GENAP sebulan berlalu Ramadan pergi meninggalkan kita. Pesta ibadah yang dilalui seharusnya menjadi satu perkara yang diteruskan dengan penuh istiqamah. Semoga ALLAH menerima segala amal ibadah dan kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadan lalu.

Firman ALLAH dalam surah al-Hajj, ayat 32: “Demikianlah (ajaran ALLAH), dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar agama ALLAH, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu merupakan satu dari kesan sifat-sifat ketakwaan hati orang yang beriman”.

Semestinya, pada Syawal ini, kita komited untuk meneruskan ibadah dan amalan sunnah seperti amalan berpuasa sunat Syawal 6 hari yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia mengikutinya dengan berpuasa (sunat) enam hari Syawal, seolah-olah dia berpuasa sebulan”. Hadis sahih riwayat Muslim.

Para ulama membahaskan hadis ini dengan menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan seolah-olah setahun adalah kerana ia sudah termaktub dalam kitabullah iaitu setiap amalan digandakan menjadi sepuluh kebaikan, sesuai dengan ayat 160, Surah al-An’am:

“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amalan kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedangkan mereka tidak dianiaya (sedikit pun).”

Secara ringkasnya dapat kita simpulkan, sebulan Ramadan adalah bersamaan sepuluh bulan, seterusnya enam hari puasa sunat Syawal pula bersamaan 60 hari atau dua bulan yang mencukupkan 12 bulan atau setahun.

Tanpa disedari, umat Islam di Malaysia memiliki keunikan tersendiri dalam memperkukuhkan ibadah yang telah dilaksanakan melalui budaya sambutan rumah terbuka. Kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri dikongsi bersama di samping mengukuhkan silaturahim dan sebagai tanda mensyukuri nikmat yang ALLAH kurniakan.

Setahu penulis, inilah satu-satunya amalan dan tradisi mulia pada bulan Syawal di dunia ini yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Bahkan, lebih menarik dan unik apabila acara rumah terbuka ini turut disertai oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Walaupun amalan ini secara khususnya tidak terdapat dalam mana-mana nas, namun asasnya adalah sesuai dengan ajaran agama, seperti meraikan tetamu, memberi makan kepada orang ramai, mengeratkan silaturahim, memberi duit raya sebagai tanda sedekah dan pelbagai lagi.

Namun, dalam suasana hari raya dan rumah terbuka yang dilimpahi dengan pelbagai makanan dan minuman, sewajarnya kita juga perlu menjaga adab-adab sebagai umat Islam dengan bersikap qanaah atau bersederhana dalam menyambutnya supaya tidak membawa kepada pembaziran dan perbuatan sia-sia yang ditegah oleh ALLAH melalui firman-Nya dalam Surah al-Isra’ ayat 26 dan 27: “Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan hak mereka masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Rumah terbuka yang diadakan juga hendaklah tidak bercampur dengan aktiviti maksiat seperti pergaulan bebas yang melampau, perkara-perkara yang melalaikan, serta waktu solat perlulah dijaga dengan baik, dan sebagainya.

Dalam memenuhi undangan rumah terbuka, kita juga dituntut untuk menjaga adab-adab tertentu. Antara adab bagi mereka yang berkunjung pula, hendaklah mereka datang berkunjung ke rumah terbuka yang benar-benar mereka dijemput dan pada waktu yang ditetapkan.

Seterusnya, janganlah mereka berkunjung terlalu lama sehingga menyusahkan tuan rumah untuk melayan mereka. Jika perkara itu tidak mengganggu atau mempunyai sebab-sebab tertentu, maka tidaklah mengapa. Ini sesuai dengan firman ALLAH dalam Surah al-Ahzab, ayat 53:

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah (pada waktu ditetapkan); kemudian setelah kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga baginda merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang ALLAH tidak malu dari menyatakan kebenaran..”.

Semoga amalan rumah terbuka yang menjadi tradisi unik umat Islam di Malaysia ini berkekalan dan mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)