwai nilai Nabawi yang mengakar dalam budaya Melayu suatu ketika dulu. Keupayaan menjiwai dan mengamalkan nilai serta prinsip Nabawi inilah mampu menjelmakan semula suatu bangsa yang kuat dan disegani.

Spirit perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW itu penting untuk direalisasikan agar peringatan dan sambutan Maulid Nabi SAW tidak sekadar bersifat simbolik dan ritualistik semata-mata tetapi mampu  menggali dan melaksanakan inti pati ajaran kepemimpinan Rasulullah SAW yang luhur dan mulia sepanjang masa.