Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

RAMADAN  bukan sahaja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, tarawih dan qiamullail, malah turut menitik-beratkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja. Dengan kata lain, Ramadan bukan sahaja merupakan madrasah pengukuhan hubungan antara manusia dengan Penciptannya tetapi turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.

Tempoh sebulan yang penuh barakah di mana para syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mensia-siakan peluang dan ruang yang diberikan ALLAH ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan seperti yang terbudaya dalam diri selama ini.

Salah satunya ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan yang mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering kali tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir di kalangan kita yang menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ tidak kira dari segi makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar-bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja ikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja selalunya  bertambah hebat ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir.
 
Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan ALLAH termasuk malam Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelangnya Syawal, maka berduyun-duyunlah orang ramai mengerumuni pusat-pusat membeli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Hari Raya Aidilfitri.
 
Memanglah Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya merupakan sebahagian daripada sunnah yang dituntut sebagaimana disebut oleh Jabir yang pernah berkata: Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan hari Jumaat.

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.

Budaya sederhana dalam berbelanja merupakan salah satu ciri Ibadurrahman atau hamba-hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga di akhirat kelak sebagaimana yang digambarkan ALLAH dalam firmanNya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al-Furqan: 67)

Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja sebagaimana acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qonaah. Qonaah merupakan salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian ALLAH. Qanaah juga merupakan suatu manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qonaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”.

Justeru, amat penting agar umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan bermuhasabah dan latihan dalam berbelanja dan juga bersedekah agar sifat membazir dan bakhil mampu dijernihkan dalam diri, sekali gus mekar menyubur budaya wasoaiyah dan qonaah dalam bermuamalah. Moga-moga madrasah Ramadan akan berjaya mendidik kita dengan budaya baru dalam berbelanja iaitu berpaksikan wasatiyah dan qonaah yang pastinya bakal menjadikan hidup kita lebih bermakna di dunia dan akhirat.