KEBEBASAN dan hak asasi menjadi tuntutan utama sejak sekian lama. Hal ini jelas terbukti dalam perkembangan politik di Timur Tengah dengan berlakunya kebangkitan rakyat seperti di Mesir melalui Revolusi Tahrir, Revolusi Jasmin di Tunisia dan revolusi menentang rejim Gaddafi di Libya.

Ketidakadilan rejim diktator yang bertopengkan pseudo-democracy atau demokrasi palsu ini telah menimbulkan pelbagai polemik dan persepsi mengenai prinsip demokrasi yang sebenar. 

Menyentuh aspek demokrasi sebenar menurut perspektif Islam, Malek Bennabi telah lama menghuraikan konsep demokrasi secara mendalam menerusi bukunya Al-Dimuqratiyyah fi al-Islam (Demokrasi Dalam Islam).

Malah, disebabkan demokrasi secara inti pati dan falsafahnya adalah konsep yang sentiasa boleh dicabar, sarjana dan pemikir Islam kontemporari yang terlibat secara langsung dalam gerakan Islam juga telah membahaskan konsep demokrasi dengan berlandaskan nilai dan prinsip syarak. 

Antaranya, Rached Al-Ghannoushi, seorang pemikir dan pengasas gerakan Islam moderat kontemporari dari Tunisia yang mempunyai sudut pandang tersendiri dalam menyingkap isu ini. Beliau menukilkan beberapa konsep penting yang perlu difahami secara tuntas dan mendalam.

Al-Ghannoushi melihat konsep hakimiyyah (Keagungan ALLAH) itu sebenarnya selari dengan unsur demokrasi iaitu hak kebebasan yang sekali gus menjadi garis panduan kepada manusia sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir muka bumi ini. Melalui konsep ini manusia diberi ruang untuk berijtihad selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak dan ini merujuk kepada konsep faraghat atau ruang untuk berijtihad yang turut dihuraikan oleh beliau dengan panjang lebar.  

Hakikatnya, demokrasi merupakan sebahagian kecil daripada salah satu aspek politik yang dikategorikan sebagai faraghat yang memberi ruang kepada umat Islam untuk berijtihad dan berbeza pandangan seiring dengan peredaran zaman.

Sebagai contoh, di mana Rasulullah SAW sentiasa mengambil kira dan menerima pandangan para sahabat dalam mengatur strategi serta taktik ketika Perang Badar. Secara tidak langsung, hal ini membuktikan Islam memberi ruang dan mempunyai fleksibiliti dalam berijtihad apabila melibatkan urusan politik. 

Menerusi bukunya, Al-Hurriyah al `Ammah fid Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum Dalam Negara Islam), Al-Ghannoushi turut menetapkan al-Hurriyyah atau kebebasan sebagai salah satu prinsip dalam demokrasi.

Beliau menggambarkan demokrasi sebagai hasil daripada perjuangan dan proses untuk mendapatkan kebebasan dan hak. Ini membuktikan secara jelas, Islam bukan sahaja menjamin kebebasan dan hak setiap individu, malah kebebasan dan hak ini jugalah yang menjadi asas penting dalam politik Islam. 

Namun begitu, kebebasan yang dimaksudkan di sini bukanlah sepertimana yang ditafsir berdasarkan pendekatan sekular, tetapi ia merupakan kombinasi konsep al-hurriyah wa al-`adalah atau kebebasan dan keadilan yang menjadi asas kepada demokrasi dalam Islam.

Sebagaimana yang disebut dengan jelas dalam al-Quran menerusi Surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana ALLAH, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Bukan sekadar itu sahaja, konsep syura juga merupakan teras utama kepada proses demokrasi itu sendiri. Ia merupakan satu proses perbincangan, perundingan, pengumpulan fakta dan data, serta percambahan maklumat dan idea dari pelbagai sudut.

Sepertimana Rasulullah SAW yang sentiasa bermesyuarat dan mengadakan perundingan bagi mendapatkan pandangan para sahabat sebelum melaksanakan sebarang tanggungjawab yang penting. Pelaksanaan konsep ini yang diteruskan selepas kewafatan Rasulullah SAW dapat dilihat dengan jelas ketika pemilihan khalifah diadakan. 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan sistem demokrasi berupaya mensejahterakan dan memberi kemakmuran dalam mewujudkan sebuah negara yang disifatkan sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur. Sejajar dengan itu, diharapkan prinsip ini dapat dijiwai oleh setiap warga negara agar sentiasa mampu untuk dikoreksi secara berterusan bersesuaian dengan ajaran Islam yang relevan sepanjang zaman.