PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir. Parti-parti politik yang akan bertanding pastinya menggiatkan lagi kempen mereka bagi mendapatkan pengaruh dan sokongan undi untuk berkuasa.

Bagi memenuhi keperluan tersebut setiap parti politik akan meletakkan calon mereka bertanding atas platform parti masing-masing. Proses ini akan menyaksikan berlakunya pertandingan antara satu parti dengan parti yang lain di setiap kawasan Parlimen dan Dun.

Namun secara prinsipnya, politik dan kepimpinan adalah satu keperluan. Betapa kita tidak suka kepada politik sekalipun kerana faktor manusia dan pelakunya, selagi itulah politik itu satu keperluan dan punyai kepentingan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Daud:

"Jika ada tiga orang dalam kalangan kamu bermusafir, maka lantiklah salah seorang dari kamu menjadi pemimpin".

Calon yang dipilih dalam proses pilihan raya akan mengangkat idealisme parti mereka dan parti yang mendapat kemenangan terbanyak akan memperoleh kuasa untuk mentadbir dan memerintah. Itulah realiti politik kepartian dan juga realiti politik pilihan raya.

Suka atau tidak, itulah juga sistem demokrasi yang digubah bagi membolehkan manusia mempunyai satu sistem yang dapat mengatur kehidupan manusia secara sistematik dan tersusun.

Dalam Islam, politik ada suatu aspek yang bersifat fleksibel dan berubah mengikut keperluan masa dan keadaan. Tinggal lagi umat Islam yang berpolitik itu perlu mempunyai kefahaman yang jelas bahawa matlamat mereka berpolitik adalah untuk menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agenda agama. Itulah dia makna bagi politik Islam atau siasah syariah.

Politik kepartian yang sedang kita hadapi sekarang ini juga tidak lepas dari kerangka kefahaman tersebut iaitu mesti bermatlamat untuk meletakkan agenda Islam sebagai satu teras dalam berpolitik. Meskipun begitu, politik kepartian pilihan raya mendedahkan umat Islam kepada pertentangan antara satu sama lain.

Ironinya, para pemimpin dan penyokong sesebuah parti politik perlu mempertahankan parti mereka di pentas kempen untuk meraih undi sebanyak yang mungkin. Namun proses itu bukanlah satu halangan bagi umat Islam khususnya kerana mereka perlu mempunyai garis panduan yang jelas tentang bagaimana untuk berpolitik dengan mementingkan nilai ukhuwah dan kasih sayang sesama Islam.

Di sinilah letaknya peri penting kefahaman dalam diri individu dan parti politik orang Melayu yang beragama Islam itu sendiri supaya menjaga batas-batas akhlak dan adab bila berdepan dalam ‘pertarungan’ politik seperti ini. Agenda, misi dan visi perlu didahulukan terlebih dahulu dan tidak boleh sama sekali menyentuh perihal individu dan keburukan orang lain.

Dalam konteks ini terdapat empat aspek yang perlu menjadi prinsip asas dalam berpolitik secara ukhuwah dan kasih sayang.

Pertamanya al-Ta‘aruf iaitu berkenal kenalan sesama individu politik secara lebih dekat lagi bagi mengenali hati budi dan kebaikan diri masing-masing. Perkenalan yang baik antara individu mampu merapatkan jurang hubungan antara mereka.

Kedua al-Tafahum iaitu mengikat persefahaman antara individu politik atas dasar keimanan kepada ALLAH dan akidah Islam dengan sejelas jelasnya. Sesungguhnya setiap Muslim itu bersaudara dan perlu memahami persefahaman akidah antara mereka. Kemudian barulah individu itu boleh berbeza dalam perkara dan isu yang dibenarkan oleh Islam untuk berbeza pandangan.

Ketiga al-ri’ayah iaitu seseorang individu politik itu wajib menjaga aib saudara seislamnya dan tidak boleh mendedahkannya kepada umum untuk niat dan tujuan politik.

Keempat al-Ta’awun iaitu individu politik itu mesti berjiwa besar untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan mendekatkannya kepada takwa dan menegah diri dari menghampiri perkara yang mendatangkan dosa dan permusuhan.

Jika empat aspek ini menjadi satu garis panduan yang boleh diamalkan oleh individu politik, nescaya kempen politik pada PRU14 boleh hanya diwarnai dengan persembahan pencapaian rekod perkhidmatan kepada rakyat dan tawaran manifesto dan visi serta misi setiap parti kepada rakyat tanpa menggugat asas-asas perpaduan dan akidah Islam. Moga kita semua beroleh rahmat ALLAH.