BEKERJA merupakan satu tanggungjawab dan tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu yang berkelayakan dan berkemampuan.

Tidak kira dalam apa jua bidang dan lapangan. Realitinya, hari ini berapa ramai individu yang memilih untuk melaksanakannya sekadar rutin tanpa melibatkan etika, perancangan, peningkatan mutu, tiada disiplin dan ketekunan atau sebaliknya.

Dengan itu, pada sesetengah orang cukuplah melaksanakan kerja dengan ala-kadar sahaja, boleh ditangguh-tangguh bahkan ada yang beranggapan, bekerja hanyalah untuk memperoleh ganjaran bagi memenuhi keperluan material semata-mata. 

Namun, bagi seorang Mukmin sejati semestinya semua hal itu tiada dalam ruang pemikirannya hatta tidak akan terlintas pun sindrom Monday Blues  atau bermalas-malas dalam melaksanakan tanggung-jawabnya seharian.

Kita diajar Nabi SAW untuk bangun seawal pagi dan bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua lapangan pekerjaan setiap hari. Ini kerana paradigma orang Mukmin sentiasa bertitik tolak kepada buat sesuatu untuk mencapai reda ALLAH dan sehabis baik, kerana ALLAH sukakan hamba-Nya yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam bekerja. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dan At-Tabrani, “Sesungguhnya ALLAH mengasihi seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan tekun.”

Dalam hal ini, konsep bekerja sebagai ibadah perlu dihayati dan diamalkan. Namun, untuk dikira sebagai ibadah, tentunya ia perlu menepati ciri budaya kerja cemerlang dan ikhlas diniatkan semata-mata kerana ALLAH SWT.

Bukan hanya sekadar untuk menggembirakan bos atau mencari reda manusia. Kerana mencari reda manusia itu adalah sesuatu yang tidak menjamin apa-apa, sebaliknya reda ALLAH itulah segala-galanya.

Sebagaimana pesanan Saidina Ali RA dalam kata-kata hikmahnya, “Mencari reda manusia itu adalah matlamat yang tidak akan dapat dicapai, manakala mencari reda ALLAH adalah matlamat yang tidak boleh ditinggalkan.

Maka tinggal-kanlah apa yang tidak boleh dicapai (iaitu mencari reda manusia), dan capailah apa yang tidak dapat ditinggalkan (iaitu mencari reda ALLAH)”.

Lebih daripada itu, keikhlasan dalam melaksanakan kerja juga penting kerana, seorang pekerja yang ikhlas dan hanya mengharapkan reda ALLAH berupaya menjadikan pekerja itu bersikap jujur dan amanah, bekerja dengan itqan, dan tidak mudah berputus asa atau kecewa dengan segala cabaran dan dugaan.

Dia tidak akan memen-tingkan kepentingan peribadinya malah akan menjadi seorang yang dinamik dan lebih mengutamakan kebajikan atau matlamat orang lain dalam kerjanya.   

Dalam masa yang sama, kerja yang dinisbahkan sebagai tang-gungjawab itu perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan amanah supaya ia ditunaikan dengan baik dan dicatat sebagai ibadah yang akan mendapat sebaik-baik balasan daripada ALLAH SWT.

Malah, ia akan menjadi tugas dan kewajipan mulia dalam bentuk amal jariah, bukan sekadar tugas peribadi yang boleh ditolak, diterima atau diperlakukan sesuka hati oleh seseorang individu. 

Hakikatnya, setiap pekerjaan yang kita lakukan tentunya mempunyai nilai moral dan agama yang penting dan mesti dihayati.

Tambahan pula, matlamat bekerja seorang Mukmin bukanlah untuk mengejar kemewahan dan keuntungan material. Tetapi lebih penting lagi adalah kerana ia merupakan obligasi moral dan agama yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. 

Maka, perlulah disedari bahawa masa merupakan modal yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dan tidak boleh sekali-kali disia-siakan. Seorang pekerja Mukmin sepatutnya menggunakan masa yang optimum dengan memulakan kerja tepat atau sebelum masa yang ditetapkan dan mengurusnya dengan baik.

Kita tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada pembaziran masa seperti melepak di kantin pada waktu bekerja atau melakukan perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan tanggungjawab yang diamanahkan. 

Kegagalan dalam mengurus masa mengikut aulawiyyat, berupaya membuatkan sesuatu tugas itu ditangguh-tangguhkan. Penang-guhan tugas bererti kecuaian dan kelalaian dalam mengurus masa dan boleh menggambarkan ketidakcekapan kita dalam mengendalikan tugas mengikut keutamaan yang sepatutnya.

Tugas yang perlu dilakukan dengan segera, perlulah disegerakan dan begitulah sebaliknya.

Justeru, sebagai seorang Mukmin perlulah sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi seorang pekerja yang baik dan tekun. Pamerkan kerja dengan sempurna dan sentiasa berusaha memperbaiki mutu kerja dari semasa ke semasa.

Budaya ini mestilah dilaksanakan oleh semua pihak dan ingatlah, ALLAH sentiasa mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang bekerja kerana-Nya. Sebagaimana sabda Baginda, “Barang siapa yang pada waktu petangnya merasakan kelelahan sebab kerja tangannya, maka di waktu petang itulah ia terampun dosanya.” Hadis riwayat At-Tabrani.