SEMACAM sudah sebati dalam kehidupan seharian  dan menjadi belenggu sebahagian besar umat Islam hari ini adalah sikap terlalu gemar berpolemik.

Sehinggakan tidak ada isu yang tidak diperdebatkan secara panjang lebar. Namun, semestinya perbahasan-perbahasan yang timbul pastilah ada pro dan kontranya. Tetapi yang menjadi masalah apabila kurangnya sikap berlapang dada dalam perdebatan.

Apa yang membimbangkan, bila mana ramai yang merasa pesimis bahkan skeptis apabila kita berbicara tentang akhlak Islam dapat diaplikasikan dalam dunia politik.

Hal ini berlaku kerana, perkembangan budaya politik telah diwarnai dengan emosi yang menguasai pemikiran, sehingga lenyap pertimbangan rasional dan objektif dalam penilaian sebenar yang cuba diketengahkan.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila ditambah pula dengan kerangka pemikiran masyarakat hari ini yang lebih mudah didominasi dengan perkiraan politik sempit dan simplistik.

Lebih menggusarkan, apabila wujudnya segolongan umat yang mempelopori budaya menghasut bagi mencapai agenda sebenar yang diingini dalam politik. Malah dikukuhkan lagi dengan segelintir yang bersikap reaktif dan responsif melulu tanpa memahami hakikat sebenar yang berlaku.

Fenomena budaya politik berteraskan benci dan dendam sehingga sanggup melaungkan dan menyebarkan maklumat-maklumat separuh masak dan bersifat kosmetik, sekadar untuk menagih sokongan murahan juga semakin berleluasa.

Akibatnya, mereka lebih rela bercakaran dan tuduh-menuduh sesama sendiri, daripada menggembleng tenaga secara bersama melalui tindakan dan perencanaan yang konkrit serta berkesan untuk kemajuan ummah dan negara.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW telah lama memberi jaminan dan peringatan yang jelas kepada kita berkenaan dengan hal ini dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menghasut.” Riwayat Muslim.

Tanpa disedari, budaya ini juga bakal menuntun kepada permasalahan yang lebih besar sehingga mampu meleburkan perpaduan dan memporak-perandakan negara. Idea dan ungkapan perjuangan hanya menjadi gimik dan bahan perencah ramuan dalam ucapan untuk menagih sokongan semata-mata.

Haluan dan matlamat untuk memartabatkan perjuangan bangsa dan agama tidak akan mampu direalisasikan sekiranya persepsi sebenar dalam politik terus diselewengkan melalui hasutan yang tanpa batasan.

Mereka sanggup menggadaikan prinsip dan etika akhlak sehinggakan tidak ada sekelumit rasa bersalah untuk menabur fitnah, cantas-mencantas dan menghasut orang lain demi mencapai kuasa yang dihajati.

Mereka juga seakan-akan lupa bahawa kuasa adalah amanah ALLAH SWT atau taklif Rabbani yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat kelak.

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Dzar al-Ghifari  RA berkenaan masalah kekuasaan atau kepimpinan; “Sesungguhnya ia (kuasa itu) adalah amanah. Dan pada hari kiamat, ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya.” Hadis Riwayat Muslim.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama merealisasikan anjakan budaya dan pemikiran ke arah mewujudkan budaya politik baru yang lebih bermaruah.

Apa yang ingin penulis maksudkan ialah, budaya politik yang berteraskan kasih sayang dan tolak ansur sesama manusia walau berbeza parti mahupun ideologi.

Budaya ini juga mestilah berteraskan idealisme luhur dengan kekuatan ilmu dan bukannya sentimen amarah dan hasad dengki semata-mata.

Segenap inci pertimbangan yang dilakukan perlulah berasaskan keutamaan dan kepentingan agama, bangsa dan negara untuk jangka masa panjang.

Bukannya berasaskan sentimen murahan yang sengaja dicetuskan untuk merangsang perasaan marah hingga terhakisnya pertimbangan rasional dan etika yang sewajarnya.

Lebih mustahak lagi, budaya politik ini mestilah meletakkan prinsip agama dan nilai akhlak lebih tinggi daripada kepentingan peribadi dan parti.

Hal ini kerana, sesungguhnya Islam itu melangkaui sempadan dan batas geografi parti dan fahaman politik. 

Islam tidak wajar diperalatkan mahupun diletakkan setaraf parti politik. Sebaliknya, Islam lebih tinggi daripada parti dan harus dijadikan benteng dalam menyatukan umat yang galak berpolitik.

Hakikatnya, tiada jalan lain melainkan dengan meletakkan Islam lebih tinggi daripada parti sahajalah akan memungkinkan terjelmanya budaya politik yang bebas daripada belenggu fanatik yang membawa kepada perlakuan mungkar yang mampu membinasakan umat.  Moga-moga harapan ini bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti, Insya-ALLAH.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri