BUAT julung kalinya, lakaran sejarah tercipta baru-baru ini dengan menyaksikan dua pemimpin besar dari Umno dan Pas bergabung demi kesejahteraan umat sejagat.

Tiga hari lepas, puluhan ribu umat berhimpun secara aman di Stadium Mini Taman Tasik Titiwangsa untuk menzahirkan solidariti umat Islam menentang kekejaman yang dilakukan kepada etnik Rohingya.

Namun, sesudah itu terngiang-ngiang suara-suara sumbang yang mengatakan ada udang di sebalik batu atau ini semua merupakan gimik politik semata-mata.

Hakikatnya, sudah tiba masa untuk kita sama-sama lihat perkara ini dalam kerangka yang lebih luas dengan menelusuri konsep taawun dengan lebih jelas.

Bekerjasama atas nama kebajikan dan takwa demi kepentingan umat Islam merupakan satu tuntutan sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dan bertakwalah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Dalam ayat ini, ALLAH menggariskan dengan jelas untuk kita saling bantu-membantu dalam perkara-perkara kebaikan yang menyeluruh, mencakupi seluruh aspek keimanan dan penegakan syariat Islam berteraskan ketakwaan.

Seharusnya, kita perlu menyedari dan menghayati konsep taawun yang melahirkan permuafakatan dalam membangunkan negara.

Apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan? Asas yang dituntut oleh ALLAH adalah dengan meletakkan asas al-Bir (kebaikan) yang merangkumi semua elemen kebaikan untuk rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Muafakat yang terjalin antara Umno dan Pas tidak semestinya berasaskan tahalluf siyasi (kerjasama politik) semata-mata.

Namun, kerjasama yang lebih besar dan luas boleh dijalinkan melalui permuafakatan yang berasaskan kebaikan untuk umat berteraskan ketakwaan kepada ALLAH SWT. Maksudnya, hubungan yang boleh dijalinkan dalam rangka mengharapkan keredaan ALLAH SWT dan menyatakan ketaatan kepada-Nya.

Secara ringkasnya, apa jua perkara yang selari dengan maksud takwa iaitu berkait rapat dengan sikap kepatuhan terhadap perintah ALLAH dan Rasul-Nya, baik perintah itu berupa suruhan mahupun larangan perlulah disepakati.

Imam al-Ghazali menyimpulkan bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa kemudaratan kepada agama. Justeru, apa yang jelas, segala elemen permusuhan sempit perlu dihentikan.

Atas apa sekalipun sentimen yang dimainkan, rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kesedaran dan menjadikan takwa sebagai asas dalam melaksanakan semua kebaikan.

Sesungguhnya, apabila kita saling bermuafakat untuk sesuatu matlamat yang baik, natijahnya akan semakin kuat. Ironinya, apabila saling berselisihan dan berlakunya jidal (perbahasan) yang sia-sia, semestinya matlamat tidak akan terhasil.   

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi konsep taawun atau sikap tolong-menolong ini menjadi ciri utama umat Islam. Pada ketika itu tidak ada seorang Muslim pun yang membiarkan saudara Muslimnya yang lain dalam kesusahan.

Hal ini tergambar dengan jelas ketika peristiwa hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah. Kaum Ansar menerima dengan baik kedatangan kaum Muhajirin yang disambut dengan meriah dan kemudiannya mereka dibantu dari segenap sudut.

Hairannya, dalam suasana hari ini apabila kerajaan melaksanakan sesuatu kebaikan maka akan muncullah pelbagai tafsiran dan andaian negatif. Malah, perwira-perwira papan kekunci ghairah mencanangkan spekulasi dan tidak kurangnya fitnah yang direka. Apakah kini, kita sudah hilang daya fikir dan rasionaliti untuk menterjemah setiap kebaikan itu dengan benar?

Dalam mendepani realiti yang wujud hari ini, kita perlu kekal rasional dengan meletakkan kepentingan agama dan bangsa sebagai keutamaan. Kita perlu sedar, berbeza fahaman politik bukan bererti berbeza pegangan akidah. Berbeza parti bukannya berbeza tahap keimanan dan keislaman.

Sebaliknya, berbeza parti hanyalah bersifat ijtihadi dan khilafiah yang dibenarkan syarak dalam menentukan parti mana yang berkemampuan mentadbir urusan umat dengan lebih berkesan.

Sebab itulah, dalam keghairahan berpolitik dan berparti, kita harus tahu batasan dan sempadannya. Jangan disebabkan keseronokan berpolitik dan berparti hingga menggadaikan prinsip yang dianjurkan syarak.

Malah, perbezaan parti dalam sistem demokrasi tidak wajar menjadi barah hingga mencetuskan permusuhan emosi yang mencairkan kekentalan ukhuwah, memecah kesepaduan umat dan menghancurkan prinsip keadilan dan kebenaran.